Kenapa Bisnes Gagal

kegagalan perniagaan

Sekapur Sireh

Bukan salah ibu mengandung, pinta badan memang begitu. Kita kerap  menyalahkan orang lain apabila kita gagal mencapai apa yang dihajati. Misalnya, patutkah murid-murid menyalahkan guru apabila mereka gagal dalam peperiksaan. Sebenarnya kita tidak boleh terima hakikat bahawa kita telah gagal dalam suatu visi dan misi. Artikel ini membincangkan kegagalan perniagaan disebabkan oleh diri sendiri berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya selama 30 tahun dengan usahawan.

Ambillah iktibar daripada kisah lagu rakyat bangau oh bangau. Dalam lagu tersebut, bangau menyalahkan dirinya kurus disebabkan oleh ikan yang tidak mahu timbul. Kemudian, ikan pula cuba menyalahkan rumput yang tumbuh panjang sangat. Seterusnya, rumput pula menyalahkan kerbau yang tidak datang memakannya sehingga menyebabkannya tumbuh panjang. Akhirnya, di penghujung lagu ini telah ditamatkan oleh ular yang mengaku bahawa katak itu memang makanannya. Jika tidak ada ular yang membuat pengakuan dalam lagu tersebut, maka tidak diketahui sampai bilakah lagu tersebut ditamatkan.

Melihat, Memerhati dan Menaakul

Berdasarkan apa yang saya lihat dan perhatikan dalam pergaulan saya dengan usahawan, saya menaakul dan mensintesis segala faktor-faktor unggul kegagalan perniagaan daripada sudut diri usahawan itu sendiri. Berikut merupakan dapatan saya.

 

kegagalan-I

Kegagalan Masa Lepas

Kegagalan perniagaan boleh berpunca daripada kegagalan masa lepas. Maka, terbenamlah benih-benih kegalalan itu dalam minda separa sedar usahawan buat selama-lamanya. Serik dan taubat tidak mahu buat lagi.

Dalam menangani kegagalan perniagaan masa lampau, hendaklah kita ambil peduli tiga prinsip berikut:

Pertama: Jika kita mahu berniaga atau jadi usahawan, kegagalan masa lampau hendaklah dihapuskan sama sekali daripada sarang fikiran separuh sedar. Jika tidak, selagi itulah kita tidak boleh move.

Kedua: Ingatlah, masa lampau tidak boleh dikenang, tidak boleh diperbetulkan lagi dan kita tidak boleh kembali semula untuk membetulkannya. Masa lampau merupakan zaman kita belajar bertatih, jatuh lalu tersungkur.

Ketiga: Yang lebih penting, kita hendaklah bertindak untuk dan bagi kepentingan sekarang dan akan datang.

Kehidupan yang lampau sudah berlalu, seharusnya kita perlu harungi masa sekarang dan akan datang. Oleh itu, lupakan kegagalan perniagaan waktu silam memandangkan ia mampu menjadi batu penghalang untuk kita bergerak maju dimasa hadapan.

Tiada Penetapan Matlamat

Penetapan matlamat  melibatkan tiga elemen secara langsung yakni; modal, jangka masa dan risiko. Sesuatu matlamat yang dirancang perlulah memasukkan ketiga-tiga elemen ini, seperti; modal awal yang cukup untuk menampung kos operasi. Kegagalan perniagaan juga boleh disebabkan oleh tiada penetapan matlamat.

Matlamat merangkumi jangka masa pendek (1-3 tahun), jangka masa sederhana (3-5 tahun) dan jangka masa panjang (lebih daripada 5 tahun). Matlamat juga hendaklah dinyatakan secara kuantitatif dan munasabah. Matlamat juga perlulah bersifat fleksibel dan boleh diubah suai pada bila-bila masa mengikut keadaan. Walau bagaimanapun, artikel ini tidak menerangkan bagaimana sepatutnya membina penetapan matlamat.

Risiko pula berkaitan dengan jumlah modal yang dilaburkan dan bidang perniagaan yang dijalankan. Besar modal, besarlah risikonya. Bidang perniagaan yang low demand mempunyai risiko yang tinggi.  Buat kajian permintaan pengguna terlebih dahulu bagi mengelak kegagalan perniagaan disebabkan mengeluarkan produk syok sendiri.

Penetapan matlamat mampu menjadi perisai kepada kegagalan perniagaan. Jika seseorang usahawan itu telah menetapkan matlamatnya secara bertulis, dia mampu untuk mencapai lima perkara.

  • Pertama: matlamat yang dirangka itu mampu meletuskan sikap untuk melaksanakan gerak kerja yang telah digariskan itu.
  • Kedua: penetapan matlamat yang komprehensif dapat membimbing usahawan supaya lebih fokus dengan kerja-kerja yang telah ditetapkan terlebih dahulu.
  • Ketiga: usahawan dapat mengekalkan momentum atau kuasa bertindak untuk menggerakkan dirinya ke arah pencapaian matlamat.
  • Keempat: penetapan matlamat juga mampu untuk menyelaraskan fokus berdasarkan maklum balas daripada kemajuan gerak kerja lepas dan dibuat pengubahsuaian di mana perlu.
  • Kelima: dengan penetapan matlamat seseorang itu mampu membina karekter berani dan akhirnya dia dapat mengenalpasti perkara yang benar-benar penting untuk perniagaanya dan dapat mengatasi kebarangkalian kegagalan perniagaan.

Seseorang yang berjaya mencapai matlamatnya dikatakan dia mampu membina keberkesanan diri, mengembangkan keperkasaan dan jati diri serta dia dapat membuktikan dirinya sebagai seorang juara. Tidak keterlaluan jika kita katakan dia merupakan suatu rare spesis yang mampu menterjemahkan suatu matlamat.

Gagal Untuk Berubah

Dunia perniagaan hari ini sangat pantas berubah, dan begitu juga dalam mana-mana perusahaan sekalipun, mereka tidak boleh mengelakkan diri daripada berubah. Perubahan persekitaran  ekonomi dan perniagaan pada dasawarsa ini berlaku sangat robus dan di luar jangkaan manusia. Jika tidak endah, lebih mudahlah berlakunya kegagalan perniagaan. Misalnya, lihatlah apa yang telah berlaku kepada dinosaur, ia pupus sama sekali kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan alam sekitar. Sebaliknya, lihatlah lipas, di mana-manapun ia boleh hidup sehinggakan sukar manusia hendak menghapuskannya.

Sesiapa sahaja, atas nama perubahan, perlu menganjak ke suatu paradigma baharu secara total demi untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun. Dalam Islam, konsep ini dikenali sebagai hijrah, yakni merubah dan memperbaiki diri kepada suatu tahap yang lebih baik, seterusnya ke tahap yang lebih baik lagi pada masa hadapan.

Pasaran adalah sangat kejam bagi sesiapa sahaja yang tidak bersedia untuk berubah. Mereka akan dihukum oleh pelanggan-pelanggan sehingga boleh menyebabkan kegagalan perniagaan, sudah pasti mereka lari ke tempat lain. Alvin Toffler menegaskan sama ada anda tidak bertindak balas langsung atau tidak bertindak balas cukup pantas atau dengan berkesan terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Beliau menamakan kelemahan seseorang dalam menghadapi perubahan mendesak ini sebagai “kejutan masa depan”.

Misalnya, seorang usahawan menjalankan perniagaan agensi insuran am yang sangat aktif pada peringkat awal perniagaannya. Pendapatannya sangat lumayan disebabkan terdapat hanya dua buah agensi insurans sahaja di bandar tersebut, termasuklah agensinya. Selepas tiga tahun kemudian, beliau mendapati banyak agensi-agensi insurans am baharu telah dibuka di mana pemilikya jauh lebih muda dan lebih berpendidikan.

Akhirnya, perniagaan insurans beliau telah merosot sedikit demi sedikit. Tambahan pula, agensi-agensi insurans baharu menggunakan sistem memperbaharui insurans atas talian, sedangkan beliau masih lagi menggunakan kaedah lama menulis cover note dan terpaksa menunggu polisi siap dalam tempoh sebulan. Beliau tidak mahu berubah dan tidak mahu belajar komputer! Akhirnya, beliau ditendang keluar daripada pasaran dan mengalami kegagalan perniagaan total disebabkan tidak mampu untuk cope-up dengan perubahan teknologi.

Usahawan perlulah menganjak daripada suatu paradigma atau kaedah yang lama kepada suatu kaedah baharu supaya produk atau perkhidmatan dapat diterima baik oleh pengguna. Hal ini sangat penting bagi mengelakkan kegagalan perniagaan kerana kehendak dan cita rasa pengguna berubah dengan pantas. Pengguna pula terdiri daripada masyarakat yang berilmu dan mereka sentiasa dapat mengadili dengan baik perihal setiap barang dan perkhidmatan mereka gunakan.

Menyalahkan Orang Lain

Sikap suka menyalahkan orang lain disebabkan kelemahan dan ketidakbolehan diri sendiri boleh menyebabkan kegagalan perniagaan. Sikap ini menyebabkan seseorang itu tidak mahu mengakui kelemahan sendiri, apatah lagi memperbaikinya, malah cuba mencari sebab lain untuk menutup kelemahan tersebut.

Sewaktu ekonomi Malaysia sedang memuncak dahulu (sebelum krisis kewangan serantau 1987) ramai usahawan boleh dikatakan hidup mewah. Ketika itu indeks komposit pasaran saham berada sekitar lebih 1,500 ke atas, dan pertumbuhan ekonomi sentiasa melebihi 8% setahun. Seorang usahawan menjalankan industri pengilangan mendapat pinjaman daripada bank berjumlah hampir RM1,000,000.00. Selepas mendapat pinjaman tersebut, beliau asyik berulang alik ke syarikat broker saham untuk jual-beli saham secara kontra dengan jumlah dagangan yang banyak dan mengabaikan pengurusan perniagaannya.

Apabila pasaran saham mula merudum, beliau terpaksa top-up margin kerugian yang dialaminya sehingga ke tahap menggunakan sumber wang daripada perniagaan. Kesannya, beliau terpaksa menggunakan wang syarikat yang diperolehi daripada pinjaman bank apabila pihak syarikat broker saham telah mengeluarkan notis tuntutan hutang. Akhirnya, kilang beliau terpaksa ditutup disebabkan kehabisan modal pusingan untuk membeli bahan mentah dan membayar kos overhead, dan beliau menyalahkan pekerja-pekerja kilangnya yang tidak cekap sehingga mengakibatkan kerugian perniagaan yang teruk

Membuka Perniagaan Bukan Teras

Membuka perniagaan lain yang bukan bidang teras kita merupakan salah satu penyebab kegagalan perniagaan.  Terdapat usahawan yang  mempunyai lebihan dana daripada perniagaan terasnya, kemudian menggunakan keuntungan tersebut untuk membuka perniagaan lain. Justeru, datang tukang canang mengambil kesempatan mencadangkan perniagaan lain yang menguntungkan. Sebenarnya, selagi suatu perniagaan itu belum dijalankan, sukar untuk dibuktikan bahawa perniagaan itu sangat menguntungkan.

Terdapat seorang pelanggan saya yang menjalankan perniagaan menjual basikal, alat-ganti dan juga baik pulih basikal. Kemudian, beliau telah membuka sebuah perniagaan butik pakaian yang dikendalikan oleh anak perempuannya. Perniagaan butik tersebut mengalami kerugian dan beliau telah menyuntik modal tambahan ke dalam perniagaan itu. Disebabkan kerap menyuntik modal ke dalam perniagaan anaknya, bisnes basikal beliau mengalami masalah aliran tunai yang serius. Kedudukan aliran tunai yang negatif sukar untuk dipulihkan melainkan dia menyuntik modal tambahan daripada luar.

Modal tambahan lazimnya datang daripada sumber terakhir simpanan kita, pinjaman daripada orang lain ataupun pinjaman daripada bank. Pinjaman daripada orang lain agak membayakan sekiranya pemberi pinjaman mahukan pegangan majoriti syer dalam syarikat dan juga kawalan dalaman bisnes. Secara automatik, syarikat kita sudah berpindah milik kepada si pemberi pinjaman. Pihak bank pula sukar untuk membantu bisnes yang mengalami masalah aliran tunai, tambahan pula tanpa cagaran dan tract rekod yang baik daripada aspek penyediaan penyata kewangan dan pematuhan cukai.

Lebih afdhal jika usahawan itu betul-betul fokus dalam bisnes teras yang menguntungkannya dan mengembangkannya lagi ke tahap maksimum. Perniagaan pertama merupakan denyut nadi kita dan elak libatkan diri dalam perniagaan lain di luar pengetahuan kita. Lainlah jika kita membuat business switching disebabkan perniagaan sekarang mengalami kemerosotan. Keuntungan perniagaan adalah digunakan untuk tujuan simpanan peribadi bagi menghadapi musim “langit tidak selalu cerah” atau sekurang-kurangnya mampu mengelak daripada kegagalan perniagaan.

Pembaziran

Pembaziran bermaksud berbelanja berlebih-lebihan untuk perkara-perkara yang tidak diperlukan. Tambahan pula, pembaziran dilakukan semasa dalam peringkat pra-perniagaan boleh menjadi salah satu faktor kegagalan perniagaan. Dalam erti kata lain, modal permulaan perniagaan habis dibelanjakan untuk menubuhkan pejabat sahaja. Hal ini termasuklah ubah suai pejabat secara berlebihan, membeli perabot dan sofa mewah, membeli peralatan pejabat yang kurang diperlukan, mengadakan kursus staf di hotel-hotel mewah dan lain-lain lagi. Sedangkan sale belum masuk lagi.

Situasi ini dapat digambarkan oleh sebuah syarikat di mana semua pengarahnya terdiri daripada orang-orang ternama dan berasal daripada makan gaji. Sewaktu dalam syarikat konglomerat dahulu, mereka sudah biasa dengan peralatan pejabat yang lengkap dan canggih, serta terdapat setiausaha cantik membantu tugas mereka. Mereka tidak mengenal erti kegagalan perniagaan.

Pejabat pula  diubah suai dengan kos kelas mewah, tidak termasuk peralatan pejabat yang canggih seperti mesin fotostat, perabot dan sofa, penghawa dingin, karpet dari dinding ke dinding dan lain-lain lagi. Kemudian syarikat mencetak sejumlah fail kad manila yang tidak masuk akal banyaknya, termasuklah invois, kepala surat, sampul surat, kertas simili dan beranika jenis alat tulis. Hal ini berlaku disebabkan pihak pengarahnya tiada langsung pengalaman dalam menguruskan perniagaan sendiri dan sudah terbiasa dengan suasana kerja di syarikat-syarikat besar yang serba serbinya lengkap. Kegagalan perniagaan tidak terlintas dalam kamus hidup mereka.

Selepas pasca-perniagaan pula, pembaziran dilakukan untuk perbelanjaan-perbelanjaan bukan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan seperti membeli kereta mewah serta perbelanjaan peribadi berbanding dengan perbelanjaan pemasaran dan promosi syarikat.

Seorang akauntan disebuah syarikat sudah nampak tanda-tanda kegagalan perniagaan dan beliau dengan berani menegur bosnya yang sangat boros berbelanja sehingga ke suatu tahap yang tidak munasabah. Di samping kereta syarikat yang digunakan, bosnya juga mengeluarkan wang syarikat untuk membayar kereta isteri dan anak-anaknya, ansuran rumah, pembantu rumah, perbelanjaan bermain golf, barang-barang kegunaan rumah dan lain-lain sehingga mencecah lebih RM20,000 sebulan.

Perniagaan perlu bermula dengan berbelanja atas perkara-perkara penting dan tidak banyak membebankan kewangan pemiliknya. Perbelanjaan yang perlu dibiayai diperingkat permulaan adalah seperti sewa pejabat, gaji kakitangan, perbelanjaan utiliti, belian stok, promosi dan pemasaran dan perbelanjaan operasi yang lain. Hal ini dilakukan bagi membolehkan perniagaan tersebut terus berjalan lancar dan mengelakkan kegagalan perniagaan pada masa hadapan.

Kemudian, pastikan perniagaan tersebut berkembang terlebih dahulu dengan memberikan tumpuan atas aspek-aspek pemasaran dan promosi supaya dapat meningkatkan tahap jualan.

Peralatan pejabat yang canggih, perabot ekslusif dan hiasan pejabat haruslah ditambah dari masa ke semasa setelah mendapat keuntungan daripada perniagaan. Kaedah ini dapat memelihara aliran tunai keluar di samping dapat menyimpan lebihan wang dalam keadaan lebih selesa dan sudah pasti dapat elak kegagalan perniagaan.

Tidak Berdisiplin

Bagi orang-orang yang berjaya dalam apa jua bidang, sudah pasti mereka meletakkan disiplin sebagai salah satu faktor utama untuk mencapai kejayaan. Walaupun seseorang yang dikira gifted  seperti Tiger Wood (pemain golf professional), Amalina (pelajar SPM 17A), Datok Lee Chong Wei (pemain badminton No. 1 dunia) Mohd Firdaus (pelajar Fizik cemerlang di UPM dengan CGPA 4.0) sekalipun,  mereka tetap mempunyai satu set disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan tersebut. Adalah sukar bagi seseorang itu mampu mencapai sesuatu kejayaan dengan begitu mudah tanpa sutu set disiplin yang tinggi.

Lihatlah kehidupan orang yang berdisplin tinggi, sukar bagi mereka membuang masa dengan kawan-kawan tanpa tujuan. Oleh itu, kita perlu membentuk disiplin diri secara membentuk jadual kerja harian dan bulanan, oleh itu kejadian kegagalan perniagaan dapat dielakkan. Untuk mencapai kejayaan saya bahagikan disiplin diri itu kepada tiga fasa utama; Pertama, berdisiplin dalam melaksanakan kerja-kerja untuk mencapai matlamat. Kedua, berdisiplin ketika mengendalikan wang ringgit, dan Ketiga; berdisiplin dalam  mempertahankan perniagaan supaya dapat bertahan lama. Kegagalan perniagaan dapat dielakkan jika usahawan mempunyai set disiplin yang tinggi.

Dalam peringkat pertama, tindakan perlulah dirancang, diatur dan dilakukan secara konsisten. Segala perancangan awal boleh dirombak semula untuk disuaikan dengan keadaan bagi mencapai matlamat. Disiplin ketika mengendalikan wang bermaksud kita perlu berdisiplin menjaga aliran tunai hasil daripada bisnes untuk tujuan perniagaan, kebajikan kakitangan, bayaran hutang, dan lain-lain bayaran wajib supaya dapat mengelak kegagalan perniagaan. Begitu juga dengan disiplin menyimpan lebihan wang dengan lebih teratur. Disiplin yang ketiga begitu sukar untuk dilaksanakan, disebabkan untuk mempertahankan perniagaan dalam jangka masa yang panjang bukanlah suatu tugas yang mudah.

Malas

Malas merupakan kemuncak kepada segala faktor kegagalan perniagaan. Pepatah Melayu ada menyatakan ‘hidup segan mati tak mahu’. Orang yang rajin dapat melaksanakan kerja-kerja mereka berlipat kali ganda hasilnya berbanding dengan orang yang malas. Selepas bom atom digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima semasa  perang dunia kedua pada tahun 1945, tempat tersebut menjadi padang jarak padang tekukur. Namun begitu, dengan penuh kerajinan dan dedikasi rakyatnya, Jepun telah bingkas semula membina negaranya sehingga telah berjaya menjadi sebuah negara perindustrian terkaya di dunia.

Memang jelas tidak ada tempat bagi orang yang ingin bermalas-malasan dalam bidang keusahawanan. Mereka mestilah berupaya bekerja lebih daripada 12 jam sehari dalam keadaan penuh tekanan, supaya dapat mengelakkan kegagalan perniagaan pada peringkat awal. Kemudian, apabila sudah berjaya, kerja-kerja sudahpun dikendalikan oleh orang lain dan terdapat banyak masa boleh digunakan untuk tujuan lain.

Menurut Brian Tracy, 50% manusia membuang masa pada waktu kerja disebabkan bersembang dengan rakan sekerja, melewat-lewatkan waktu rehat sambil minum kopi atau makan tengahari, perniagaan peribadi, membaca akhbar atau majalah dan melayari internet. Beliau menggesa supaya seseorang bekerja sepenuh perhatian pada keseluruhan waktu bekerja disamping memulakan kerja satu jam lebih awal, dan bekerja lebih masa untuk mencapai produktiviti.

Tidak hairanlah usahawan yang berjaya merupakan manusia yang rajin berusaha, mereka perlu membayar pelbagai jenis perbelanjaan dan tanggungan lain sebelum membawa balik pulangan bersih sebagai pendapatan untuk dirinya.  Dalam kedudukan perniagaan yang sudah stabil, masa usahawan sudah pasti lebih banyak di peruntukkan dalam hal membuat keputusan dan mencari peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Sikap malas juga mempunyai kaitan dengan suka bertangguh. Menangguh-nangguhkan kerja berlaku disebabkan tiada jadual kerja harian dan pemerian tugas kepada orang lain. Jadual kerja harian sudahpun ditetapkan mengikut keutamaan, selesaikan hingga habis untuk hari itu. Jika ada gangguan, abaikan dan beritahu sahaja bila kita free dan boleh jumpa. Sikap suka bertangguh menyebabkan kerja-kerja tidak dapat diselesaikan mengikut masa yang sepatutnya dan merupakan suatu pentunjuk seseorang itu lemah dalam aspek time management dan berakhir dengan kegagalan perniagaan.

Penyebab-penyebab lain

Sebab-sebab lain kegagalan perniagaan boleh juga berpunca daripada pelbagai faktor sampingan selain daripada penyebab yang telah dinyatakan di atas. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian ke atas bisnes-bisnes yang gagal selama lebih 30 tahun, penyebab kejatuhan perniagaan berpunca daripada penyebab-penyebab di atas sangat ketara. Penyebab-penyebab lain termasuklah kempimpinan yang lemah, tidak fokus dengan perniagaan, pemilik tidak menjalankan kegiatan pemasaran dan promosi yang berterusan, dan krisis rakan kongsi atau pengarah.

Kesimpulan

Kegagalan perniagaan disebabkan faktor diri sendiri hanya boleh diselesaikan oleh usahawan itu sendiri. Dia perlu berubah 360 darjah untuk kebaikan bisnes dan diri sendiri juga. Jika diri sendiri tidak mampu hendak diurus, bagaimana hendak uruskan perniagaan? Terdapat banyak lagi sikap yang perlu diubah oleh usahawan seperti panas baran, tidak menepati masa, wujud jurang komukasi, matlamat tidak jelas dan lain-lain lagi.

 

kenapa bisnes gagal

 

Perkhidmatan Cukai Memilih Rakan Kongsi Nama Perniagaan Yayasan

 

 

 

 

 

Similar Posts