ahli-ahli-syarikat

ahli-ahli syarikat

PENGENALAN

Ahli-ahli syarikat atau pemegang syer secara kolektifnya membentuk suatu syarikat yang diperbadankan melalui Akta Syarikat 2016.

Definisi Ahli

Ahli-ahli dan pengarah syarikat merupakan dua organ yang menggerakkan syarikat. Dalam konteks syarikat, ahli-ahli bermaksud:[1]

  1. Bagi syarikat berhad oleh syer ~ seseorang yang namanya dicatatkan dalam daftar ahli sebagai pemegang satu atau lebih syer dalam syarikat; atau
  2.  Dalam kes berhad oleh jaminan ~ seseorang yang namanya dicatatkan dalam daftar ahli.

Syarikat tidak dikehendaki mengeluarkan sijil syer kecuali pemegang syer membuat permohonan untuk mendapatkan sijil-sijil syer berkaitan dengan pemegangan syernya.[2] Oleh itu, sijil-sijil syer hanya dikeluarkan atas permintaan daripada ahli-ahli sahaja.

Disebabkan tiada sjiil syer yang dikeluarkan, justeru catatan nama seseorang dalam daftar ahli sebagai pemegang syer merupakan keterangan prima facie bahawa hakmilik sah syer di sisi undang-undang terletak hak pada orang itu.[3]

Bagaimana Menjadi Ahli Syarikat?

Seseorang itu boleh menjadi ahli-ahli syarikat melalui cara berikut; iaitu:

    1. Melanggan syer (subscribers’ shares) semasa pemerbadanan syarikat;
    2. Terbitan baharu syer-syer syarikat;
    3. Pemindahan syer yang diluluskan oeleh lembaga pengarah; dan
    4. Transmisi syer jika berlaku kematian pemegang syer.
LIABILITI DAN HAK-HAK AHLI

Berikut merupakan liabiliti dan hak-hak ahli.

Liabiliti Ahli

Pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan atas sesuatu kewajipan syarikat disebabkan mereka hanyalah sebagai ahli sahaja. Dinegara-negara maju, pemegang syer merupakan golongan pelabur (pelabur budiman, pelabur persendirian atau pelabur institusi) yang melabur dengan tujuan untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk dividen.

Liabiliti ahli-ahli syarikat hanyalah terhad kepada:[4]

  • syarikat berhad oleh syer ~ apa-apa amaun yang belum dibayar ke atas syer yang dipegang oleh ahli;
  • syarikat berhad oleh jaminan ~ apa-apa amaun yang mana ahli-ahli telah mengaku janji untuk menyumbang kepada syarikat sekiranya digulung;
  • sebarang liabiliti yang diperuntukkan dengan nyata dalam perlembagaan syarikat; dan
  • sebarang liabiliti sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta.

Apabila ahli-ahli syarikat membayar penuh jumlah syer yang diperuntukkan, mereka tidak mempunyai tanggungan atas syarikat sekiranya syarikat itu digulung. Jika sebaliknya, mereka dikehendaki bertanggungan setakat jumlah modal syer yang masih belum dibayar kepada syarikat.

Ahli-ahli syarikat berhad menurut jaminan cuma bertanggungan setakat jumlah yang telah dipersetujui oleh penjamin untuk menyumbang (misalnya RM1,000) jika sekiranya syarikat itu digulung.

Dalam syarikat berhad menurut syer, ahli-ahli syarikat merupakan pemilik yang mana hak pemilikan mereka diwakili oleh syer-syer yang mereka miliki dalam syarikat.

Walau bagaimanapun, ahli-ahli tiada hak atas harta-harta syarikat disebabkan semua harta syarikat menjadi hak milik sah syarikat. Oleh itu, ahli-ahli tiada hak untuk mengambilnya atau menjualnya.

Hak-hak Statutori Ahli

Terdapat-hak-hak statutori ahli yang tidak boleh diambil oleh Perlembagaan, seperti berikut:

  1. hak untuk menerima notis mesyuarat, menghadiri dan mengambil bahagian dalam perbincangan;
  2. hak untuk memindahkan saham (bagi syarikat awam);
  3. hak untuk menerima salinan Laporan Kewangan tahunan syarikat;
  4. hak untuk memeriksa dokumen syarikat seperti buku daftar ahli, buku minit, penyata tahunan dan lain-lain;
  5. hak mengundi dalam mesyuarat agung;
  6. hak untuk mendapat dividen (jika ada);
  7. hak memohon di mahkamah untuk penggulungan syarikat.
KESIMPULAN

Tumpuan utama ahli-ahli syarikat atau pemegang syer melabur dalam suatu syarikat ialah untuk mendapatkan keuntungan melalui dividen. Untuk memaksimumkan pulangan, pemegang syer hendaklah melabur wang mereka dalam syarikat yang mempunyai rekod keuntungan yang baik.

Pemegang-pemegang syer boleh menjual semula pelaburan mereka jika mendapati syarikat itu sudah tidak lagi menguntungkannya.

 

ahli-ahli syarikat

 

Syarikat Pemegangan Pejabat Berdaftar Perkhidmatan Cukai Peluang & Idea

 


[1] Seksyen 2 AS 2016

[2] Seksyen 97(1) AS 2016

[3] Seksyen 101(1) AS 2016

[4] Seksyen 192 AS 2016

 

 

 

 

 

 

Similar Posts