gagal bisnes

kamal-al-rahman

Penyebab gagal bisnes disebabkan faktor dalaman wujud dalam environmen sekeliling kita.  Lazimnya, usahawan tidak pantas bertindak mengesan simptom-simptom kegagalan di peringkat awal lagi. Mereka tidak menjangkakan bahawa keadaan ‘sakit’ ini mampu merebak sehinggalah sampai ke peringkat pandemik yang sukar untuk diselamatkan lagi.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya terhadap usahawan, gagal bisnes berpunca daripada faktor dalaman adalah seperti berikut:

gagal bisnes

Tidak Cukup Modal

Jika kita mempunyai modal yang kecil, buatlah perniagaan yang kecil juga. Masalah akan timbul jika kita ada modal sikit tetapi ingin menjalankan perniagaan bermodal besar. Ingatlah, pepatah Melayu ada menyatakan ‘ukur baju di badan sendiri’. Jumlah modal yang kita laburkan mempunyai hubungan langsung dengan risiko. Pepatah Melayu yang lain ada menyebutkan ‘besar periuk, besarlah keraknya’.

Untuk memulakan perniagaan, tidak semestinya bermula dengan modal permulaan yang besar. Lazimnya, sumber modal permulaan diperolehi daripada simpanan sendiri ataupun pinjaman daripada kawan-kawan dan saudara-mara. Kemudian, wang boleh dikumpulkan untuk membesarkan lagi perniagaan daripada keuntungan yang disimpan setiap bulan.

Kesan tidak cukup modal dipertengahan jalan boleh menyebabkan hak milik perniagaan bertukar tangan. Misalnya, seorang usahawan yang menjalankan perniagaan pengilangan dan penjualan sejenis pati sirap ajaib. Pada peringkat permulaan, perniagaan berjalan lancar permintaan yang bagus daripada pelanggan. Setahun kemudian, usahawan ini terpaksa menutup perniagaannya disebabkan oleh ketidakcukupan modal pusingan untuk meneruskan operasi perniagaan. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila beliau menjual produknya secara kredit tanpa kawalan.

Simtom gagal bisnes mula kelihatan apabila jualan gagal dikutip melangkaui tempoh setahun. Akibatnya, beliau tidak lagi mampu meneruskan perusahaannya disebabkan kehabisan modal pusingan bagi memenuhi pesanan.

Untuk menyelamatkan perniagaan, beliau membuat pinjaman peribadi bersyarat daripada orang bisnes juga. Pemberi pinjaman meletakkan syarat pemilikan 70% ekuiti. Secara tidak langsung, hakmilik syarikat sudahpun berpindah kepada si pemberi pinjaman. Kemudian, syarat lain pula sedang menunggu, yakni hutang hendaklah dijelaskan dalam tempoh dua belas bulan. Jika gagal, si pemberi pinjaman akan mengambil alih perniagaan pati sirap ajaib tersebut. Beginilah realiti perniagaan, orang yang sedang lemas tidak dapat diselamatkan, malah dikuburkan!

Kawalan Dalaman yang Lemah

Kawalan dalaman boleh dibahagikan kepada dua aspek yang penting; iaitu, kawalan aliran tunai dan kawalan kredit. Kawalan aliran tunai melibatkan pemantauan wang keluar dan wang masuk dalam syarikat. Wang keluar harus dipantau supaya tidak terdapat elemen-elemen penyelewengan dan pembaziran. Kawalan kredit pula melibatkan penilaian had kredit pelanggan dan kutipan hutang.

Kedua-dua aspek ini sangat penting bagi jenis perniagaan yang bukan bersifat jualan tunai dan menyimpan stok untuk dijual semula. Pemantauan wang keluar perlu dikawal secara berhati-hati dan tidak meletakkan sebarang elemen emosi persahabatan atau persaudaraan.

Pernah berlaku kepada seorang usahawan (bekas pengurus bank yang bersara dengan mengambil skim VHS) yang menjalankan perniagaan operator sebuah resort yang dipajak daripada kerajaan negeri. Beliau percaya penuh dengan kredibiliti seorang lagi pengarah syarikat yang dilantik sebagai pengurus operasi bagi menguruskan perniagaan resort tersebut. Cek-cek telah ditanda tangani terlebih dahulu dan diserahkan kepada pengurus operasi tanpa sebarang kawalan. Akhirnya, beliau telah kehabisan semua wang skim VHSnya kerana telah diselewengkan oleh pengurus operasi yang sangat beliau percayai.

Seorang usahawan lain pula mendapati perniagaannya begitu menguntungkan, namun begitu timbul suatu persoalan kenapa setiap bulan beliau terpaksa ‘top-up’ wang peribadinya ke dalam perniagaan tersebut. Setelah disemak akaunnya secara terperinci, melalui penyediaan akaun pengurusan, memang terdapat keuntungan seperti yang beliau jangkakan. Akaun pengurusan mendapati kebocoran dalam aliran tunai perniagaanya tanpa disedari, iaitu wang tersebut digunakan untuk membayar ansuran empat buah kereta anak-anaknya berjumlah RM6,000 di samping gaji berjumlah RM6,000 dibayar kepada tiga orang anak-anaknya. Terdapat juga pembaziran lain sebanyak RM1,000.00 sebulan.

Oleh sebab margin keuntungan pengedar bahan api telah ditetapkan, ditambah pula dengan tren jualan yang konstan, beliau tidak dapat meningkatkan pendapatan dengan menaikkan margin keuntungan dan meningkatkan jualan.

Dalam perniagaan, beberapa kelemahan dalam kawalan aliran tunai dan kredit ialah pertama; tiada satu sistem kawalan kredit di peringkat awal dibuat ke atas setiap pelanggannya. Misalnya, pelanggan yang sudah banyak hutang masih lagi diberi kemudahan kredit. Kedua; tidak mewujudkan satu mekanisma pengurusan memungut hutang secara konsisten dan berkesan. Contohnya, kaedah pembayaran back-to-back, membuat panggilan telefon secara berkala, menghantar surat peringatan setiap bulan dan lain-lain tindakan yang difikirkan sesuai. Jika hanya berdiam diri sahaja, penghutang juga akan mendiamkan diri dan lama-kelamaan situasi sebegini dapat dilihat apabila jumlah penghutang mula bertimbun.

Krisis Dalaman

Krisis dalaman perniagaan menjadi bertambah kronik jika masing-masing pekongsi atau pengarah tidak mahu mengalah atau bertolak ansur. Perbezaan pendapat dan konflik kepentingan boleh menyebabkan berlakunya krisis dalaman yang mencetuskan perpecahan Kebiasaanya, di peringkat awal perniagaan, semua urusan perniagaan berjalan lancar dan tidak wujud sebarang pergeseran. Apabila perniagaan sudah mula maju, wang sudah banyak masuk, maka bermulalah aksi-aksi jatuh menjatuhkan mengambil tempat.

Terdapat sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pembekalan barangan-barang keseluruh organisasi di Kuala Lumpur.  Pengarahnya terdiri daripada dua orang kawan baik, A dan B. Si A mempelawa B menjadi pengarah syarikat untuk mencukupkan syarat bilangan dua orang pengarah sahaja. Si A sanggup melepaskan jawatan bekerja makan gaji disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang perniagaan. Lama kelamaan, perniagaan mula meningkat maju disebabkan kerajinan Si A, dan Si A sudah mampu membeli sebuah kereta baharu. Apabila Si A menukar kereta baharu, Si B yang pendiam tiba-tiba melenting dan menuntut elaun pengarah RM1,000.00 sebulan daripada Si A. Alasannya ialah beliau ialah pengarah syarikat dan memegang  50 % syer (disebabkan modal berbayar Si A dan Si B dalam syarikat ialah RM2.00), maka dia berhak atas keuntungan syarikat.

Si A cuma meminjam nama kawannya Si B untuk mencukupkan bilangan dua orang pengarah syarikat di sisi undang-undang (Akta Syarikat 1965). Si B bekerja di tempat lain, dan bukannya bekerja dalam syarikat kepunyaan Si A. Disebabkan Si A tidak mahu melayan tuntutan tersebut, Si B telah bertindak mengambil tindakan undang-undang ke atas Si B atas sebab-sebab tidak pernah menyediakan penyata kewangan yang diaudit dan tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan syarikat. Sejak itu, bermulalah detik-detik krisis dalaman yang akhirnya membawa kepada syarikat tersebut tidak dapat dijalankan. Si A sudah tidak berminat lagi untuk menjalankan syarikat tersebut dan mula menubuhkan perniagaan milik tunggal lain supaya tidak lagi diganggu oleh Si B.

Terdapat banyak syarikat yang terhenti aktiviti perniagaan mereka begitu sahaja disebabkan oleh krisis dalaman, dan akhirnya gagal bisnes. Terdapat ramai juga yang memilih untuk menyelasaikan krisis dalaman ini melalui tindakan mahkamah untuk memuaskan hati masing-masing.  Ada yang sanggup membiarkan perniagaan itu musnah sama sekali asalkan hati mereka puas. Akhirnya; kalah jadi abu, menang jadi arang – kedua-duanya sudak rosak dan tidak boleh dipakai lagi. Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilih rakan kongsi niaga, iaitu fikirkanlah dari aspek faedah yang diperolehi oleh perniagaan jika anda ingin berkongsi dengan seseorang.

Lokasi Tidak Strategik

Lokasi strategik adalah penting disebabkan ianya dapat meningkatkan lagi jumlah jualan bagi perniagaan berjenis walk in seperti restoran, kedai gunting rambut, perkhidmatan dobi, pasar mini dan lain-lain. Perniagaan jenis tersebut bergantung kepada lokasi yang padat orang, mudah jalan keluar-masuk, mempunyai kawasan pakir yang besar, mudah dilihat orang dan terdapat beberapa gedung membeli belah lain disekitarnya.

Berbeza pula dengan beberapa jenis perniagaan lain (seperti firma perkhidmatan profesional arkitek, peguam dan juruodit), tidak beberapa memerlukan lokasi yang strategik memandangkan mereka mempunyai pelanggan-pelanggan tertentu ataupun memang pelangganlah yang kerap mencari mereka. Lokasi strategik seperti lot tepi sangat strategik untuk perniagaan seperti kedai-kedai tayar dan perkhidmatan servis kereta, restoran dan pasar mini. Namun begitu, kadar sewa premis di kawasan tersebut sangat tinggi dan perlukan volum jualan harian yang tinggi juga bagi mengelakkan gagal bisnes.

Saya pernah pergi ke sebuah kedai menjahit pakaian di Komplek Diamond, Bandar Baru Bangi untuk alter seluar jeans. Kedudukan kedainya agak tersorok dan saya berpendapat lokasinya sangat tidak sesuai. Selang beberapa tahun kemudian saya cari semula kedai jahitan tersebut tetapi sudah tiada lagi situ dan bersangka bisnes gagal. Puas saya berjalan-jalan mencarinya, dan akhirnya ternampak kedai itu terletak disuatu lokasi yang lebih strategik dan boleh dilihat oleh orang ramai dengan mudah.

Begitu juga sebuah café di Bandar Baru Bangi yang dikira bagus, variasi makanannya unik dan enak, tetapi perniagaannya tidak begitu berdaya maju disebabkan pasaran ditempat itu hanya majoritinya dikunjungi oleh pelajar-pelajar universiti. Apabila café tersebut berpindah ke kawasan yang lebih strategik, iaitu di lot sudut, dan terdapat pelbagai kedai-kedai yang menjual pelbagai barang pengguna disekelilingnya, maka  ramailah pelanggan daripada golongan pekerja datang memenuhi café tersebut. Saya tanya pemiliknya bagaimana bisnes selepas berpindah ke lokasi baharu, beliau menjawap ‘sales saya meningkat banyak.”

Silap Letak Harga

Terdapat beberapa kaedah letak harga yang diamalkan dalam pasaran, namun begitu bab ini tidaklah bertujuan untuk membincangkan kaedah-kaedah tersebut. Harga yang tidak menguntungkan adalah disebabkan silap dalam meletakkan harga, terutamanya dalam pasaran persaingan sempurna dan juga disebabkan terdapat banyak persaingan. Persaingan sengit wujud akibat daripada tindakan pesaing-pesaing lain mencantas harga supaya mereka dapat mengawal di sesuatu pasaran atau untuk memenangi sesuatu tender.

Pernah berlaku seorang usahawan sanggup membekal sesuatu jenis barangan pada kerajaan dengan margin keuntungan lima peratus sahaja kerana persaingan yang agak sengit. Apabila beliau berjaya mendapat projek pada harga tersebut, tiba-tiba harga barangan daripada pembekal meningkat 20 peratus disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah yang tidak dapat dikawal. Akibatnya, pelanggan tersebut menanggung kerugian besar disebabkan menjual barang yang telah dipesan pada kadar sebut harga asal. Akhirnya, beliau mengalami kerugian besar disebabkan oleh harga kos per unit lebih tinggi daripada harga jualan seunit.

Begitu juga ramai daripada usahawan yang sanggup mencantas harga semata-mata untuk mendapatkan kerja-kerja pembinaan, ubahsuai, penambahbaikan bangunan-bangunan, jalan raya dan lain-lain kemudahan prasarana. Apabila jumlah kos meningkat, mereka terpaksa meninggalkan kerja-kerja dalam pembinaan tersebut separuh jalan dan hal ini menyebabkan banyak projek-projek tidak dapat disiapkan dengan sempurna ataupun terbengkalai. Menjual dengan harga yang terlampau murah juga boleh mengakibatkan pembeli beranggapan bahawa barangan tersebut adalah dalam kategori barangan low class. Barang-barang yang dijual di DIY, Tesco, Mydin dan lain-lain hipermarket dijual dengan margin yang tinggi (lebih 100%) bagi menampung kos operasi mereka.

Adalah penting anda memikirkan jumlah margin keuntungan dalam meletakkan harga. Produk perlu dijual dalam jumlah kuantiti yang banyak dan anda boleh menjualnya secara pukal (seperti dozen, tan, atau minimum 100 unit dalam satu kotak). Fokus kepada margin keuntungan perlu dibuat secara menyeluruh kerana kos meliputi sesuatu yang mungkin anda terlepas pandang untuk mengiranya. Walau bagaimanapun harga bukanlah penentu terakhir laku atau tidaknya sesuatu produk.

Tiada Inovasi Produk

Inovasi merupakan suatu proses mengubah, memperbaiki, memperelokkan lagi dan mengemaskini sesuatu barang supaya ianya menjadi lebih menarik dan berteknologi, selaras dengan  peredaran masa. Produk lama yang tiada inovasi akan menjadi lapuk dan usang, seterusnya ditinggalkan pengguna. Produk seperti Nokia dan Motorolla akhinya menjadi lapuk dan usang apabila ditinggalkan pengguna lantaran tidak menggunakan teknologi telefon pintar, dan masih tinggal kekal dalam dunia digital yang sudah ketinggalan.

Inovasi produk sering dikaitkan dengan penggunaan teknologi baru dan kreativiti untuk mengubah dimensi barang lama supaya kelihatan canggih serta memberi lebih nilai kepada pengguna.  Usahawan sewajarnya sudah bersedia dengan idea-idea baharu bagi menampilkan produk yang berlainan pada setiap keluaran. Namun begitu, perbezaan yang sedikit sahaja pada barang anda sudah dianggap mempunyai inovasi baharu. Sesungguhnya, inovasi dan kreativiti produk dapat mengekalkan kesetiaan pengguna, justeru dapat mengekalkan kesinambungan perniagaan anda.

Persaingan

Persaingan sengit mampu menyingkirkan sesuatu produk atau kedai daripada pasaran. Sahabat saya pernah membuka sebuah kedai hardware di Bukit Jalil. Setahun kemudian sebuah kedai hardware dua lot dibuka selang satu kedai dengannya. Beliau dapat rasakan ini suatu masalah besar datang. Enam bulan selepas itu, beliau terpaksa tutup kedai disebabkan volum jualannya tidak mampu menampung sewa kedainya. Semua pelanggannya telah lari ke kedai sebelah. Sayonara!

Syarikat-syarikat besar juga banyak yang ditutup akibat persaingan. Nokia merupakan suatu model telefon mudah alih yang paling gah suatu waktu dahulu. Disebabkan lambat bertidak balas terhadap teknologi telefon pintar yang menggabungkan elemen multimedia, akibatnya model nokia telah berkubur.

 

bisnes gagal

 

Kegagalan Perniagaan I Kegagalan Perniagaan II Perkhidmatan Cukai Incometax Calculator

 

 

 

Similar Posts