gunakan-kata-hati

pelabur-budiman

Hati Yang Berkata

Usahawan tidak dapat lari daripada membuat keputusan yang akan mempengaruhi perniagaan mereka pada masa hadapan. Kesilapan membuat keputusan boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian sama ada dalam bentuk wang, harta benda atau kebejatan moral. Akibatnya, kehidupan usahawan boleh depresi disebabkan kesilapan percaturan dalam membuat keputusan. Hal ini disebabkan mereka tidak membiasakan diri gunakan gerak hati dalam membuat keputusan sejak sekian lama.

Membuat keputusan terbaik wujud dalam keadaan terdapat banyak pilihan dalam suatu situasi yang ditawarkan. Misalnya, adakah usahawan yang berkongsi perlu menubuhkan bisnes perkongsian konvensional, syarikat atau pun perkongsian liabiliti terhad? Dalam situasi ini, terdapat beberapa pilihan dengan kos yang berbeza. Masalah akan timbul jika usahawan terpaksa membuat keputusan dengan satu pilihan sahaja. Disinilah kita perlu tambahkan elemen gunakan gerak hati dalam membuat keputusan secara holistik supaya tidak bergantung semata-mata kepada teknik membuat keputusan mengikut kaedah sains pengurusan.

Gunakan Gerak Hati atau Qalbu

Kepintaran membuat keputusan yang dibincangkan di sini bukanlah suatu subjek sains pemutusan (decision making) yang diajar di universiti, tetapi ia lebih merupakan kaedah membuat keputusan menggunakan akal budi sahaja. Membuat keputusan secara holistik bermaksud gunakan gerak hati atau qalbu yang sudah wujud dalam diri kita. Sains pengurusan moden tidak mampu mengesan atau meramal hal perkara yang terselindung disebalik keuntungan. Mungkin disebalik atau dalam keuntungan yang besar itu wujud suatu mala petaka besar. Tiada siapa yang tahu!

Setiap keputusan perniagaan yang diambil oleh usahawan akan mendatangkan dua kebarangkalian sahaja, iaitu sama ada berjaya ataupun gagal. Terdapat unsur-unsur tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh usahawan akibat daripada mengambil keputusan yang pada pertimbangan mereka adalah terbaik dan menguntungkan. Dengan kaedah membuat keputusan secara holistik, sekurang-kurangnya kita dapat meminumkan kerugian.  Misalnya,  seseorang itu telah membatalkan niatnya untuk masuk skim pelaburan yang memberikan pulangan yang lumayan. Disebabkan rasa ragu, disamping gunakan gerak hati, orang itu membuat sedikit penyelidikan tentang  skim pelaburan itu dan mendapati ia merupakan suatu scam.

Bagi meminimumkan kerugian, berikut digariskan kaedah-kaedah yang boleh digunakan oleh usahawan sebelum mereka membuat suatu keputusan perniagaan.

Hati-hati Dengan Sesuatu yang Pasti

Secara majoritinya, peraturan usahawan membuat keputusan ialah mengandaikannya sama ada pasti menjadi, atau pun tidak. Tiada suatu pun keputusan perniagaan mempunyai peluang kejayaan seratus peratus. Misalnya, salji memang pasti turun di England pada bulan Disember setiap tahun. Namun begitu, pada tahun 2012, salji tidak turun bulan Disember, tetapi turun pada bulan Febuari 2013.

Terdapat banyak perangkap yang perlu dilalui oleh usahawan, sebab itulah mereka perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidakpastian bisnes dan ekonomi. Jika usahawan menunggu sahaja sesuatu yang pasti, maka tidak perlulah membuat keputusan. Cara terbaik yang boleh dilakukan ialah tidak perlu menganggap sesuatu itu mustahil atau pasti. Rancanglah, dengan kaedah gunakan gerak hati dalam membuat keputusan, hasilnya nanti lebih berbaloi berbanding dengan membuat keputusan secara kuantitatif semata-mata.

Peganglah Pada Teori Hukum Purata

Teori hukum purata sangat sesuai diapplikasikan dalam dunia perniagaan dan boleh digunakan dalam membuat keputusan secara holistik. Misalnya, jika secara puratanya tujuh daripada sepuluh orang menyatakan produk A cepat rosak, maka gunakan teori hukum purata tersebut sebagai suatu alat membuat keputusan yang betul. Jika usahawan mendapat maklumat daripada pihak-pihak lain bahawa Pelanggan A sangat liat membayar hutang, oleh itu, awasilah had kreditnya atau kutip hutangnya dahulu. Gunakan gerak hati, nanti cash-flow problem! Kerap kali hati kita sudah bagi tahu, tetapi kita yang ketepikannya.

Semaklah Dahulu Kebenaran Fakta

Suatu kelemahan nyata kita ialah menerima bulat-bulat sesuatu fakta tanpa menyiasatnya terlebih dahulu. Apa-apa urusan yang melibatkan kewangan atau untung-rugi hendaklah dibuat penelitian dan semakan terlebih dahulu. Walaupun diberikan angka, mungkin angka tersebut palsu dan tidak boleh dipercayai. Membuat keputusan secara holistik memerlukan kita menyemak atau menyiasat fakta, sumber dan penyampai fakta. Gunakan gerak hati atau qalbu, suatu sensor yang boleh membuatkan kita rasa resah gelisah atau hati tenang dan aman damai.

Sangat Bergantung Kepada Fikiran Positif Tanpa Gunakan Gerak Hati

Hanya befikiran positif sahaja tidak mencukupi dalam proses membuat keputusan. Berfikiran positif lebih banyak bergantung kepada otak yang memproses maklumat melalui pembacaan, penglihatan dan pendengaran, dipengaruhi oleh pendapat orang lain dan pengalaman lampau. Namun begitu, sebenarnya, membuat keputusan memerlukan lebih daripada berfikiran positif. Misalnya, ibu bapa membiarkan anak-anak kecil mereka bermain di hadapan rumah tanpa pengawasan disebabkan mereka berfikiran positif tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Begitu juga dalam perniagaan, seorang kawan membentangkan plan pelaburan forex yang boleh mendatangkan keuntungan lumayan daripada seorang yang tidak mempunyai lesen perdagangan forex, sedangkan hanya bank-bank komersial sahaja dibenarkan menjalankan perdagangan forex yang sah. Sedar atau tidak, usahawan sering tertipu disebabkan oleh mereka hanya bergantung kepada membuat keputusan secara berfikiran positif dan langsung tidak menggunakan kata hati yang suci lagi bersih. Oleh itu, bagaimana?

Penggunaan gerak hati (kalbu) manusia merupakan satu lagi tambahan kepada fikiran positif yang mampu menepis perkara-perkara yang tidak betul dalam proses membuat keputusan. Hal ini disebabkan oleh berfikiran positif terdiri daripada elemen yang sudah dicemari oleh nafsu (misalnya tamak) sedangkan gerak hati atau kalbu adalah suatu elemen murni yang selari dengan fitrah manusia. Oleh itu, gunakan gerak hati atau kalbu, disebabkan pemikiran positif tidak mampu untuk mengesan sesuatu perkara yang tidak harmoni.

Cadangan dan Kesimpulan

Membuat keputusan perniagaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Keputusan yang baik mendatangkan keberuntungan kepada usahawan dan begitulah disebaliknya. Keputusan yang diambil pula mempunyai risikonya masing-masing. Walaupun risiko masa hadapan telah diambil kira, namun tiada siapa yang tahu risiko-risko lain yang datang diluar jangkaan manusia. Aspek gunakan gerak hati atau qalbu sangat penting digabungkan dengan kaedah sains pengurusan moden. Pada hakikatnya  tiada siapapun tahu apa yang akan berlaku padanya esok hari.

Hadis Mengenai Gerak Hati atau Qalbu

Daripada Abu Muhammad, Al Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah s.a.w, aku telah menghafal (sabda) dari Rasulullah s.a.w.:

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, bergantilah kepada apa yang tidak meragukan kamu ” ~ (Arbain Imam Nawawi)

“seimbangkan keputusan yang dibuat melalui fikiran positif dengan kaedah penggunaan gerak hati atau kalbu.”

Ikutilah petikan hadis berikut tentang membuat keputusan gunakan gerak hati:

Wabisah bin Ma’bad r.a menceritakan, ‘Pada suatu hari saya berkunjung ke rumah Rasullulah s.a.w. Belum sempat saya mengemukakan pertanyaan yang saya pendam, baginda mendahului dan melontarkan pertanyaan kepada saya, ‘Apakah kamu datang ke sini untuk menanyakan tentang al-birru?

Saya menjawab, ‘benar, wahai Rasullullah.’ Kemudian baginda bersabda:

‘Mintalah pertimbangan kepada hatimu. Al-birru adalah segala sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang (apabila melakukannya). Adapun al-ithmu adalah segala sesuatu yang bergelora pada nafsumu namun hatimu ragu (untuk melakukannya) meskipun banyak orang yang memberi dorongan kepadamu (membolehkan kamu melakukannya).’

Jelaslah, terdapat goncangan kecil, keraguan dan rasa tidak harmoni yang digerakkan oleh hati atas perkara-perkara yang tidak betul. Sensor luar biasa ini memang tersiap bina dalam diri manusia untuk mengesan perkara-perkara al-ithmu. Cuma kita yang mengabaikannya.

 

membuat-keputusan

 

Setiausaha Syarikat Perkhidmatan Cukai Nama Perniagaan Peluang & Idea

 

 

 

Similar Posts