PENGENALAN

Ketiadaan ciri-ciri perniagaan yang ideal ini boleh menyebabkan usahawan berasa penat, bosan dan tertekan yang berpanjangan. Ciri-ciri perniagaan yang terbaik ini boleh di “plug-in” sebagai perisa,  dan penambahbaikan ciri-ciri perniagaan seseorang yang sudah sedia wujud.

Dalam artikel ini, maksud perniagaan yang  ideal ialah:

  • seseorang itu tidak ditunggangi oleh perniagaannya sendiri sehingga hilang waktunya untuk berkeluarga, hobi dan sebagainya;
  • perniagaan yang dijalankan itu sangat stress, sehingga boleh mendatangkan akibat buruk kepada kesihatan; dan 
  • berisiko tingggi, sukar dikawal jika diteruskan dalam jangka masa panjang.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya selama 30 tahun dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, berikut saya sintesiskan dua belas pertimbangan sifat-sifat perniagaan yang ideal. Seyogia penulisan ini dapat dimanfaatkan oleh pembaca sekelian. 

 

Permintaan Yang Tinggi dan Berterusan

Perniagaan yang ideal mempunyai ciri permintaan yang sentiasa tinggi. Seseorang boleh fikirkan suatu jenis perniagaan yang sangat diperlukan oleh hidupan bernyawa, syarikat, ataupun sejenis barang atau perkhidmatan yang berkembang menurut pertambahan penduduk. Dalam erti kata lain, manusia sangat memerlukan barang atau perkhidmatan tersebut, tanpanya kehidupan manusia tidak lengkap atau boleh menyebabkan kematian. 

Barang atau perkhidmatan yang tinggi permintaannya adalah dalam kumpulan keperluan asas manusia seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan, kenderaan, perhubungan, dan lain-lain. Perniagaan seperti ini wujud dimerata tempat, dan terdapat persaingan yang sengit. Perniagaan yang ideal boleh menampilkan keunikan barang atau perkhidmatan, harga yang menarik, strategi pemasaran mendunia dan tarikan lain yang menyebabkan orang hendak membeli.

Barang Penggenap

Produk lain yang mempunyai permintaan tinggi termasuklah barang penggenap, pengganti, dan barangan mewah. Contoh barang penggenap ialah jika kita memilki kereta, sudah pasti perlukan perkhidmatan servis dan baik pulih secara berkala. Begitu juga jika berlaku kemalangan, kita perlukan perkhidmatan ketuk dan mengecat kereta. Oleh itu, perkhidmatan servis kereta dan ketuk dan mengecat semula kereta merupakan barang penggenap kepada kereta.

Permintaan barang penggenap ini berkadar terus dengan pertambahan jumlah kemalangan jalan raya yang sentiasa berlaku. Secara matematik mudah, perniagaan yang ideal seperti ini menjangkakan lebih banyak kemalangan jalan raya, maka lebih banyaklah perkhidmatan ketuk dan mengecat kereta diperlukan.

Barang Pengganti

Barang pengganti pula memerlukan penyelidikan dan pembangunan ataupun pembelian teknologi baharu. Misalnya, sebuah badan penyelidikan telah berjaya menghasilkan gula daripada tebu hitam untuk merawat diabetes. Untuk menjimatkan bahan api, teknologi kereta elektrik (hibrid) dihasilkan bagi menjimatkan minyak petrol. Permintaan sayur-sayuran organik (bebas daripada racun serangga dan bahan kimia berjadual) meningkat disebabkan kesedaran pengguna ke atas keselamatan makanan.

Jelasnya, perniagaan yang ideal mengambil kira produk mesra alam yang bebas daripada sisa toksid atau bahan yang tidak boleh dilupus. Kesannya, pencarian bahan pengganti mesra alam ini sangat dinantikan oleh pasaran bagi menggantikan plastik dan getah. 

Barang Mewah

Barang mewah juga mempunyai permintaan yang baik dalam kalangan penduduk berpendapatan tinggi. Terdapat kecenderungan dalam corak permintaan barangan daripada barang biasa kepada barang mewah apabila pendapatan rakyat semakin bertambah. Begitu juga dengan peminat barang-barang antik yang dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi. Permintaan barang mewah dan antik tidak terjejas kepada kenaikan harga. Walaupun kereta mewah dan batu permata mengalamai kenaikan harga, tetapi permintaan barang tersebut terus meningkat. Hal ini disebabkan oleh peningkatan pendapatan pengguna dan juga simbol prestij. Pengguna yang membeli barang mewah merasakan diri mereka berada dalam kelas yang berprestij. Namun begitu, jika pendapatan pengguna jatuh, barulah permintaan ke atas barang mewah turut jatuh.  

Barangan atau Perkhidmatan Keperluan

Barang atau perkhidmatan keperluan seperti penjagaan kesihatan dan kecantikan, spa, pusat tuisyen, pengangkutan, keselamatan harta, lain-lain sangat diperlukan sepanjang masa. Paras harga barang dalam kategori ini tidak lagi mempengaruhi pengguna, dan mereka sanggup berbelanja untuk mendapatkannya.

Tambahan pula, pengguna menganggap barang atau perkhidmatan keperluan ini sangat penting untuk kegunaan hidup mereka. Misalnya, pengurusan berat badan dan kecergasan, barang kecantikan, pencegahan penyakit, melambatkan proses penuaan sudah menjadi suatu kemestian dalam kalangan penduduk Malaysia. Begitu juga dengan barang-barang dan perkhidmatan keselamatan seperti CCTV, perakam video, pintu pagar automatik atau penggera automatik kini menjadi barang keperluan untuk keselamatan isi rumah.

Mudah Dibaiki dan Mendapat Alat Ganti 

Perniagaan yang ideal juga menjual barang yang tidak mudah rosak dan boleh dibaiki semula. Pada hakikatnya, tiada siapapun yang ingin membeli barang yang mudah rosak dan perlu dibaiki berkali-kali. Pastikan barang yang hendak dijual tidak mudah rosak. Jika rosakpun, pastikan ia boleh dibaiki atau diganti bahagian yang rosak tersebut.

Terdapat banyak produk yang dijual mudah rosak, dan tidak boleh dibaiki kembali disebabkan tiada alatan ganti. Walau bagaimanapun, kebanyakan alat ganti sekarang lebih berbentuk alat pakai buang. Jika rosak, buang alatan yang rosak dan diganti dengan alatan yang baharu.

Kebiasaannya, barang-barang beharga rendah tidak mempunyai kualiti dan waranti. Pengguna pula memang faham bahawa produk yang dibelinya boleh rosak pada bila-bila masa dan mereka dapat menerimanya. Bagi barang-barang pengguna yang berkualiti, lazimnya terdapat suatu lambang ‘sirim’ sebelum ianya boleh dijual dipasaran. Hal ini disebabkan pengguna dilindungi oleh undang-undang melalui Akta Perlindungan Pengguna 1999, terutamanya dalam aspek keselamatan produk yang digunakan.

Bagi barang-barang elektrik, elektronik, kereta motor dan produk ICT memang mudah mendapatkan perkhidmatan baikpulih dan alat ganti disebabkan kedapatan pusat-pusat perkhidmatan selepas jualan mereka sendiri. Ketiadaan alat-alat ganti boleh menyebabkan sesuatu barang tidak boleh berfungsi, dan pengguna akan berhenti daripada menggunakannya.

Hal ini sering terjadi kepada perkakasan ICT. Misalnya, kemasukan model-model baharu pencetak, skrin komputer dan TV, telefon mudah alih, mesin-mesin elektrik dan elektronik, kereta motor dan lain-lain menyebabkan alat-alat ganti model lama sudah tidak wujud lagi dipasaran. Akibatnya, pengguna terpaksa membeli model baharu disebabkan pengeluar melupuskan model yang lama.

Sebenarnya, pihak pengeluar atau pengilang sengaja menamatkan hayat sesuatu produk mereka dalam jangka masa yang singkat dan menggantikannya dengan model baharu disebabkan oleh persaingan dan inovasi. Produk lama dianggap sudah usang, tidak bernilai lagi dan tidak mempunyai ‘trade-in’ value. Pusingan hayat (product life span) barangan elektrik/elektronik hanya 2-3 tahun sahaja, selepas itu luput dan digantikan dengan model baharu.

Tidak Menyimpan Banyak Stok 

Sifat perniagaan yang ideal lain ialah tidak menyimpan banyak stok. Stok cuma disimpan sama ada atas sebab-sebab untuk menggantikan barang yang rosak atau atas pesanan para pelanggan sahaja. Bagaimana pula dengan perniagaan yang bercorak membekalkanan barang-barang fizikal? Perniagaan seperti ini memerlukan stor bagi menyimpan stok barang niaga yang besar. 

Stok barang niaga memerlukan modal pusingan yang tinggi disebabkan oleh pihak pembekal perlukan bayaran tunai, ataupun kemudahan kredit selama 1-3 bulan. Kemudian, terdapat juga stok-stok yang tidak habis dijual, dan telah melewati tempoh luput.  Ada juga stok yang sudah usang, dan perlu dilupuskan dengan mengadakan jualan harga runtuh. Perniagaan secara dropship dapat menyelamatkan usahawan daripada menyewa stor untuk menyimpan stok yang banyak.

Suatu ketika dahulu, seorang sahabat pernah menjadi pengedar satu produk makanan kesihatan yang berasaskan pati lebah madu berwarna hitam yang di import dari China. Pada permulaannya, produk tersebut sangat laris dan beliau menyimpan banyak stok tersebut dalam rumahnya. Kemudian, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat sebuan ke premis pengimpot produk tersebut dan mendapati produk tersebut adalah tiruan. Akibatnya, beliau telah mengalami kerugian besar disebabkan stok barang niaganya tidak dapat dijual lagi.

Kesimpulannya, terdapat tiga kelemahan dalam perniagaan yang berasaskan stok barang niaga, pertama; ia memerlukan modal pusingan (wang tunai) yang tinggi untuk membeli barang-barang sedangkan kita belum lagi habis menjualnya. Kedua, perniagaan sebegini memerlukan stor atau gudang untuk menyimpannya. Ketiga, stok barang niaga yang luput tempoh akan menjadi usang jika tidak dapat dijual dalam jangka masa yang lama, sedangkan ia tidak boleh dipulangkan semula kepada pembekal. 

Sedikit Bilangan Pekerja

Bilangan pekerja yang ramai bukanlah menunjukkan bahawa suatu perniagaan yang ideal. Misalnya, seorang usahawan yang mempunyai dua orang pekerja, tetapi memperolehi keuntungan beratus ribu sebulan! Seorang usahawan lain mempunyai hampir 100 orang pekerja di bahagian servis dan baik pulih pondok telefon (15 tahun dulu). Sebaliknya, dia hanya memperolehi margin keuntungannya disekitar 10-15 peratus sahaja.

Usahawan terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah pekerja yang ramai; seperti bayaran KWSP dan SOCSO, Fomema, pekerja ponteng, kecurian stok, bergaduh dan lain-lain. Tambahan pula terpaksa berdepan dengan kerenah pekerja-perkerja asing yang membebankan.

Di negara-negara maju, ramai usahawannya menjalankan perniagaan menggunakan modal insan berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Perniagaan yang ideal tidak terlalu bergantung kepada jumlah pekerja yang ramai. Teknologi ICTM telah menukarkan perniagaan yang lebih berorientasikan manual kepada penggunaan mesin-mesin elektronik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Dalam ekonomi berdasarkan ilmu (knowledge economy), usahawan  mampu mencipta pelbagai produk inovasi baharu yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia. Walaupun mempunyai bilangan pekerja yang sedikit, ciri-ciri perniagaan yang ideal mampu menghasilkan produk seantaro dunia yang berorientasikan teknologi, kreativiti dan inovasi.  

Urusniaga Tunai

Perniagaan jenis bayaran tunai di Malaysia majoritinya dikuasai oleh orang-orang Cina. Perniagaan yang ideal bersifat ‘copy cat’ seperti kedai gambar, salon rambut, kedai kain-baju, kedai barangan elektrik, servis kereta motor, kedai-kedai berasaskan hobi seperti ikan hiasan, peralatan memancing, peralatan golf dan lain-lain majoritinya dikuasai oleh orang-orang Cina.

Perniagaan seperti ini dapat bertahan lama di samping mereka boleh menukar kepada perniagaan lain pada bila-bila masa jika mengalami kerugian. Ciri-ciri perniagaan yang ideal copy cat tidak memerlukan tahap kemahiran yang tinggi, mudah untuk kendalikan, dan risiko yang rendah. 

Jumlah pegangan wang tunai di tangan merupakan kekuatan sesebuah perniagaan. Transaksi dalam jualan barang secara tunai membolehkan usahawan mengumpul wang tunai daripada hasil jualan setiap hari. Pada masa yang sama, jika pembekal yakin dan percaya dengan prestasi perniagaan seseorang usahawan, mereka berani memberikan kemudahan kredit secara pembayaran back-to-back atau 30-90 hari kredit.

Untung bersih terkumpul boleh digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan. Strategi menambahkan lagi volum barang-barang yang laris, meningkatkan kepelbagaian barang dan harga barang-barang yang kompetetif dapat membesarkan lagi keuntungan.. Di samping itu juga, perniagaan yang ideal seperti jualan tunai mampu mempercepatkan lagi pengumpulan modal. Strategi ini penting khususnya untuk mengembangkan perniagaan pada masa akan datang.

Pendapatan Berganda dan Berterusan

Pendapatan boleh dibahagikan kepada pendapatan linar dan juga pendapatan berganda. Golongan pekerja makan gaji mendapat kenaikan pendapatan linar yang pasti setiap tahun. Usahawan  pula menghasilkan pendapatan yang berganda, namun begitu, belum pasti ianya boleh diperolehi secara berterusan.

Pendapatan berganda misalnya, pada bulan Mac perniagaan menjana keuntungan bersih sebanyak RM5,000; pada bulan April sebanyak RM8,000; pada bulan Mei sebanyak RM13,000 dan seterusnya naik berganda-ganda. Perniagaan yang ideal menghasilkan pendapatan yang berterusan. Pendapatan pasif pula bermaksud, walaupun seseorang usahawan itu sudah tidak lagi menjalankan perniagaan, beliau masih menikmati pendapatan dalam bentuk perkongsian untung, pulangan pelaburan, juga sewaan harta tanah. 

Pendapatan berganda diperolehi melalui jualan yang berganda. Jualan yang berganda pula bergantung kepada jumlah pelangan yang berganda. Jika suatu perniagaan yang ideal berjaya menarik ramai pelanggan, maka semakin bergandalah pendapatannya. Dengan pendapatan berganda inilah usahawan hendaklah mengumpulkan tunai untuk masa hadapan yang tidak menentu. “Cash is King” 

 
Tiada atau Sedikit Saingan

Terdapat juga produk atau perkhidmatan yang kawal oleh seorang pembekal atau pengeluar sahaja di Malaysia. Jika barang tersebut diimport, usahawan boleh mendapatkan hak pengedaran tunggal di Malaysia atau pun dilantik sebagai pemegang franchisor tunggal.  Bagi pemegang franchisor tunggal, usahawan boleh melantik ramai franchisee diseluruh negara. Usahawan boleh mendapatkan pelbagai maklumat produk-produk franchise di seluruh dunia melalui MATRADE, persatuan-persatuan perniagaan, laman web atau portal-portal perniagaan dan menyertai ekspo-ekspo perdagangan antarabangsa.

Produk atau perkhidmatan monopoli juga mudah untuk dikembangkan dengan melantik rakan kongsi strategik. Misalnya, rangkaian peruncitan, pasaraya mini, super dan hyper, bank-bank perdagangan, syarikat penerbangan, syarikat telekomunikasi dan lain-lain. Oleh kerana perniagaan yang ideal seperti monopolis bebas mengawal tingkat harga, barang atau perkhidmatannya tidak mempunyai pesaing. Dalam jangka masa yang singkat monopolis mampu melipat gandakan jualan mereka dengan melantik pengedar-pengedar ke seluruh Malaysia. 

Modal Permulaan Yang Rendah

Usahawan yang bijak selalu menggunakan wang orang lain untuk memulakan perniagaanya. Sebagai contohnya, seorang usahawan di Sarawak yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual buah kelapa sawit. Beliau tidak mempunyai wang pusingan yang cukup! Beliau bertindak berani meminjam wang daripada beberapa orang individu yang dikenalinya. Lebih teruk lagi apabila beliau juga tidak mempunyai lori untuk mengangkut buah kelapa sawit dan juga tidak memiliki lesen memandu lori! Usahawan dengan perniagaan yang ideal ini menyewa lori dengan pemandunya sekali gus.

Hal ini memudahkan beliau membeli buah kelapa sawit di kampung-kampung dan menjualkannya semula kepada pengilang-pengilang minyak kelapa sawit di bandar-bandar. Pinjaman wang akan dibayar semula kepada kawan-kawannya selepas beliau mendapat hasil daripada jualannya. Dalam tahun kedua perniagaannya, beliau berjaya memperolehi jualan RM1.5 juta dengan margin keuntungan bersih 15 peratus daripada jumlah jualan. Fantastik!

Jumlah pelaburan yang minimum memang perlu untuk memulakan sesuatu perniagaan. Namun begitu, teori pelaburan menyatakan bahawa pulangan mempunyai hubungan terus dengan risiko. Jika usahawan inginkan pulangan yang tinggi, maka risiko yang ditanggung juga adalah tinggi.

Dalam mencari modal awal perniagaan, seseorang usahawan perlu mengelakkan daripada mencagarkan rumahnya untuk mendapatkan modal. Lebih baik mulakan perniagaan dengan menggunakan sebahagian daripada simpanan, dan jalankan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Jangan fikirkan sangat tentang saiz perniagaan, yang penting sekali ialah perniagaan yang ideal tersebut mendatangkan pulangan tunai setiap hari. 

Perniagaan yang Bersifat Global

Perniagaan yang bersifat global bermaksud barang atau perkhidmatan boleh di ketengahkan merentasi sempadan dan benua serta dapat diterima oleh masyarakat antara bangsa. Kemudian, perniagaan yang ideal bersifat gobal tidak tertakluk kepada suasana iklim dan bangsa yang berbeza. Misalnya, sesuatu produk yang dijual tidak dapat berfungsi dengan baik di negara yang beriklim sejuk.

Atau, baju pyjamas tidak digunakan dinegara yang beriklim panas. Dalam konteks Malaysia, produk berasaskan makanan perlulah memiliki logo halal supaya ianya dapat dibeli oleh orang-orang Islam.

Produk Teknologi atau Inovasi Baru

Barang atau perkhidmatan berteknologi dan berinovasi baru sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.  Dengan menggunakan kemahiran individu yang berbeza, usahawan mampu mencipta pelbagai produk terkini bagi memenuhi kehendak dan cita rasa pengguna.

Usahawan dan pekerja yang berpengetahuan mempunyai potensi daya maju perniagaan yang tinggi jika mereka berjaya mencipta produk kesihatan dan farmaseutikal, anti penuaan, produk kanser, diabetes, mati pucuk, strok, gaut dan lain-lain. Tambahan pula, masyarakat pada hari ini sangat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dan pengawalan berat badan.

Begitulah juga dengan keadaan barang atau perkhidmatan yang sudah tersedia dipasaran, ianya perlu dimasukkan dengan teknologi atau inovasi baharu supaya tidak mudah usang atau rosak. Bagi usahawan yang sudah tersedia  dipasaran, aspek teknoloji dan inovasi produk perlu diberi keutamaan supaya jangka hayat suatu perniagaan dapat diteruskan. 

Menggunakan E-Dagang dan Web

Perkembangan pesat dalam teknoloji maklumat telah mendatangkan kesan yang amat ketara dalam peningkatan transaksi e-dagang. Dalam perniagaan yang ideal pengeluar dan pengguna berinteraksi melalui medium Web 1.0 dan Web 2.0. Pakar IT mengklasifikasikan bahawa teknoloji Web 1.0 terdiri daripada pembinaan dan penggunaan laman web dan juga blog. Disebabkan teknologi internet semakin pantas berkembang, maka medium Web 2.0 (dipopularkan oleh Tim O’Reilly dalam tahun 2005) dibina supaya dapat digunakan dengan lebih mudah oleh semua orang, walaupun tanpa mempelajarinya dibilik kuliah.

Dalam era Web 2.0, muncullah laman-laman sosial seperti facebook, twitter, wechat, linkedin, instagram, youtube dan lain-lain. Medium media sosial mudah dikendalikan, dan seperti juga dengan laman web, ia dapat bertindak sebagai jurucakap atau jurujual senyap yang bekerja untuk usahawan keseluruh dunia selama 24 jam tanpa henti.

Di samping itu, penyedia perkhidmatan Web 2.0 memberikan perkhidmatan asas membuka akaun dengan percuma, dan mengenakan perkhidmatan minimum bagi tujuan promosi dan pemasaran tanpa batasan. Web 2.0 berupaya bekerja ketika anda tidur, makan atau melancong. Kemudian, Web 1.0 pula dapat memudahkan lagi proses transaksi jualan, dan pesanan, iaitu pembeli tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke premis perniagaan.

Penggunaan teknoloji internet seperti Web 1.0 dan Web 2.0 merupakan suatu perniagaan yang ideal yang mampu memberikan gambaran bahawa anda merupakan seorang yang bijak teknologi. Medium alaf baru mempunyai kuasa mengubah lanskap perniagaan yang diuruskan secara tradisional kepada berdagang atas talian, di mana pembeli atau pengguna menganggap diri mereka canggih dan ‘ada kelas’ disebabkan mampu membeli belah dialam maya.

 

Kebal Daripada Kemelesetan Ekonomi

Kemelesetan ekonomi serantau dan dunia merendahkan kuasa beli rakyat sesebuah negara. Komuniti perniagaan mengalami pengurangan permintaan atau perkhidmatan disebabkan pengguna tidak berbelanja dan menyimpan wang untuk tujuan awasan. Sikap pengguna yang tidak berbelanja menyebabkan permintaan domestik menegcut mengakibatkan ekonomi bergerak terlalu perlahan.

Namun begitu, terdapat juga perniagaan yang ideal dengan produk dan perkhidmatan yang kebal daripada kesan kejatuhan ekonomi serantau. Agak sukar untuk menyatakan suatu perniagaan itu kebal daripada kemelesetan ekonomi.  Seseorang itu perlulah membuat pemerhatian khusus ke atas jenis-jenis perniagaan yang wujud sebelum dan selepas kemelesetan ekonomi berlaku.

Ketika ekonomi meleset, sektor perniagaan copy-cat dapat bertahan disebabkan produknya yang sangat diperlukan oleh orang ramai, Jika diperhatikan, jenis perniagaan yang ideal ini banyak dikuasai oleh orang-orang Cina di kawasan-kawasan bandar. Boleh dikatakan, sesiapa sahaja yang cepat menerokai perniagaan tersebut  dalam sesuatu kawasan perbandaran, maka mereka akan menguasai pasaran di tempat itu.

Walau bagaimanapun, perniagaan copy-cat tersebut perlu diubahsuai terlebih dahulu supaya ianya mempunyai keunikan tersendiri. Tambahan pula, transaksi jualan berasaskan tunai, mudah dikendalikan dan pasarannya terbuka luas (tidak bergantung kepada pelanggan tertentu sahaja).  Hal ini menyebabkan sesuatu perniagaan yang ideal seperti copy-cat dapat bertahan lama.

KESIMPULAN

Bidang perniagaan sukar untuk dipertahankan hayatnya dalam jangkamasa yang lama. Seseorang usahawan perlu memerhatikan disekelilingnya, terutamanya tren pengguna masa kini, dan mestilah sanggup berubah mengikut tren tersebut. Elakkan suatu perniagaan yang menyusahkan, atau jika perlu, ubahsuai semula model perniagaan lama supaya menjadi lebih lestari, inovatif dan futuris. . Plug-in mana-mana sifat-sifat perniagaan yang ideal di atas dalam perniagaan anda. Ubahsuai dan copy and paste di mana perlu, dan akhirnya pastikan perniagaan itu mengembirakan! 

 

Peluang & Idea Membuat Keputusan Memilih Rakan Kongsi PLT

 

@ Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau  cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada pengarang.

Syarikat Sendirian Berhad

Syarikat Sendirian Berhad

kamal12/11/20207 min read

SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD Seringkali seseorang itu buntu dalam hal memilih entiti perniagaan, sama ada mahu menubuhkan syarikat sendirian berhad ataupun entiti perniagaan yang lain. Syarikat sendirian berhad keperluan pematuhan Akta Syarikat 2016 menyebabkan ia agak ditakuti ramai. Khususnya bagi mereka…

Ciri-ciri Usahawan Beriman

Ciri-ciri Usahawan Beriman

kamal18/09/20205 min read

PENGENALAN Usahawan hendaklah melaraskan pengimbangan diri diperingkat pra-usahawan supaya mereka berada dilandasan yang betul. Landasan yang betul merupakan suatu alat penunjuk arah supaya usahawan tidak sesat dipertengahan jalan. Ciri-ciri usahawan beriman berpandukan kepada sesuatu menurut fikrah manusia diperingkat awal lagi,…

Gunakan Gerak Hati Dalam Membuat Keputusan

Gunakan Gerak Hati Dalam Membuat Keputusan

kamal09/08/20207 min read

Hati Yang Berkata Usahawan tidak dapat lari daripada membuat keputusan yang akan mempengaruhi perniagaan mereka pada masa hadapan. Kesilapan membuat keputusan boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian sama ada dalam bentuk wang, harta benda atau kebejatan moral. Akibatnya, kehidupan usahawan boleh…

Pintar Niaga

Pintar Niaga

kamal30/07/20206 min read

https://taxzakat.com/wp-content/uploads/2020/07/pintar-niaga.mp4PRA KATA PINTAR NIAGAPertamanya, saya ingin merakamkan rasa syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya jua maka Buku Pintar Niaga ini dapat disiapkan akhirnya. Usaha menulis buku ini sudah pun saya mulakan sejak lebih tujuh tahun yang lalu. Ingin dinyatakan…

Usahawan Bertakwa lwn. Usahawan Kufur

Usahawan Bertakwa lwn. Usahawan Kufur

kamal30/07/20204 min read

PENGENALAN Saya ingin menukilkan satu daripada empat kisah terkenal dalam surah Al Kahfi, ayat 32-42. Kisahnya mengenai perbandingan dua orang lelaki dalam usaha berkebun anggur, tamar dan tanaman yang lain. Ikuti kisah seterusnya usahawan bertakwa lwn. usahawan kufur seperti di…

Similar Posts