perlembagaan syarikat

 

Perlembagaan ertinya suatu dokumen yang disebut dalam seksyen 34.[1] Menurut Seksyen 34(a) Akta, Perlembagaan suatu syarikat berhad menurut syer ialah suatu dokumen yang diterima pakai sebagai perlembagaannya di bawah seksyen 32. Ringkasnya, Perlembagaan merupakan suatu dokumen berkanun yang menetapkan tata-cara dan peraturan-peraturan tadbir urus suatu syarikat dalam pengaturan pengurusan di antara aktivitinya, Lembaga pengarah, ahli-ahlinya, dan pemegang taruh yang lain.

Apakah kesan-kesan terhadap M & A syarikat di bawah AS 1965 dahulu selepas AS 2016 berkuatkuasa? Peruntukan dalam Jadual A, AS 1965 jika diterima pakai keseluruhan atau sebahagiannya sebagai Artikel Syarikat hendaklah berkuatkuasa seolah-olah dibuat dan diterima pakai di bawah AS 2016, melainkan ditetapkan sebaliknya oleh syarikat.[2] Walau bagaimanpun, standard M & A di bawah AS 1965 perlulah dibuat pindaan setakat mana ianya bercanggah atau tidak selari dengan sebarang peruntukan statut dalam AS 2016 yang baharu.

Penubuhan Syarikat Baharu

Jika suatu syarikat itu ditubuhkan tanpa Perlembagaan, maka prosiding Lembaga pengarah dalam Jadual Ketiga Akta Syarikat 2016 akan menetapkan tata-cara mesyuarat Lembaga pengarah. Jika syarikat mempunyai Perlembagaan sendiri, ia boleh menambah peruntukan-peruntukan lain dalam prosiding mesyuarat Lembaga pengarah[3], di samping peruntukan sedia ada dalam Jadual Ketiga. Namun begitu, tanpa Perlembagaan, suatu syarikat itu dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut:

  • menerbitkan syer-syer dalam kelas yang berbeza;
  • menerbitkan syer-syer keutamaan;
  • membayar komisyen atas terbitan syer;
  • pengerusi dalam mesyuarat ahli-ahli tidak mempunyai kuasa undi pemutus;
  • semua terbitan syer-syer baharu yang mempunyai kedudukan sama dengan saham yang sedia ada mestilah ditawarkan kepada pemegang syer sedia ada terlebih dahulu.
  • pengarah syarikat persendirian (bukan subsidiari syarikat awam) boleh mengundi atas resolusi yang mana dia berminat.

Tujuan Perlembagaan

Syarikat yang memiliki Perlembagaan sendiri dapat memenuhi beberapa keperluan khusus syarikat, antaranya ialah:

  • memenuhi keperluan khusus operasi syarikat itu sendiri;
  • menetapkan perlantikan dan pemecatan pengarah;
  • menetapkan prosedur pemindahan syer;
  • menentukan proses membuat keputusan;
  • memberi kuasa kepada syarikat melaksanakan tindakan tertentu yang mana tidak terdapat peruntukan dalam Akta.
  • menghadkan dan mengawal kuasa-kuasa pengarah dan pemegang syer.

Perlembagaan merupakan suatu set peraturan boleh dipinda atau ditukar ganti daripada masa kesemasa mengikut keperluan syarikat melalui suatu resolusi khas yang diluluskan oleh 75% daripada ahli-ahlinya.

Bentuk-bentuk perlembagaan boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:[4]

Syarikat boleh menerima pakai sesuatu perlembagaan melalui kelulusan resolusi khas[1] dan menyerah-simpannya kepada SSM dalam tempoh 30 hari daripada tarikh menerima pakai perlembagaan itu melalui MyCoID 2016.[2] Hal in termasuklah menggantikan M & A di bawah Akta Syarikat 1965 kepada Perlembagaan baharu di bawah Akta Syarikat 2016.

Bagi syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 1965, Lembaga pengarah hendaklah sama ada membuat pindaan terhadap M & A syarikat atau memansuhkan dan menggantikannya dengan suatu Perlembagaan baharu. Selepas Akta Syarikat 2016 berkuatkuasa, M & A yang wujud semenjak Akta Syarikat 1965 secara automatiknya bertukar menjadi Perlembagaan dan hendaklah berkuatkuasa seolah-olah telah dibuat dan diterima di bawah Akta Syarikat 2016 kecuali diputuskan sebaliknya oleh syarikat.[3] Walau bagaimanapun, syarikat perlu membuat beberapa pindaan di bawah M & A lama bagi menyesuaikannya dengan kehendak dan pematuhan Akta Syarikat 2016. Syarikat yang mempunyai Perlembagaan boleh memindanya melalui suatu resolusi khas pada bila-bila masa melainkan Perlembagaan sebaliknya melarang untuk memindanya.[4]

Kesan Menerima Pakai  Perlembagaan

Selepas proses menyerah-simpan Perlembagaan syarikat dilaksanakan, secara langsung syarikat tersebut mempunyai kesan undang-undang berikut:

  • tidak boleh bertentangan atau tidak konsisten dengan peruntukan Akta, dan jika terdapat apa-apa pertentangan, peruntukan Akta adalah mengatasi.[7]
  • akan mengikat syarikat, pengarah-pengarah dan ahli-ahlinya.[8]
  • akan mengikat syarikat dan ahli-ahlinya setakat mana seolah-olah perlembagaan itu telah ditandatangani dan dimeterai oleh setiap anggota dan mengandungi waad pada setiap ahli untuk mematuhi segala peruntukan perlembagaan itu.[9]

Perlembagaan hendaklah tidak memperuntukkan dengan perkara-perkara yang mana ia tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya. Misalnya, pemecatan ahli merupakan suatu kuasa yang bertentangan dengan prinsip asas perundangan, dan ultra vires kepada syarikat. Begitu juga dengan syarikat yang membuat peruntukkan untuk membeli syernya sendiri atau meminda artikel Perlembagaan bagi membolehkannya membeli syer-syernya sendiri. Peruntukan kuasa seperti ini adalah bertentangan dengan Akta, akibatnya peruntukan itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Menggantikan M&A Lama dengan Perlembagaan

Mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan menjadi tidak berkuatkuasa jika ia bertentangan atau tidak konsisten dengan Akta Syarikat 2016. Oleh itu, Perlembagaan atau M & A di bawah Akta Syarikat 1965 boleh digunakan tetapi perkara-perkara yang bertentangan dengan Akta Syarikat 2016 tidak diterima pakai. Oleh itu, M & A lama hendaklah dibuat pindaan setakat mana yang bertentangan dengan Akta Syarikat 2016 atau dimansuhkan dan gantikan dengan suatu Perlembagaan yang baharu,

M & A yang lama menghadkan objek perniagaan setakat yang disenaraikan dalam memorandum itu sahaja. Oleh itu, regim ultra vires hendaklah dihapuskan supaya syarikat boleh menjalankan apa-apa bidang perniagaan yang sah disisi-undang-undang. Hal ini bermaksud, syarikat diberi kuasa penuh untuk menjalankan apa-apa perniagaan tanpa sekatan dan tidak tertakluk kepada objek-objek perniagaan yang telah disenaraikan sahaja.

Sesuatu Perlembagaan hendaklah menetapkan hak-hak, kuasa dan tugas bagi syarikat, lembaga pengarah, pengarah dan pemegang-pemegang syernya. Jika syarikat memilih untuk tidak mempunyai perlembagaan, maka Akta Syarikat 2016 diguna pakai sepenuhnya. Namun begitu, Perlembagaan perlu dibuat bagi memenuhi kehendak dan keperluan pihak ketiga atau prinsipal. Misalnya, taraf bumiputra, tanah rizab melayu, jumlah peratusan pemegangan syer tertentu, syer-syer keutamaan dan syarat-syarat khas lain memerlukan Perlembagaan.

Bagi menggantikan M & A dengan Perlembagaan, syarikat dikehendaki meluluskan suatu resolusi khas bertulis dengan undi majoriti tujuh puluh lima peratus (75%) ahli-ahli.[10] Notis 21 hari yang diserahkan kepada ahli-ahli hendaklah menyatakan ianya  suatu Resolusi Khas[11] dan diserahkan kepada semua ahli yang layak.

Syarikat hendaklah memaklumkannya kepada Pendaftar tentang pemindaan itu dan menyerah-simpan sesalinan perlembagaan yang dipinda dalam tempoh 30 hari daripada kelulusan resolusi khas.[5] Apa-apa perubahan atau pindaan perlembagaan yang dibuat akan mengikat syarikat, pengarah dan ahli-ahlinya.[6]

Kandungan Perlembagaan

Kandungan perlembagaan hendaklah mengandungi peruntukan-peruntukan berikut:[12]

  • tujuan (objek) syarikat;
  • keupayaan, hak, kuasa atau keistimewaan syarikat jika peruntukan itu menyekat keupayaan, hak, kuasa atau keistimewaan-keistimewaan tersebut;
  • perkara-perkara yang dipertimbangkan oleh Akta ini untuk dimasukkan dalam perlembagaan; dan
  • perkara-perkara lain yang hendak dimasukkan oleh syarikat dalam perlembagaannya;

Bagi mengelak sekatan atas objek dalam seksyen 35(1)(a), Perlembagaan hendaklah menarik sekatan ini dengan memasukkan seksyen 35(2)(b) supaya syarikat boleh menjalankan segala aktiviti perniagaan yang sah di sisi undang-undang.

Jika perlembagaan menyatakan tujuan-tujuan (objek syarikat) sesuatu syarikat, maka:

  • syarikat itu tidak dibenarkan menjalankan apa-apa perniagaan atau aktiviti di luar skop tujuannya; dan
  • bagi mengatasi masalah ini, syarikat hendaklah mempunyai keupayaan dan kuasa penuh bagi mencapai objektif tersebut (nyatakan dalam perlembagaan, clause unlimited capacity) kecuali perlembagaan memperuntukkan sebaliknya.

Doktrin Notis Konstruktif

Doktrin ini dinyatakan dalam seksyen 39 AS 2016 yang bermaksud sesiapa sahaja yang berurusan dengan syarikat disifatkan mengetahui tentang kandungan perlembagaan atau apa-apa dokumen lain yang berhubung dengan syarikat. Hal ini termasuklah pihak yang berkontrak dengan syarikat mempunyai pengetahuan tentang pengarah syarikat dan pemegang syer, perniagaan syarikat, perlembagaan syarikat dan lain-lain yang berkaitan.

 

Pengarah Syarikat Definisi Syarikat Anatomi Syarikat Memilih Rakan Kongsi

 

 

Nota kaki:

[1] Seksyen 32(1) AS 2016

[2] Seksyen 32(4) AS 2016

[3] Seksyen 619(3) AS 2016

[4] Seksyen 36(1) AS 2019

[5] Seksyen 36(3) AS 2016

[6] Seksyen 36(2) AS 2016

[7] Seksyen 32(2) AS 2016

[8] Seksyen 32(3) AS 2016

[9] Seksyen 33 AS 2016

[10] Seksyen 292(1) AS 2016

[11] Seksyen 292(2) AS 2016

[12] Seksyen 35 AS 2016

 

Similar Posts