buku pintar niaga

 

Pertamanya, saya ingin merakamkan rasa syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya jua maka Buku Pintar Niaga ini dapat disiapkan akhirnya. Usaha menulis buku ini sudah pun saya mulakan sejak lebih tujuh tahun yang lalu. Ingin dinyatakan bahawa buku ini ditulis menggunakan pendekatan 3P; iaitu, Pengetahuan, Pengalaman dan Praktis. Pengetahuan saya dalam bidang akademik dan juga kursus-kursus pembangunan profesional dalam bidang perakaunan dan percukaian, kesetiausahaan syarikat, undang-undang perniagaan, perancangan kewangan, pengurusan perniagaan dan GST selama lebih daripada 25 tahun digarapkan bersama-sama dalam proses penulisan buku ini.

Seterusnya, pendekatan Pengalaman pula digunakan dalam memerhati, mensintesis, menaakul dan menghuraikan pelbagai peristiwa yang berlaku disepanjang lebih 25 tahun bersama-sama dengan lebih 300 usahawan. Akhirnya, pendekatan Praktis merupakan elemen pengamalan, iaitu saya sebagai seorang pengamal dan juga usahawan dalam bidang-bidang yang dinyatakan di atas. Objektif saya menulis buku ini ialah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaaan dan keusahawanan dengan sesiapa sahaja yang meminati bidang ini.

Buku Pintar Niaga ini dibahagikan kepada lima bab, dan setiap bab disusun mengikut urutan berdasarkan perkaitannya dengan bab-bab yang seterusnya.

Bab 1 lahir daripada idea saya untuk memberi panduan dan berkongsi pengalaman buat golongan yang sedang bekerja makan gaji tetapi ingin berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan. Walau pun menjadi seorang usahawan itu adalah sesuatu yang digalakkan, namun begitu, terdapat beberapa aspek penting perlu dipertimbangkan terlebih dahulu oleh golongan yang ingin berhenti kerja ini sebelum mereka menjadi usahawan. Terlintas dalam hati saya tidak inginkan mereka menyesal dikemudian hari jika berhenti kerja disebabkan memilih kerjaya sebagai usahawan. Oleh itu, lahirlah bab 1 yang memberi panduan membuat keputusan kepada seseorang sama ada ingin menjadi usahawan sepenuh masa, usahawan sebelah kaki atau pun usahawan de fakto.

Bab 2 pula tercetus daripada idea saya mengenai bagaimana harus seseorang usahawan memilih suatu perniagaan yang berdaya maju, terutamanya dalam keadaan terdapat lebih daripada satu  projek. Justeru, saya bahagikan bab 2 ini kepada tiga bahagian utama, iaitu; mengenali sifat-sifat ekonomi barang yang ingin diniagakan; ciri-ciri perniagaan yang ideal, dan; kaedah penilaian projek perniagaan menggunakan teknik yang mudah. Ketiga-tiga aspek tersebut telah digabungkan dalam proses untuk menilai daya maju mana-mana projek perniagaan. Seterusnya, usahawan mampu  membuat keputusan sama ada haruskah memilih atau menolak mana-mana cadangan perniagaan yang dikemukakan.

Bab 3 pula menelusuri aspek-aspek penggunaan akal budi yang sangat molek diapplikasikan dalam menjayakan sesebuah perniagaan. Idea ini terbit daripada pengalaman saya menerima layanan yang baik dan juga tidak baik daripada usahawan disepanjang kerjaya saya sebagai perunding pengurusan. Bukankah kata-kata orang bijaksana mengatakan bahawa kita boleh jatuh tersungkur apabila terseradung batu yang kecil! Aspek akal budi yang kecil ini sering diketepikan oleh usahawan dan saya ketengahkan semula dalam bab 3 ini disebabkan sifatnya yang sentiasa tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas. Tambahan pula, tidak rugi seseorang usahawan mengambil endah amalan akal budi yang baik, apatah lagi ia tidak memerlukan apa-apa kos untuk melaksanakannya.

pintar niagaa

Idea bab 4 terbit daripada pemerhatian saya ke atas usahawan-usahawan yang berjaya disepanjang 25 tahun pengalaman saya dalam bidang perniagaan. Semua usahawan sangat ashik memburu kejayaan, sedangkan kegagalan juga merupakan suatu manifestasi daripadanya. Ketika kejatuhan ekonomi melanda negara pada tahun 1997 dahulu, ramai daripada pelanggan-usahawan telah jatuh dan gulung tikar. Saya tidak tahu di mana mereka berada sekarang dan perniagaan apakah yang mereka sedang jalankan. Kemudian, muncul pula usahawan-usahawan baharu, namun mereka juga tidak dapat bertahan lama dipersada perniagaan, walau pun dalam keadaan ekonomi yang menghijau. Mereka juga gagal! Hal ini telah mengubah minat saya untuk menyingkap tabir kegagalan usahawan berbanding dengan menyingkap tabir kejayaan supaya hasilnya dapat dikongsikan bersama. Hatta, dalam bab 4 saya membincangkan dapatan penyebab-penyebab kegagalan usahawan kepada tiga sudut, iaitu; kegagalan disebabkan oleh faktor luaran, kegagalan disebabkan oleh faktor dalaman dan juga kegagalan disebabkan oleh diri sendiri.

Dalam penerusan mencari idea-idea penulisan bab 5 buku Pintar Niaga ini, tiba-tiba saya teringatkan kepintaran seorang budak hebat bernama Hang Nadim yang menyelamat Singapura daripada serangan ikan todak. Bertitik tolak daripada kisah kepintaran Hang Nadim ini, keluarlah idea aspek-aspek kepintaran yang diperlukan dalam perniagaan. Gagasan ini pasti boleh digunakan oleh usahawan dalam menongkah arus perniagaan yang deras. Justeru itu, saya gariskan enam aspek kepintaran yang perlu dikuasai oleh usahawan, iaitu; kepintaran mencari peluang dan idea perniagaan, kepintaran mendapatkan modal, kepintaran menembusi pasaran, kepintaran mengembangkan perniagaan, kepintaran mengekalkan perniagaan dan kepintaran membuat keputusan. Pintar niaga merupakan suatu segi, seni dan strategi perniagaan yang tidak memerlukan seseorang itu memiliki tahap pelajaran yang tinggi untuk melaksanakannya.

Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kerana telah sudi menerima manuskrip buku Pintar Niaga ini untuk diterbitkan. Tidak ketinggalan juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat isteri saya yang sentiasa memberikan galakan dan sering bertanyakan kepada saya bilakah buku saya ini hendak siap. Saya mohon kemaafan atas segala kekurangan buku ini, dan sesungguhnya segala kesilapan adalah datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.

 

Kamal Al Rahman

 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *