kisah-usahawan-beriman

pelabur-budiman

Usahawan Beriman vs. Usahawan Kufur

Saya ingin menukilkan satu daripada empat kisah terkenal dalam surah Al Kahfi, ayat 32-42. Kisahnya mengenai perbandingan usaha berkebun anggur, tamar dan tanaman yang lain oleh dua orang lelaki, seorang usahawan beriman dan seorang lagi usahawan kufur.

Balasan Terhadap Usahawan Kufur

Allah telah mengurniakan hasil anggur dan tamar yang lebih lumayan kepada usahawan yang tidak beriman.

Lalu dia berkata kepada sahabatnya “aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikutku yang ramai.”

Sahabat yang kufur itu masuk ke kebunnya dengan sifat kekufurannya sambil berkata “aku tidak fikir kebun ini akan binasa selama-lamanya.”

Beliau berkata lagi dengan sombongnya “Aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku, dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Sahabat yang beriman menasihatinya “patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau daripada tanah, kemudian daripada air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurnna sebagai laki-laki.”

Tambah sahabat yang beriman lagi, “Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku.”

Sahabat yang beriman berkata, “Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah) (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah). Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding dengan mu.”

Dengan penuh kesedaran, pengusaha beriman itu berkata “Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana daripada langit sehinggalah menjadi kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian engkau tidak akan dapat mencarinya lagi.”

Walaupun dinasihati dan diingatkan oleh sahabatnya usahawan beriman, namun tidak memberi bekas sedikitpun dihatinya.

Akhirnya, disebabkan kekufurannya, Allah telah membinasakan segala tanaman dan harta bendanya, sambil dia berkata dengan penuh kesal “alangkah baiknya kalau aku tidak menyekutukan sesuatupun dengan Tuhanku.” Sedangkan usahawan beriman terus redho dengan kurniaan Allah.

Ibrah Daripada Kisah Ini
  1. Elakkan daripada membanding-bandingkan usaha atau kehidupan kita dengan orang lain. Carilah keberkatan, walaupun sedikit tetapi berkat!
  2. Jangan sombong dan angkuh dengan rezeki yang melimpah ruah, dan menyatakan bahawa itu semua adalah hasil daripada usaha, kepandaian dan kehebatan diri sendiri.
  3. Memang Allah memberikan hasil yang lebih lumayan atas usaha orang-orang yang tidak beriman, kerana bagi mereka dunia ini adalah syurga yang wajib dimiliki. Usahawan beriman akan melalui pelbagai ujian getir.
Kesimpulan

Apa yang kita usahakan di dunia ini, walaupun bekerja sekuat manapun, belum tentu lagi kita akan jadi kaya raya dan berjaya. Firman Allah dalam surah Asy-Syura ayat 27 bermaksud:

‘Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambanya, nescaya mereka akan melampaui batas dibumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana), akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya, Ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi melihat dengan nyata’.

Sememangnya, Allah memilih insan tertentu sahaja untuk menjadi kaya raya. Lihatlah hasil berkebun usahawan beriman di atas. Tugas manusia ialah menjalani kehidupan dalam rangkakerja yang ditetapkan oleh Allah. Berdoa dan memohon agar Allah memberikan kehidupan yang baik, rezeki yang luas disamping bersyukur dengan apa yang dikurniakan olehNya.

 

usahawan-beriman

 

Perkhidmatan Cukai Nama Perniagaan Peluang & Idea Memilih Rakan Kongsi

 

 

 

Similar Posts