syarikat pemegangan

kamal-al-rahman

PENGENALAN

Seksyen 4 Akta Syarikat 2016 menerangkan hubungan antara syarikat-syarikat dalam kumpulan. Kebanyakan syarikat bersaiz besar mempunyai beberapa buah syarikat lain di bawah satu bumbung. Syarikat bersaiz besar dikawal oleh lembaga pengarah dan pemegang syer melalui syarikat pemegangan.

Lazimnya, manfaat dan rasional syarikat pemegangan dan subsidiari ditubuhkan adalah seperti berikut:

  • organisasi yang mempunyai objektif perniagaan berbeza lebih mudah diuruskan menurut jenis industri masing-masing; misalnya pengilangan, pembangunan harta tanah, peruncitan, pengedaran dan lain-lain;
  • risiko perniagaan dapat dikurangkan disebabkan oleh syarikat berkumpulan diasingkan menurut penjenisan industri dan diuruskan oleh mereka yang mahir dalam bidang perniagaan itu; dan
  • sumber modal, perancangan cukai korporat dan pengurusan sumber manusia dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
SYARIKAT PEMEGANGAN DAN SUBSIDIARI

Seksyen 4 AS 2016 menerangkan perkaitan antara syarikat subsidiari dan syarikat pemegangan.

Syarikat Subsidiari

Suatu perbadanan hendaklah disifatkan sebagai suatu subsidiari kepada suatu perbadanan yang lain itu, hanya jika:[1]

Perbadanan yang lain itu:

  • mengawal keanggotaan lembaga pengarah perbadanan itu;
  • mengawal lebih daripada separuh kuasa mengundi perbadanan itu; atau
  • modal syer terbitan – memegang lebih daripada separuh modal syer yang dikeluarkan perbadanan itu, tidak termasuk mana-mana bahagian modal syer yang terdiri daripada syer keutamaan; atau

Perbadanan itu merupakan sebuah subsidiari kepada mana-mana perbadanan yang menjadi subsidiari perbadanan yang lain itu.

Contoh di bawah merupakan suatu ilustrasi yang dapat memberi kefahaman perkaitan antara syarikat pemegangan dengan syarikat subsidiari daripada sudut komposisi lembaga pengarah dan juga kuasa mengundi.

  • Supermart Holdings Sdn. Bhd. (A) menguasai keanggotaan lembaga pengarah Superich Sdn. Bhd. (B); atau
  • Supermart Holdings Sdn. Bhd. (A) menguasai lebih daripada separuh kuasa mengundi dalam syarikat Superking Sdn. Bhd. (B); atau
  • Supermart Holdings Sdn. Bhd. (A) memegang lebih separuh daripada modal syer yang diterbitkan oleh perbadanan Superking Sdn. Bhd. (D); atau
  • Superbest Sdn. Bhd. (C) merupakan syarikat subsidiari kepada Superich Sdn. Bhd. (B), iaitu pada masa yang sama Superbest Sdn. Bhd. juga merupakan anak syarikat kepada syarikat pemegangan utama Supermart Holdings Sdn. Bhd. (A).

Rajah 1 di bawah menunjukkan dua buah perbadanan pemegangan, iaitu Supermart Holdings Sdn. Bhd. dan Superich Sdn. Bhd. Kemudian, terdapat tiga buah perbadanan subsidiari Supermart Holdings Sdn. Bhd., iaitu Superich Sdn. Bhd., Superbest Sdn. Bhd. dan Superking Sdn. Bhd.

syarikat pemegangan

Suatu perbadanan dapat dikenalpasti statusnya sama ada perbadanan pemegangan ataupun subsidiari berdasarkan sama ada ia memenuhi salah satu kriteria di bawah s. 4 Akta.

Komposisi Pengarah Perbadanan Dalam Kumpulan

Komposisi pengarah suatu perbadanan hendaklah disifatkan sebagai dikawal oleh sebuah perbadanan yang lain jika:

  • perbadanan yang lain itu boleh melantik atau memecat kesemua atau majoriti pengarah-pengarah perbadanan itu.[1]

Dalam erti kata lain, sebuah perbadanan yang lain itu mengawal dan menguasai secara langsung hal-hal perlantikan dan pemecatan pengarah-pengarah suatu perbadanan.

Syarikat pemegangan (holding company), dalam konteks ini dikenali sebagai syarikat yang lain, hendaklah disifatkan sebagai mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa perlantikan jika:[2]

  • seseorang itu tidak boleh dilantik sebagai pengarah suatu perbadanan tanpa kuasa daripada perbadanan yang lain itu; atau
  • perlantikan seseorang sebagai pengarah semestinya berikutkan kedudukannya sebagai pengarah atau pegawai lain dalam perbadanan yang lain itu.

Akta Syarikat juga memberi tafsiran bahawa setiap buah perbadanan dalam kumpulan mempunyai entiti yang berasingan, iaitu sama seperti syarikat berhad menurut syer yang lainnya.

Syarikat Pemegangan

Syarikat pemegangan juga dikenali sebagai syarikat pelaburan disebabkan sifatnya memegang dengan cara membeli syer-syer syarikat lain, atau menubuhkan syarikat subsidiarinya sendiri. Antara keistimewaan syarikat pemegangan adalah seperti berikut:

  1. Lazimnya, syarikat pemegangan tidak mempunyai produk, atau perkhidmatan. Ia cuma bertindak sebagai medium memegang syer (pelaburan) dalam syarikat lain.
  2. Syarikat pemegangan menghapuskan persaingan disebabkan kawalan berpusat ke atas syarikat subsidiari, mampu memaksimumkan keuntungan.
  3. Syarikat pemegangan menyediakan syarikat subsidiari pelbagai keistimewaan seperti kuasa beli, penyelidikan dan pembangunan, pemasaran, pengetahuan bagaimana, pekerja, kemahiran teknikal dan lain -lain ciri yang mana tidak mampu dimiliki dan dicapai bersendirian.
  4. Disebabkan syarikat pemegangan menyediakan bantuan kewangan, oleh itu syarikat subsidiari mampu melompat terus membuka syarikat dengan produk yang sudah tersedia.
  5. Mampu untuk mengimbangi untung atau rugi antara satu sama lain.
KESIMPULAN

Syarikat pemegangan lazimnya merupakan syarikat induk yang digunakan sebagai suatu platform pelaburan. Fungsinya ialah untuk melabur ke dalam syarikat-syarikat subsidiari di bawah suatu kumpulan yang sama. Syarikat seperti ini dapat mengawal syarikat-syarikat subsidiari di bawah kumpulannya dengan melantik pegawai-pegawai.  Disebabkan pemilikan syer sepenuhnya, syarikat ini mempunyai kawalan penuh atas perjalanan perniagaan syarikat subsidiari.

 


syarikat pemegangan

 

Syarikat Persendirian Berkecuali Pejabat Berdaftar Perkhidmatan Cukai Definisi Syarikat

 

[1] Seksyen 4(1)(a) AS 2016

[2] Seksyen 4(2) AS 2016

[3] ibid.

 

 

Similar Posts