syarikat persendirian berkecuali

Pengenalan

Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mendefinisikan syarikat persendirian berkecuali sebagai suatu syarikat persendirian yang syernya tidak dimiliki atau dipegang secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana perbadanan dan yang mempunyai ahli tidak lebih daripada dua puluh orang yang kesemuanya bukan suatu perbadanan.

Perkara asas paling penting ialah syer-syer syarikat ini tidak boleh dimilki atau dipegang oleh syarikat-syarikat lain. Dalam erti kata lain, pemegang syer hendaklah semuanya terdiri daripada orang biasa. Lazimnya, syarikat persendirian yang ditubuhkan dalam pasaran adalah dalam kategori ini. Misalnya, syarikat-syarikat SME dan keluarga cenderung dalam kategori syarikat ini, manakala syarikat-syarikat kawalan berada diluar skop syarikat persendirian berkecuali.

Ciri-ciri Khas Syarikat Persendirian Berkecuali

Syarikat jenis ini merupakan suatu syarikat persendirian terhad oleh syer. Namun begitu, statut mengkelaskan syarikat persendirian yang dikecualikan ini mempunyai ciri-ciri khas berikut:[1]

  1. Mempunyai ahli tidak melebihi 20 orang biasa yang tiada satupun perbadanan;
  2. Tiada syernya dipegang secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana perbadanan;
  3. Syarikat tidak perlu menyerah-simpan penyata kewangan yang diaudit kepada Pendaftar, tetapi perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
    1. Menyiapkan Sijil Syarikat Persendirian Berkecuali (Exempt Private Company Certificate) bagi menggantikan Penyata Kewangan;
    2. Sijil Syarikat Persendirian Berkecuali hendaklah ditandatangani oleh seorang pengarah, juruaudit dan setiausaha syarikat[2] yang menyatakan bahawa:
      • Syarikat telah menyimpan rekod perakauanan yang betul dan buku-buku lain sepanjang tahun kewangan;
      • Laporan audit pada akaun tersebut hendaklah non-qualified dan tidak mengandungi komen di bawah seksyen 174(3) AS 2016;
      • Pada tarikh akaun itu dibuat, syarikat hendaklah mampu memenuhi keperluan liabilitinya apabila genap masa kena bayar.

Penyata kewangan yang diaudit telah diedarkan kepada semua ahli;

Syarikat jenis ini diberi keistimewaan tidak perlu menyerah-simpan penyata kewangan kepada Pendaftar. Oleh itu, syarikat dapat merahsiakan kedudukan kewangannya daripada diketahui oleh pesaing mereka. Walau bagaimanapun, penyata kewangan perlu diaudit, cuma dikecualikan daripada menyerahsimpan penyata kewangan itu ke SSM.

Pinjaman Kepada Pengarah

Syarikat persendirian berkecuali dibenarkan oleh statut untuk memberikan pinjaman kepada pengarah syarikat bagi tujuan berikut:[3]

  • bagi membolehkan pengarah untuk melaksanakan kewajipan yang sepatutnya sebagai pegawai syarikat;
  • untuk membayar perbelanjaan dalam membeli atau memperolehi rumah;
  • skim pinjaman kepada pekerja yang diluluskan oleh Lembaga pengarah.

 

 

syarikat persendirian berkecuali

 

Syarikat Pemegangan Pejabat Berdaftar Perkhidmatan Cukai Setiausaha Syarikat

 

[1] Seksyen 2 AS 2016

[2] Seksyen 260(2) AS 2016

[3] Seksyen 224(2) AS 2016

Similar Posts