pra-syarat-sifat-sifat-usahawan berjaya

pra-syarat sifat-sifat usahawan berjaya

PENGENALAN

Usahawan hendaklah melaraskan pengimbangan diri diperingkat pra-usahawan supaya mereka berada dilandasan yang betul. Landasan yang betul merupakan suatu alat penunjuk arah supaya usahawan tidak sesat dipertengahan jalan. Ciri-ciri usahawan beriman berpandukan kepada sesuatu menurut fikrah manusia diperingkat awal lagi, supaya sampai ke destinasi yang dituju dipenghujung jalan nanti.

Berikut saya bincangkan lapan ciri-ciri usahawan beriman yang perlu diamalkan diperingkat awal perniagaan lagi. Iman itu kehidupan!

① Niat

Betulkan niat kita dahulu. Ciri-ciri usahawan beriman perlu bermula dengan memasang niat yang betul. Niat merupakan tujuan kita melakukan sesuatu, untuk siapa!

Tujuan berniaga itu kerana Allah, bukan kerana faktor lain. Disamping itu, niat kita jadi usahawan ialah jalan itu lebih mudah untuk membantu orang susah, golongan asnaf dan membuat kebajikan lain yang sangat dituntut.

Lupakan niat untuk hidup senang dan jadi kaya-raya melalui jalan berniaga. Tidak semua usahawan hidup kaya-raya. Ramai juga yang bankrap. Mengejar harta kekayaan itu ibarat mengejar kaki langit, makin dikejar semakin jauh. Oleh itu, perbetulkan niat kita diperingkat awal lagi.

② Berdoa senjata utama untuk berjaya

Seluruh anggota tubuh badan akan bergetar selari dengan doa yang kita pohon pada Allah. Firman Allah (Ghafir: 60): “Dan Tuhan kamu berfirman ‘Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.”

Allah telah berjanji akan memperkenankan doa kita. Sesungguhnya, ciri-ciri usahawan beriman bergantung sepenuhnya kepada doa yang mereka pohon bagi merealisasikan segala hajat dan cita-cita. Yakinlah dengan doa dan permohonan kita itu akan dimakbulkan olehNya. Berdoalah setiap hari, dan buatlah dengan bersungguh-sungguh.

③ Hubungan Dengan Ibu-Bapa

Ciri-ciri usahawan beriman sangat menekankan hubungan baik dengan kedua ibu-bapa. Hal ini disebabkan doa mereka terhadap anak-anak sangat mustajab dan berkesan untuk makbulkan Allah. Kemudian, sebelum mula berniaga, mohon ampun dan restu daripada kedua ibu-bapa dahulu. Dan mohonlah kepada ibu-bapa supaya mereka mendoakan kita berjaya dan dilindungi daripada segala kejahatan.

④ Usaha dan Tawakkal

Tawakkal tanpa usaha ibarat kita hendakkan sesuatu secara percuma sahaja. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, kita berdoa dengan penuh yakin, mohon hasil yang terbaik. Kemudian, serahlah setiap urusan bulat-bulat pada Allah dalam memberikan hasil atau pulangannya.

Ingatlah, rezeki itu milikNya, kita hanyalah hamba yang mengharapkan rahmat dariNya. Usaha dan tawakkal merupakan ciri-ciri usahawan beriman yang perlu diamalkan, berusaha dengan gigih, kemudian bertawakkallah sepenuh hati kepada Allah pemberi rezeki.

⑤ Infak

Infak merupakan suatu jalan yang dapat menggandakan lagi hasil usahawan.

Firma Allah (Al-Baqarah: 261):

Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Daripada firman di atas, nisbah menginfakkan harta ialah 1:700. Ia diibaratkan satu kebaikan itu akan dibalas dengan 700 kali kebaikan atau keuntungan kepada pelakunya dalam bentuk hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Infak merupakan ciri-ciri usahawan beriman yang perlu diamalkan sepanjang hayat.

⑥ Hubungan Dengan Allah dan Manusia

Kehidupan manusia menjadi lebih aman dah harmoni jika mereka dapat menjaga dua perkara ini; yakni, hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia secara konsisten. Hubungan dengan Allah ialah melaksanakan segala suruhannya tanpa kecuali.

Hubungan dengan manusia pula tidak berlaku zalim dan mengkhianati antara satu sama lain disepanjang kehidupan kita dimuka bumi ini. Menzalimi orang lain bersifat kufur, dan bukan merupakan ciri-ciri usahawan beriman. Dikhuatiri kita akan mendapat balasan segera dalam pelbagai bentuk yang tidak diduga.

⑦ Sukakan Ilmu

Sayyidina Ali r.a. ketika ditanya tujuh kali tentang memilih ilmu atau harta, beliau tetap memilih ilmu tanpa berganjak. Ciri-ciri usahawan beriman sentiasa mengutamakan ilmu, dan mencintai ilmu. Dengan ilmulah seseorang itu boleh berjaya, dan ilmulah dapat membantu kita tidak sesat ketika berada dipuncak.

Usahawan perlu banyak mempelajari pelbagai bidang ilmu yang berkaitan disepanjang karier mereka. Kegagalan menambah ilmu akan membuatkan usahawan itu usang dan ketinggalan zaman.

⑧ Sentiasa Bersyukur

Rezeki yang diperolehi oleh usahawan tidak menentu. Kadang-kadang sikit, kadang-kadang banyak. Ditimpa musibah dalam bentuk sakit, kena tipu, dilanda banjir dan sebagainya. Semua itu merupakan ujian yang perlu ditempuhi oleh usahawan.

Ciri-ciri usahawan beriman yang sudah wujud dalam diri seseorang mampu menempuh pelbagai bentuk ujian kerana mereka sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah berikan.

KESIMPULAN

Ciri-ciri usahawan beriman merupakan perkara pokok yang perlu dimiliki bagi usahawan yang ingin berjaya secara hakiki. Jika mencapai kejayaan tanpa iman, akan musnahlah suatu peradaban.

pra-syarat-sifat-sifat-usahawan-berjaya

Perkhidmatan Cukai Setiausaha Syarikat Peluang & Idea Memilih Rakan Kongsi
Similar Posts