perancangan kewangan

perancangan kewangan

Mimpi Raja Mesir:

Raja Mesir telah bermimpi tujuh ekor lembu betina yang kurus memakan tujuh ekor lembu betina yang gemuk, tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai gandum yang kering. Mimpi Raja Mesir ini merupakan asas kepada Perancangan Kewangan pertama dalam peradaban manusia.

Tafsir Mimpi Oleh Nabi Yusuf a.s.

Kisah Nabi Yusuf AS menafsir mimpi Raja Mesir telah dinukilkan oleh Allah SWT dalam Quran Surah Yusuf, ayat 47-49 yang bermaksud:

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(48)

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.(49)

Pengertian Mimpi

Berdasarkan kisah Nabi Yusuf a.s. yang mentakwilkan mimpi Raja Mesir ini, terselit suatu nilai kuantitatif yang diberikan oleh Nabi Yusuf a.s. iaitu tujuh (7). Daripada sudut penaakulan deduktif, takwilan mimpi Nabi Yusuf a.s boleh digeneralisasikan sebagai berikut:

Hendaklah kamu menanam gandum bersungguh-sungguh selama 7 tahun berturut-turut, dan akan datang tempuh 7 tahun kemarau besar selepas itu yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Oleh itu, Nabi Yusuf a.s telah menyelesaikan masalah yang akan dihadapi oleh negara Mesir melalui kaedah perancangan kewangan yang mapan.

Lantas, kita haruslah bertindak menggunakan kaedah perancangan kewangan berdasarkan takwilan mimpi Nabi Yusuf a.s. itu sebagai persediaan bagi menghadapi kemarau hidup pada masa akan datang. Intisari penting yang boleh ditamsilkan daripada kisah ini adalah seperti berikut:

  1. Merancang kewangan untuk masa hadapan merupakan suatu kewajipan;
  2. Merancang kewangan diperingkat awal, sebelum berlakunya musibah;
  3. Merancang kewangan hendaklah dibuat bersungguh-sungguh.
  4. Dalam merancang kewangan, hendaklah simpan sedikit untuk kegunaan kita.

Manusia mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup mereka. Bagi golongan pekerja, mereka menerima balasan dalam bentuk wang atau lain-lain manfaat hasil daripada perkhidmatan yang diberikan. Bagi orang berniaga, mereka menerima pulangan dalam bentuk keuntungan bersih setelah jualan ditolak dengan jumlah perbelanjaan dan tanggungan. Sama ada bekerja makan gaji ataupun peniaga, matlamat kewangan mereka sama sahaja, iaitu untuk mencapai kebebasan kewangan secepat yang mungkin.

Persamaan Matematik Mudah

Sebelum artikel ini diteruskan, saya ingin meninjau sepintas lalu persamaan matematik mudah perkaitan antara pendapatan, pendapatan boleh guna, perbelanjaan, simpanan/ pelaburan, cukai dan inflasi. Perkaitan antara pendapatan, penggunaan atau perbelanjaan dan simpanan dapat digambarkan melalui formula mudah berikut:

perancangan-kewangan

Saya akan membincangkan aspek perancangan kewangan ini menurut formula Nabi Yusuf a.s. sehinggalah menghasilkan satu jumlah simpanan bulanan atau tahunan yang berpunca daripada kos atau perbelanjaan/ penggunaan seseorang.

Untuk melaksanakan formula Nabi Yusuf a.s. ini, hendaklah kita betul-betul fahami prinsip-prinsip utama berikut:

Pertama: Mencari suatu jumlah perbelanjaan dan tanggungan bulanan seterusnya tahunan seseorang bagi mendapatkan kos sara hidup mereka.

Kedua: Mendapatkan suatu jumlah kos atau perbelanjaan sara hidup seseorang dalam dalam tempoh tujuh tahun, dengan mengambil kira kesan inflasi.

Ketiga: Membuat unjuran nilai wang pada masa hadapan ( 7 tahun) berdasarkan perbelanjaan gaya hidup tahunan.

Perincian Kos Sara Hidup

Perkara asas yang perlu dilakukan sekarang ialah memperincikan jumlah kos sara hidup bulanan, yakni komponen perbelanjaan dan tanggungan. Cuba kita senaraikan perbelanjaan dan tanggungan bulanan mengikut kemampuan gaji atau pendapatan masing-masing. Walau bagaiamanpun, perbelanjaan berhemah sangat dituntut bagi memenuhi tuntutan Nabi Yusuf a.s. yakni hendaklah dibuat bersungguh-sungguh.

Berikut merupakan panduan yang diamalkan oleh perancang kewangan dalam membahagikan perbelanjaan mengikut peratusan.perancangan kewangan

Antara perbelanjaan lain yang turut ditanggung oleh seseorang termasuklah:

  • Infak dan kebajikan
  • Bayaran hutang
  • Tanggungan kepada ibu-bapa
  • Perbelanjaan klinik kesihatan
  • Perbelanjaan penjagaan anak
  • Perbelanjaan keperluan pendidikan anak
  • Perbelanjaan perjalanan (petrol, tol, parking)
  • Perbelanjaan pembaikan dan penyelenggaraan kereta

Menurut pengamal perancang kewangan, bayaran ansuran rumah merupakan bahagian perbelanjaan yang paling tinggi. Walau bagaimanapun, adalah suatu aturan jika boleh diselaraskan supaya tidak melebihi 30% daripada jumlah pendapatan. Adalah sangat molek jika bayaran ansuran bulanan rumah dikongsi bersama dengan pasangan.

Kajian Kes Adam

Untuk memudahkan pengiraan, saya mengandaikan seorang laki-laki bernama Adam dengan gaji kasar RM5,000 sebulan, sudah berumah tangga, dan ingin membuat perancangan kewangan bermula pada usia 30 tahun. Adam bekerja di syarikat swasta, mempunyai seorang anak yang belum lagi bersekolah. Isteri Adam bekerja sebagai seorang guru sekolah.

Berdasarkan persamaan matematik di atas, pendapatan boleh guna Adam ialah:

Yd = Y – T – EPF

= RM5,000 – RM143 – RM350

= RM4,507

Dengan gaji RM5,000 sebulan:

Potongan cukai berjadual, berkahwin dengan seorang anak = RM143 sebulan (boleh rujuk Jadual PCB LHDN)

Potongan EPF pekerja (7%) = RM350 sebulan

Yd Adam ialah RM4,507 sebulan, setelah ditolak cukai dan EPF.

Andaikan Adam masuk skim simpanan/ pelaburan unit amanah sebanyak 20% daripada pendapatan boleh guna, maka:

Ys = Yd – C – S

= RM4,507 – RM2,704 – RM900

= RM1,803

= RM903

Andaian:

C = 60% @ Yd

S = 20% @ Yd

Lebihan pendapatan (Ys = RM903) merupakan simpanan untuk kegunaan sendiri seperti yang disyorkan oleh oleh Nabi Yusuf a.s. Semua perbelanjaan dan tanggungan bulanan sudahpun diambil kira. Walau bagaimanapun, Adam boleh menggunakan Ys ini untuk pelbagai tujuan tanpa menganggu perancangan kewangan atau simpanan/pelaburan yang dibuat.

Jika Adam mengira jumlah pelaburan bulanan di KWSP gabungan pekerja (7%) dan majikan (13%) sebulan, jumlah pelaburan tersedia ialah:

EPF = caruman pekerja + caruman majikan

         = RM350 + RM650 = RM1,000

Adalah sukar bagi saya untuk membuat bajet perbelanjaan untuk Adam item demi item memandangkan bajet seseorang individu itu tidak sama dan mengikut keutamaan masing-masing. Jika GST 6% masih berkuatkuasa, maka pendapatan boleh guna menjadi lebih kecil disebabkan pengguna akhir yang menanggungnya.

Untuk memudahkan analisis, saya menggunakan pendekatan perancang kewangan iaitu, 60% perbelanjaan dan tanggungan, 20% simpan sedikit untuk kegunaan sendiri (pesanan Nabi Yusuf a.s.) dan baki 20% lagi untuk simpanan atau pelaburan.

Kos sara hidup tahunan Adam = C x 12 x 7

= RM2,704 x 12 x 7

= RM227,136

Hal ini bermaksud, Adam perlukan wang sebanyak RM227,136 dalam tempoh  7 tahun bagi mencukupkan keperluan kos sara hidupnya selama tujuh tahun akan datang.

Menterjemahkan Perancangan Kewangan Menurut Formula Nabi Yusuf A.S

Berdasarkan kos sara hidup Adam, jumlah perbelanjaan dan tanggungan yang mencukupi untuk tujuh musim ialah RM227,136.

Kiraan perbelanjaan Adam berjumlah RM227,136 ini belum lagi memasukkan elemen inflasi. Inflasi bermaksud wang yang banyak mengejar barangan yang sedikit. Kesan besar inflasi ialah menghakis kuasa beli pengguna.

Untuk memudahkan lagi kiraan, berikut adalah andaian:

  1. Gaji Adam meningkat 4 % setahun
  2. Perbelanjaan tahunan dan tanggungan Adam konsisten dalam tempoh 7 tahun.
  3. Jumlah pelaburan saham amanah Adam konsisten selama 7 tahun

Sebelum masuk kebahagian seterusnya, beberapa konsep yang yang berkaitan dengan perancangan kewangan seperti inflas, kos lepas dan kuasa beli hendaklah difahami terlebih dahulu.

Inflasi

Inflasi merupakan suatu keadaan di mana harga barang-barang meningkat sedangkan kuasa beli pengguna semakin jatuh. Misalnya, jika 10 tahun dahulu segelas teh tarik beharga RM0.80, tetapi kini beharga RM1.20 segelas dengan saiz yang sama. Dalam erti kata yang lain, inflasi mengakibatkan kuasa beli pengguna terhakis.

Kos Lepas

Kos lepas merupakan suatu konsep yang mana suatu nilai kos atau pulangan yang sanggup kita lepaskan disebabkan suatu pulangan lain yang lebih menguntungkan. Misalnya, jika seseorang itu membuat pelaburan simpanan tetap di bank mendapat pulangan 3% setahun, sementara pelaburan di ASB menghasilkan 7%. Pengguna sanggup menanggung rugi pulangan 3% disebabkan memilih suatu pelaburan lain, iaitu ASB yang lebih menguntungkan.

Kuasa Beli

Kuasa beli mempunyai kaitan langsung dengan inflasi. Misalnya, berapakah nilai wang RM100,000 dengan kadar inflasi 4% setahun dalam tempoh 3 tahun akan datang?

Kadar kompaunan dengan inflasi 4% ialah: 1-0.04=0.96

FV = RM100,000

i = 0.96

N = 3

PV = (FV) (i) (N) = RM97,174.42

Hal ini bermaksud nilai kini wang RM100,000 dengan kadar inflasi 4% setahun, 3 tahun akan datang ialah RM97,174.42. Berdasarkan kiraan ini, kita boleh lihat nilai wang RM100,000 telah terhakis disebabkan kesan inflasi.  Jelaslah, inflasi akan menghakis nilai setiap ringgit dan menurunkan kuasa beli kita.

Berapakah Simpanan/Pelaburan Tahunan Yang Diperlukan Oleh Adam?

Dalam perancangan kewangan formula Nabi Yusuf a.s., seseorang itu hendaklah menyimpan gandum selama 7 musim untuk digunakan dalam 7 musim kemarau akan datang.

Tugas kita sekarang ialah untuk mencari berapa banyakkah gandum yang perlu disimpan dalam tempoh 7 tahun akan datang dalam bentuk Ringgit Malaysia.

Nilai setahun gandum bersamaan dengan nilai perbelanjaan/ penggunaan seseorang selama setahun. Oleh itu, kita dapatkan jumlah perbelanjaan/ penggunaan tahunan seseorang itu terlebih dahulu. Daripada kiraan di atas, nilai simpanan gandum Adam untuk setahun ialah RM2,704 x 12 = RM32,448.

Jumlah simpanan/pelaburan sebulan yang diperlukan oleh Adam untuk 7 tahun ialah RM32,448 x 7 = RM227,136

Oleh itu:
Andaikan inflasi 3% setahun (1-0.03=0.97).

Future Value = RM227,136

N = 7 tahun.

Dengan menggunakan financial calculator:
PV = RM212,295 …… 7 tahun

Jumlah simpanan sebulan = RM212,295 ÷ 7 ÷ 12 = RM2,527

Daripada kiraan di atas, nilai simpanan gandum Adam ialah RM2,527 sebulan dan perlu disimpan selama 7 tahun berturut-turut.

Adam mula menyedari bahawa dia tidak cukup wang (defisit) untuk disimpan sejumlah itu setiap bulan. Apakah langkah yang perlu Adam buat untuk mengatasi defisit ini?

Berapakah defisit Adam untuk simpanan/pelaburan?

Defisit = RM2,527 – Jumlah pelaburan bulanan Adam

 =  RM2,527 – RM900

 = RM1,089

Wang pelaburan bulanan tersedia ialah daripada caruman KWSP bahagian pekerja dan majikan merupakan pelaburan bulanan sebanyak RM1,000. Amaun yang Adam masih tidak cukup lagi ialah RM627:

Pelaburan Adam     = RM900

Pelaburan EPF        = RM1,000

Isteri Adam               = RM627

Jumlah                     = RM2,527

Isteri Adam bersetuju untuk top-up baki yang terkurang iaitu RM627 sebulan selama 7 tahun demi kasih sayang dan untuk merealisasikan matlamat kewangan bersama pada masa akan datang. Disebabkan caruman EPF sudah tersedia dipotong RM1,000 setiap bulan (majikan dan pekerja), maka pelaburan/simpanan bulanan Adam dan Isteri ialah, RM900 + RM627 = RM1,527 sahaja.

Wang EPF sudahpun dipotong secara automatik, dilaburkan oleh EPF dan diandaikan mendapat pulangan dividen 6-7% setahun.

Pelaburan pokok Adam selama 7 tahun  = RM1,527 x 12 x 7 = RM128,268

Andaikan kadar inflasi 3% setahun dan konsisten selama 7 tahun. Pulangan pelaburan unit amanah ialah lebih 7% setahun. Untuk menyerap inflasi, Adam memilih pelaburan risiko sederhana dengan kadar pulangan atas dividen 10% setahun.

Pelaburan personal Adam:

PV = 10,000 (baki pelaburan Adam dalam saham Amanah)

PMT = RM18,324 (RM1,527 x 12)

Jangkaan kadar dividen = 10%

N = 7 tahun

FV = RM193,330

Hal ini bermaksud Adam perlu melabur/menyimpan sebanyak RM18,324 setahun atau RM1,527 sebulan dengan kadar pulangan 10% setahun untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM193,330 dalam tempoh 7 tahun.

Pelaburan Adam di EPF:

PMT = RM1,000 sebulan

i = 4% setahun (kenaikan gaji)

N = 7 tahun

Dividen KWSP = 5% setahun (ambil kadar dividen terendah)

Kiraan melalui EPF calculator = RM114,702

Di awal tahun ke 8, jumlah wang terkumpul Adam ialah:

RM193,330 (unit amanah)+ RM114,702 (EPF) = RM308,032.

Jumlah kos sara hidup atau perbelanjaan sebulan = RM308,032 ÷ 7 ÷ 12 = RM3,667.

Kesimpulan

Kesimpulannya, nilai gandum bulanan Adam RM3,667 melebihi sasaran formula Nabi Yusuf a.s. yang dikira peringkat awal, iaitu RM2,527. Hal ini disebabkan kemasukkan elemen simpanan/pelaburan EPF selama 7 tahun dan juga pulangan 10% dividen atas pelaburan unit amanah (jangkaan sahaja). Sekarang kita boleh lihat kuasa compounding dalam perancangan kewangan, fantastik!

Bagaimana pula dengan perancangan kewangan Adam selepas berjaya melaksanakan formula Nabi Yusuf a.s. ? Bersambung di Bahagian II – Bersara Sebagai JUTAWAN!

 

perancangan kewangan

 

Perkhidmatan Cukai Syarikat Pemegangan Peluang & Idea Memilih Rakan Kongsi

 

Similar Posts