punca bisnes jatuh

kamal-al-rahman

Artikel ini merupakan sambungan daripada Kenapa Bisnes Gagal: Diri Sendiri. Adapun Punca Bisnes Jatuh yang disebabkan oleh faktor luaran adalah lebih ganas sifatnya. Penyebab luaran kejatuhan perniagaan terbit daripada pembolehubah-pembolehubah yang sukar untuk dikawal atau diramal oleh seseorang usahawan. Ia ibarat seseorang yang sedang memandu kereta tiba-tiba dilanggar kenderaan lain dari belakang. Walaupun pemandunya bersikap berhemah dan berhati-hati, namun dia masih juga kena langgar oleh kenderaan lain. Jelasnya, penyebab-penyebab luaran tersebut bukanlah berpunca daripada usahawan itu sendiri, tetapi disebabkan oleh faktor luaran seperti berikut:

punca bisnes jatuh

Perasaan Hasad Dengki (PHD)

Perasaan hasad dengki (dikenali dengan singkatan PHD) tidak dapat dihapuskan sama sekali daripada muka bumi ini. Disebabkan perasaan hasad dengki iblis terhadap Nabi Adam a.s. yang hidup bahagia dalam syurga, maka Baginda dan isterinya Siti Hawa tercampak ke dunia lantaran termakan buah yang dilarang oleh Allah setelah dihasut oleh iblis. Perasaan hasad dengki ibarat api dalam sekam, api tetap menyala walaupun tidak kelihatan asapnya. Perasaan hasad dengki bukan sahaja setakat menyebabkan sesebuah perniagaan itu runtuh, malahan; rumah tangga, pemerintahan, hubungan persahabatan dan lain-lain boleh musnah menjadi abu. Perasaan hasad dengki manusia wujud tanpa kita sedari.

Orang yang menyimpan perasaan hasad dengki lazimnya terdiri daripada para pesaing, kawan-kawan baik, saudara mara dan sesiapa sahaja yang mengenali kita. Tidak mungkin orang yang tidak kenal kita menyimpan perasaan hasad dengki, mereka tidak tahu menahu pun tentang diri kita dan tidak ada sebab kenapa mereka harus iri hati pada kita.

Kaum pendengki menyimpan perasaan hasad mereka atas seseorang disebabkan oleh:

  • Kelebihan yang terdapat pada diri seseorang; seperti kepandaian atau kemahiran seseorang melakukan sesuatu. Misalnya; orang itu cantik atau lawa; masakkan dia sedap dan disukai orang; tambahan pulak dia kaya-raya; perniagaannya berjaya; beliau mempunyai kuasa, pengaruh, pangkat dan kedudukan; dan kelebihan-kelebihan lain.
  • Mahu mencapai sesuatu matlamat tanpa bersusah payah; kaum pendengki ingin mencapai sesuatu cita-cita yang diidamkan atau mahu berjaya dalam jangka masa yang singkat sehingga sanggup bertindak ‘matlamat menghalalkan cara’ tanpa perlu bersusah payah. Hal ini termasuklah membeli kuasa dan pangkat, berebut tender atau projek-projek, dan menggunakan lain-lain kaedah ‘gila’ dan tidak masuk akal.

Golongan pendengki merupakan orang yang mempunyai masalah kerohanian yang amat teruk, dan kehadiran mereka dalam lingkungan hidup seseorang begitu sukar untuk dikenalpasti. Kehadiran mereka dalam lingkungan hidup kita mampu menjadikan punca bisnes jatuh  teruk dan lingkup.

Anda mampu mengurangkan perasaan hasad dengki orang lain melalui pendekatan berikut:

  • Elakkan daripada menghebahkan pada kawan-kawan, pesaing-pesaing, saudara mara dan kaki-tangan pejabat mengenai sesuatu yang berkaitan dengan harta, kontrak perniagaan dan lain-lain demi menjaga kepentingan anda daripada mendapat tindak balas yang tidak baik.
  • Semua manusia mempunyai musuh, dan daripada persahabatanlah akhirnya mewujudkan permusuhan. Orang yang rapat dengan kitalah lazimnya mengetahui sesuatu tentang perniagaan, kekayaan, kekuatan, kelemahan dan wang kita. Berhati-hatilah kerana bibit-bibit perasaan hasad dengki bermula tanpa disedari, ia ibarat api dalam sekam.
  • Elakkan daripada menunjuk-nunjuk kekayaan secara berlebihan, memang terdapat ramai orang di sekeliling kita tidak senang melihat apa juga kelebihan yang kita dimiliki. Bersikap rendah diri adalah dilihat lebih selamat daripada bersikap menunjuk-nunjuk.
Terlampau Bergantung Pada Seseorang

Dalam perniagaan, elakkan daripada terlampau bergantung kepada seseorang. Misalnya,  bergantung kepada pelanggan-pelanggan tertentu, pembekal-pembekal tertentu, atau pun bergantung kepada kakitangan tertentu sahaja. Hal ini disebabkan sesuatu hubungan itu tidak akan berkekalan sampai bila-bila. Hubungan kita dengan kakitangan akan terputus jua apabila kakitangan tersebut berkahwin dan mengikuti suami bekerja ke tempat lain. Begitu juga halnya dengan pelanggan; mereka datang dan pergi apabila mendapati anda tidak lagi menguntungkan mereka, ataupun terdapat tempat lain menjual pada harga yang lebih murah.

Elakkan juga menjalankan perniagaan dengan hanya bergantung kepada membekalkan barang atau perkhidmatan kepada syarikat tertentu sahaja. Misalnya, bergantung kepada TNB atau Telekom atau Petronas sahaja. Pegawai-pegawai dalaman yang berkuasa memilih kontraktor pembekalan akan bertukar kerja suatu hari nanti, atau pun polisi syarikat mereka melantik pembekal/kontraktor baharu apabila tamat tempoh tiga tahun. Hal ini boleh menjadi punca bisnes jatuh tengkerap.

Begitu juga, pelanggan-pelanggan utama kita akan mencari orang lain pada suatu hari kelak, dan akhirnya dia akan tinggalkan kita juga. Lebih baik pelbagaikan bilangan pembekal dan pelanggan disebabkan hilang satu terdapat banyak pilihan lain lagi.

Terdapat seorang usahawan menjalankan perniagaan membekalkan pelbagai produk perkakasan dan alat ganti telekomunikasi. Beliau telah melantik seorang pegawai pemasaran untuk menjual barang-barang telekomunikasi kepada pelanggan baharu. Selepas 2-3 tahun kemudian, pegawai pemasaran tersebut akhirnya berhenti kerja. Kemudian, bekas pekerjanya membuka perniagaan yang sama, dan membekalkan kepada pelanggan yang sama dengan bekas majikannya dahulu.

Akhirnya, bekas pekerja itu tadi berjaya memintas bekas majikannya bagi membekalkan beberapa item barang yang dahulunya dibekalkan oleh bekas majikannya.

Oleh itu, majikan atau pemilik perniagaan perlulah menerima hakikat bahawa pekerja, pembekal dan pelanggan tidak akan kekal lama, dan mereka akan pergi jika mendapati terdapat tempat lain yang lebih menghijau buat mereka.

  • Pemilik perniagaan perlulah menguasai kepentingan strategik dalam perniagaan seperti pemasaran, kewangan dan hubungan antara pelanggan dan pembekal.
  • Kakitangan yang boleh diharapkan datang dan mereka akan pergi juga pada suatu hari nanti, oleh itu, pastikan ketiadaan mereka tidak menjejaskan operasi perniagaan anda.
  • Perbanyakkan jumlah pelanggan supaya tidak hanya bergantung kepada pelanggan tertentu sahaja, pelanggan setia boleh lari daripada kita pada bila-bila masa sahaja.
Sabotaj dan Konspirasi

Perbuatan sabotaj dan konspirasi mampu menjadikan punca bisnes jatuh tersungkur. Perbuatan ini juga berkait rapat dengan perasaan yang terbit daripada hasad dengki atau iri hati, lantas mereka bertindak melakukan perbuatan sabotaj dan konspirasi bagi menyekat dan menimbus terus karier seseorang daripada muka bumi.  Bak kata orang bijak pandai, panglima sudah hendak jadi raja.

Musuh terdapat di mana-mana sahaja. Misalnya, restoran  musuhnya dalam kalangan orang yang berniaga restoran juga. Orang politik, musuhnya dalam kalangan orang politik juga. Mahukah anda bermusuh dengan orang yang tidak anda dikenali? Tentu tidak. Dalam perniagaan,  terdapat beberapa sumber utama datangnya perbuatan sabotaj seperti yang dibincangkan di bawah.

Sabotaj Daripada Kakitangan

Seorang kakitangan mampu melakukan sesuatu perkara yang boleh merugikan perniagaan kita. Antaranya ialah; memberi maklumat rahsia kepada pesaing-pesaing atau kakitangan tersebut berhenti kerja dan kemudiannya menjadi pesaing di sebelah pejabat kita. Semasa bekerja dengan kita, kakitangan tersebut telah tahu pelbagai maklumat seperti nama, alamat dan nombor telefon pembekal, kadar harga barangan dan lain-lain.

Begitu juga, senarai pelanggan-pelanggan serta harga yang kita jual kepada pelanggan tersebut. Jelasnya, seorang kakitangan mampu melakukan pelbagai sabotaj kepada majikannya. Misalnya, berlaku tidak jujur dengan mendedahkan maklumat harga kepada pesaing-pesaing, senarai pembekal, kekuatan kredit dan lain-lain. Jangan remehkan penyimpangan yang boleh dilakukan oleh kakitangan kita.

Sabotaj Daripada Rakan Kongsi atau Pengarah Lain

Lazimnya, sebuah perniagaan perkongsian sedikit sahaja bilangan yang dapat bertahan lama. Hal ini disebabkan oleh sikap rakan kongsi yang tidak sehaluan, masing-masing ada agenda tersendiri dan sukar bagi mereka duduk berbincang setelah perniagaan mereka meningkat maju. Terdapat rakan kongsi sanggup melihat perniagaan itu lingkup sama sekali, berbanding dengan sikap menjual sahaja kepentingannya kepada rakan kongsi yang lain.

Suatu ketika dahulu, saya mengenali seorang kontraktor kelas A dalam bidang elektrik. Lembaga pengarahnya mempunyai sijil-sijil kompetensi dan kemahiran sehinggakan syarikat berjaya memperolehi tender jutaan ringgit. Terdapat seorang Pak Cik yang merupakan seorang pengarah dan pemegang saham syarikat tersebut.  Pada peringkat permulaan, perniagaan mereka berjalan dengan begitu lancar sekali. Setelah mendapat projek dan wang  banyak yang masuk, pengarah-pengarah mula membuka mata lebih besar.

Pak Cik tersebut sudah tidak tahan lagi dengan gelagat berebut kuasa dan wang oleh lembaga pengarah. Justeru, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pengarah dan sanggup kehilangan wang pencen yang telah dilaburkannya sebanyak RM40,000. Tidak berapa lama kemudian, syarikat tersebut dilanda pelbagai masalah disebabkan salah seorang pengarah yang memegang lesen kecekapan lari begitu sahaja sehingga banyak projek-projek syarikat yang tidak dapat disiapkan.

Sabotaj daripada pesaing-pesaing

Dalam dunia perniagaan, persaingan merupakan suatu perkara yang sihat. Tambahan pula, dalam pasaran persaingan sempurna, pengeluar dan pengguna bebas meletak harga dan keluar masuk pasaran. Pada hakikatnya, pengeluar-pengeluar tidak sanggup bersaing secara sihat – berebut-rebut untuk mendapatkan pelanggan.

Pesaing-pesaing juga boleh mensabotaj perniagaan lawan dalam pelbagai bentuk, iaitu memotong harga, membuka perniagaan yang sama, mencuri pelanggan-pelanggan utama dan lain-lain lagi. Natijahnya, timbullah unsur-unsur tidak sihat seperti menggunakan ilmu sihir dan perbuatan lain bertujuan untuk mengeluarkan anda terus dari pasaran.

Suatu hari, saya bersembang dengan seorang pelanggan berbangsa Bangladesh yang menjalankan perniagaan pasar mini. Kemudian, datang seorang pembekal air mineral yang bertanyakan berapakah harga air mineral yang dibelinya daripada pembekal asal. Si Bangladesh mulakan tawar menawar harga dengan pembekal air mineral yang baharu, dan dia sanggup membekalkan air mineral pada harga yang lebih murah daripada harga pembekal lama. Begitu juga, saya pernah melihat sebuah pasar mini yang sudah lebih dua puluh tahun bertapak di situ jatuh merosot disebabkan oleh terdapat sebuah pasar mini baharu yang dibuka bersebelahan dengannya. Tanpa disedari, setiap hari pesaing baharu mengintip pasar mininya bertujuan untuk mengetahui harga barang-barang yang dijual olehnya. Kemudian, pesaing tersebut meletakkan harga yang lebih rendah sehingga mengakibatkan pelanggan-pelangganya telah lari ke kedai sebelah.

Perbuatan sabotaj dan konspirasi merupakan suatu kaedah berkesan untuk menjatuhkan lawan dan merupakan salah satu punca bisnes jatuh. Peraturan perniagaan menyatakan bahawa usahawan perlu bersaing secara sihat, namun begitu, peraturan tersebut sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Sebagai langkah berwaspada, adalah baik jika usahawan dapat mengamalkan yang berikut:

  • Bagi pelanggan-pelanggan yang besar dan penting, pemilik perlulah menguruskannya sendiri dengan rapi dan tidak membiarkan kaki tangan lain untuk berurusan dengan pelanggan tersebut. Elakkan daripada dicaras!
  • Sebelum menjalankan perniagaan dengan rakan kongsi, perlulah digariskan terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap rakan kongsi, termasuklah tidak membenarkan mereka menjalankan perniagaan lain yang saling bersaing dengan syarikat.
  • Jika berlaku peperangan harga berterusan dengan pesaing, anda mestilah menghadapinya, fikirkan cara lain dengan mengubah model perniagaan kita supaya mampu bertahan walaupun terpaksa mengubah haluan.
Kena Tipu

Purata seorang usahawan mesti pernah kena tipu paling kurang 3-4 kali atau lebih seumur hidup mereka. Kena tipu yang melibatkan wang dalam jumlah yang besar adalah sangat merbahaya. Wang yang didapati mungkin diperolehi melalui simpanan ataupun pinjaman. Apabila kena tipu, bayangkanlah – sebahagian atau keseluruhan daripada simpanan lenyap dalam sekelip mata sahaja.

Jika wang yang diperolehi itu melalui pinjaman, akibatnya kita terpaksa membayar semula wang pinjaman tersebut kepada pemiutang tanpa mendapat apa-apa pulangan pun. Ahirnya, faktor kena tipu ini boleh menjadi punca bisnes jatuh.

Seorang wanita telah dipujuk oleh teman lelakinya supaya meminjamkannya sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan 200 ekar tanah daripada sebuah  kerajaan negeri. Teman lelakinya pula telah dipujuk oleh pengarah urusan syarikat supaya membantu syarikat mereka dan menjanjikan imbuhan besar kepada sesiapa yang memberikan pinjaman. Teman lelaki wanita tersebut membawanya berjumpa dengan pengarah urusan syarikat dan menunjukkan surat temuduga tanah daripada exco kerajaan negeri. Justeru, pengarah urusan syarikat mohon bantuan RM50,000 daripada wanita tersebut untuk membayar wang upfront  bagi mendapatkan tanah.

Sebagai balasan, wanita itu akan dilantik sebagai pengarah syarikat dan dijanjikan 20 peratus milikan saham dalam syarikat. Beliau bersetuju mengeluarkan wang RM50,000 hasil daripada pemberian bapanya sebelum meninggal dunia. Diringkaskan, pengarah urusan syarikat telah menghilangkan diri beberapa hari kemudian selepas menerima wang RM50,000 daripada wanita tersebut. Ingatlah! Menangis air mata darah pun wang itu tidak boleh dapati kembali.

Terdapat banyak lagi kisah kena tipu dalam dunia perniagaan telah dipaparkan dalam media. Jangan lupa, Si Penipu tahu bahawa sesorang itu memiliki barang-barang yang mereka kehendaki. Untuk mengelak daripada ditipu, berikut dinyatakan beberapa langkah awasan dan berjaga-jaga:

  • Seseorang itu ditipu boleh disebabkan oleh perasaan tamak sehingga gagal untuk berfikir secara rasional dan membuang kata hati/ naluri, dan terlampau berpegang kepada prinsip berfikiran positif. Berfikir positif datangnya daripada kemahiran kognitif (iaitu berdasarkan logik dan memproses pengiraan, membaca dan mengingat). Sepatutnya, lebih banyak gunakan kalbu atau gerak hati dalam setiap urusniaga diluar kebiasaan.
  • Manusia dikurniakan oleh Allah dengan gerak hati yang kuat sekiranya terdapat sebarang cadangan berunsur penipuan dikemukakan kepada mereka. Gunakan gerak hati dalam membuat setiap keputusan urusniaga kritikal yang melibatkan jumlah wang yang banyak. Penipu cuma boleh meyakinkan anda, tetapi teknik yang mereka gunakan adalah sungguh meragukan. Apabila terdapat aspek yang meragukan, sepatutnya batalkan sahaja.
  • Amalkan selalu prinsip ‘due diligence’ dalam membuat keputusan. iatu, semaklah dahulu kebenarannya. Jika membeli sebuah kereta terpakai, dapatkan pendapat bebas seorang mekanik terlebih dahulu sebelum membelinya.
Kawan Makan Kawan

Orang bijak pandai ada menyatakan bahawa sekiranya berkawan dengan penjual minyak wangi, sekurang-kurangnya akan terbaulah kewangiannya. Banyak laporan dalam media massa yang boleh dirumuskan bahawa golongan remaja yang baik menjadi rosak akhlak akibat daripada terpengaruh dan terikut-ikut dengan kawan-kawan pada peringkat mulanya. Lama-kelamaan, mereka juga turut menghisap rokok, mencuri, mengambil dadah, clubbing, bohsia, tingkah laku songsang dan lain-lain penyimpangan yang dipelajarinya daripada kawan-kawan yang sudah tersedia ‘rosak’.

Oleh itu, kawan-kawan rapat di sekeliling boleh mempengaruhi corak kehidupan seseorang sehingga ke tahap yang boleh merugikan hidupnya dan seterusnya menjadi punca bisnes jatuh.

Dalam perniagaan, memang terdapat ramai kawan-kawan  seperjuangan, tetapi sukar untuk mendapat sahabat sejati. Yang ramai hanyalah faked friends dan kawan makan kawan. Walau bagaimanapun, kita boleh berkawan rapat dengan seseorang berdasarkan kepada perangai dan tingkah laku mereka. Misalnya, kawan-kawan yang gemarkan maksiat; suka membuang masa, suka meminjam wang tanpa membayarnya serta pelbagai perangai yang tidak kita sukai. Berhati-hatilah berkawan dengan mereka  agar persahabatan dapat diteruskan tanpa merugikan mana-mana pihak.

Suatu ketika dahulu terdapat seorang usahawan telah menjalanan perniagaan dengan seorang kawan baiknya sejak dibangku sekolah lagi. Selepas menghabiskan pengajiannya di IPT, mereka berdua menubuhkan sebuah syarikat dan berjaya memenangi tender bernilai jutaan ringgit dalam usia yang sangat muda. Setahun kemudian, langit tidak selalu cerah, perhubungan mereka berdua berantakan (saya tidak tahu puncanya), dan akhirnya seorang daripadanya terpelanting keluar daripada syarikat.

Pengarah syarikat yang ditendang keluar terpaksa menjual kereta dan rumahnya disebabkan beliau sudah tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi membayar ansuran kereta dan rumah daripada pihak bank. Sementara itu, kawannya terus berjaya dalam perniagaan, meninggalkannya, walaupun mereka telah berjanji sehidup semati pada peringkat awal perniagaan dahulu. Terdapat banyak lagi contoh-contoh kawan makan kawan yang boleh di jadikan tauladan dan pengajaran buat kita semua.

Dalam sebuah persahabatan, pastikan bahawa:

  • Apabila kita mendapati kawan yang kita percayai mengkhianati atau menginiayai kita, jangan buang masa dan cepat-cepat ambil tindakan untuk memutuskan semua deal atau kepentingan dengannya. Jangan beri peluang kedua, disebabkan sifat ular tetap mematuk selama-lamanya.
  • Elakkan daripada terlalu cepat atau mudah percaya dengan seseorang sehingga ke tahap mempercayai mereka tanpa had.
  • Elakkan daripada mendedahkan apa-apa harta, wang ringit dan kemewahan kepada kawan-kawan.
Perubahan Dasar dan Peraturan

Sesetengah dasar dan peraturan kerajaan ataupun peraturan lain-lain boleh menjadi punca bisnes jatuh buat selamanya. Contohnya, Gerbang Perdana yang dianugerahkan untuk membuat jambatan bengkok, tiba-tiba projek tersebut dibatalkan oleh pihak berkuasa. Akibatnya, kontraktor utama dan sub-kontraktornya telah  mengalami kerugian yang teruk walaupun dibayar ganti rugi. Begitu juga dengan Dasar Automatif Negara, pada peringkat awal perlaksanaanya menyebabkan penjual kereta terpakai terpaksa menurunkan harga kereta yang telah mereka beli pada harga yang tinggi sebelum dasar tersebut dikuatkuasakan.

Suatu ketika dahulu, pernah seorang pelanggan saya  menjalankan perniagaan stesyen minyak yang sangat maju di Jalan Cheras. Perniagaan beliau terpaksa ditutup disebabkan oleh pembinaan lebuhraya Cheras-Kajang melibatkan tanah tapak stesyen minyaknya diambil alih oleh pihak berkuasa. Jelaslah, perubahan polisi dan peraturan pihak berkuasa menjadi salah satu punca bisnes jatuh.

Krisis Ekonomi dan Kewangan Serantau

Krisis kewangan Asia dalam tahun 1997 telah menyebabkan mata wang Malaysia jatuh sehingga pernah mencecah ke tahap RM4.88 per US$1.00 dollar pada 7 Januari 1998 (sebelum krisis ekonomi pertukaran asing hanya RM2.50 = US$1.00 sahaja). Kemudian, indek komposit KLSE jatuh menjunam sehingga ke tahap 467.55 pada 7 Julai 1998. Hal ini bermakna, peniaga yang mengimpot barang-barang terpaksa membayar RM4,880 bagi barangan yang sama bernilai US$1,000 (kenaikan harga sebanyak 95 peratus).

Seorang pelanggan saya mengimpot mesin-mesin kilangnya telah memanggung kerugian yang teruk disebabkan pertukaran mata wang ini. Beliau tidak mampu untuk mambayar harga mesin-mesin kilang yang telah pun diimpot daripada luar negara (pada harga tukaran asing RM2.50 = US$1.00) sebelum krisis kewangan Asia berlaku. Akhirnya, beliau terpaksa tutup kedai. Sesungguhnya, krisis ekonomi dan kewangan serantau boleh menjadi punca bisnes jatuh tertiarap.

Kajian impak ke atas perniagaan kecil dan sederhana di Greece dalam tahun 2012 yang disebabkan oleh krisis ekonomi dan kewangan yang melanda negara-negara Eropah ialah seperti berikut:

  1. Jumlah jualan, jatuh sebanyak 85%
  2. Permintaan, jatuh sebanyak 83.1%
  3. Kecairan perniagaan, jatuh 86.5%
  4. Jumlah pesanan, jatuh 85.4%
  5. Pelaburan, 6.9% perniagaan merekodkan peningkatan, 37.4% merekodkan pelaburan jatuh, dan 52.6% bisnes terhenti seketika

Terdapat 53.3% daripada usahawan yang dikaji berkata mereka mungkin akan keluar daripada perniagaan atau menutup bisnes mereka. Semasa krisis kewangan melanda, perniagaan menguncup menyebabkan jumlah wang dalam pasaran juga menguncup, mengakibatkan usahawan tidak mampu untuk menampung kos berubah dan akhirnya merebak kepada kos tetap. Seterusnya, apabila jumlah kos meningkat lebih tinggi daripada jumlah jualan, maka sudah sampailah tanda-tanda simptom titik tutup perniagaan.

Krisis ekonomi dan kewangan serantau tidak dapat dielakan walau pun dalam kalangan negara-negara besar sekalipun. Misalnya, krisis gadaian sub-prima di Amerika Syarikat dalam tahun 2008 menyebabkan hampir seluruh dunia mengalami kemelesetan. Krisis ekonomi di Amerika Syarikat menjadi bertambah buruk apabila pada masa yang sama berlaku kenaikan harga minyak mentah, peningkatan inflasi dan juga pengangguran. Menurut ahli ekonomi, antara penyebab utama krisis kewangan serantau ialah:

punca bisnes jatuh-2

Terdapat pelbagai penyebab lain kejatuhan ekonomi yang sangat teknikal untuk dibincangkan. Oleh yang demikian, untuk mengatasi kemelesetan ekonomi, tiada formula tertentu mampu  mengatasinya dalam jangka masa yang singkat. Walau bagaimanapun, usahawan perlu bersedia sejak mula menjalankan perniagaan lagi dengan mengambil langkah-langkah awasan lebih awal seperti menyimpan wang konsisten, berjimat cermat, melindung nilai perniagaan dengan simpanan emas dan lain-lain.

Kuasa Allah

 Tiada siapa pun yang dapat menahan kekuasaan Allah dalam pelbagai bentuk. Banjir, gempa bumi, tsunami, gunung berapi, ribut taufan, kebakaran, tanah runtuh, penyakit, kemalangan dan sebagainya mampu menyebabkan kemusnahan dalam apa jua bentuk sekalipun hatta perniagaan anda. Bayangkanlah, gempa bumi yang melibatkan tsunami di Jepun pada 11 Mac 2011 baru-baru ini telah menyebabkannya mengalami kerugian sebanyak lebih USD100 billion. Kerugian jenis ini tidak dilindungi oleh polisi insurans, dan boleh menjadi punca bisnes jatuh dan gulung tikar.

Begitu juga dengan Covid 19 yang melanda seluruh dunia, mampu menyebabkan ekonomi sesebuah negara jatuh, kerugian sektor perniagaan dan peningkatan pengangguran. Sesungguhnya, wabak Covid-19 sangat ampuh untuk untuk penjadi penyebab atau punca bisnes jatuh teruk.

Namun begitu, disebalik kerugian yang dialami oleh satu pihak, terdapat juga pihak lain yang memperolehi keuntungan daripadanya. Misalnya, akibat daripada bencana banjir yang melanda Shah Alam pada tahun 2008 dahulu, terdapat banyak kereta telah ditenggelami air dan akibatnya bahagian injin telah mengalami kerosakan. Bengkel-bengkel kereta mendapat durian runtuh disebabkan oleh semua kereta yang rosak tersebut perlu dibaik pulih injinnya supaya dapat berfungsi semula.

 

kenapa bisnes gagal

 

Kegagalan Bisnes III Kegagalan Perniagaan I Kalkulator Zakat Perkhidmatan Cukai

 

Similar Posts