10_pertimbangan

Sebelum seseorang mengambil keputusan untuk berniaga, artikel saya bertajuk “!0 Pertimbangan Kritikal Sebelum Berniaga” sangat relevan untuk dibaca terlebih dahulu. Hal ini bukan bermaksud tidak mendorong sesiapapun untuk berniaga, tetapi lebih kepada memberi suatu justifikasi berpijak di bumi nyata sebelum terjun dalam dunia perniagaan. Sekurang-kurangnya saya berkongsi secalit pengalaman supaya dapat dijadikan panduan berguna buat mereka di luar sana. 

Pertama: Minat dan Semangat Ingin Berubah

Minat dan semangat ingin berubah merupakan perkara pokok dalam memastikan cita-cita anda untuk berniaga tidak pernah pudar. Kemudian, semangat ingin mengubah kehidupan atau dalam bahasa pengurusannya dipanggil ‘anjakan paradigma’ tidak akan tercapai jika seseorang itu terus kekal dalam situasi sekarang. Tegasnya, kita mestilah sanggup mengubah kehidupan sekarang supaya anggota keluarga menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Seyogia, bertindak lebih baik daripada berkata-kata. Dalam erti kata lain, langkah-langkah menuju alam perniagaan perlulah dimulakan sekarang. Peribahasa cina ada menyatakan bahawa ‘perjalanan yang jauh itu bermula dengan langkah pertama’. 

Seterusnya, tentukan bidang perniagaan apakah yang paling minati untuk diceburi. Misalnya; jika seseorang itu cantik, suka bergaya dan trendy, dia boleh memulakan perniagaan berkaitan dengan fesyen dan kecantikan seperti busana wanita atau pun salon kecantikan. Setiap orang mempunyai minat yang berbeza seperti menunggang berkuda, menjahit pakaian, bertukang, memasak, bersolek, mengumpul barang-barang antik, bersilat, menyelam scuba, mendaki gunung, mengayuh basikal dan bermacam-macam lagi. Daripada minat inilah maka tercetusnya idea-idea perniagaan yang boleh menjana pendapatan. Oleh itu, jangan pisahkan minat dengan jenis perniagaan yang hendak diceburi, ibarat irama dan lagu, jika dipisahkan maka pincanglah ia.

Kedua: Ilmu dan Kemahiran

Ilmu dan kemahiran merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh seseorang yang ingin berjaya, termasuklah dunia perniagaan. Ilmu dan kemahiran perlu dikuasai sehingga ke peringkat akar umbi. Fikirkanlah, kita mungkin tidak dapat menggunakan kereta, kapal terbang, sistem jual-beli secara e-dagang dan lain-lain tanpa ilmu dan kemahiran insan yang menciptanya. Persoalannya, adakah kita benar-benar mempunyai ilmu dan kemahiran teknikal dalam bidang pernigaan yang dipilih tersebut? Elakkan daripada menjalankan sesuatu perniagaan “syok sendiri”, iaitu kita tidak tahu dan tidak mahir selok-belok perniagaan yang hendak dijalankan. Dengan memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal, seseorang itu mampu membuat keputusan kritikal dengan lebih strategik, dapat meyakinkan pelanggan, pelabur dan dihormati oleh kawan dan lawan. Seseorang yang memiliki ilmu dan kemahiran seperti tukang emas, tukang plaster, tukang pasang jubin, tukang masak, pereka grafik, tukang hiasan dalaman, mak andam dan sebagainya mempunyai kemahiran tinggi sehinggakan mampu menjadikan ilmu dan kemahiran tersebut sebagai punca pendapatan mereka.

Namun begitu, jika seseorang meminati suatu bidang yang mana dia tidak mahir selok-belok bidang itu, adalah dicadangkan supaya dapatkan latihan teknikal dengan menghadiri kursus-kursus yang berkaitan dengannya terlebih dahulu. Terdapat banyak tempat yang meyediakan kursus-kursus kemahiran dan perniagaan yang diperakui seperti MARA, MARDI, PUNB, CIDB, FAMA, RISDA, badan-badan berkanun, pihak swasta dan juga pihak kerajaan sendiri. Ilmu dan kemahiran merupakan syarat utama yang perlu dimiliki oleh sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan. Tidak hairanlah di negara-negara maju, usahawan mereka mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi sehingga mampu mengekspot produk-produk yang berasaskan ilmu ke serata pelosok dunia.

Ketiga: Jangkaan Pendapatan

Tanyalah diri sendiri, bolehkah aku bergantung harapan dalam perniagaan ini dalam suatu jangka masa panjang? Misalnya, jika kita pilih berhenti kerja dan menjalankan perniagaan, pastikan perniagaan baharu tersebut mampu memberikan pendapatan yang lebih; iaitu sekurang-kurangnya tiga kali ganda pendapatan bersih berbanding dengan bekerja makan gaji. Suatu ketika dahulu seorang pelanggan saya yang merupakan bekas pegawai kerajaan menyatakan kekesalannya berhenti kerja dan menjadi usahawan disebabkan beliau sendiripun tidak betul-betul bersedia dan tidak tahu hendak berniaga apa. Pada peringkat awal, beliau telah menjalankan dua-tiga jenis perniagaan, malangnya pendapatan perniagaan tersebut tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaan keperluan asasnya.  Beliau rasa sangat kecewa dan malu berjumpa dengan kawan-kawan lamanya kerana sudah tidak bekerja. Sesungguhnya, beliau tidak menduga sama sekali bahawa pendapatannya semasa makan gaji dahulu lebih tinggi berbanding dengan bekerja sendiri.

Seorang pelanggan lain bernama Harun (bukan nama sebenar), merupakan seorang kakitangan badan berkanun ingin meningkatkan lagi taraf hidupnya secara menjalankan perniagaan pembekalan dan perkhidmatan. Beliau mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang pembekalan peralatan sukan dan cenderamata. Saya menasihati beliau supaya mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan terlebih dahulu dan tidak berhenti kerja sembarangan. Nasihat saya diterima. Selepas enam bulan kemudian, beliau datang berjumpa dengan saya dan menyatakan bahawa beliau tidak jadi berhenti kerja. Dengan nada mengeluh, beliau memberitahu saya dalam tempoh enam bulan perniagaanya, pelbagai masalah dan keperitan telah dilaluinya. Akibatnya, beliau rasa tertekan apabila ditipu, rasa cemas apabila tiada wang masuk, kecewa bila pesaing-pesaing lain potong harga dan pelbagai kejutan berlaku yang belum pernah dirasainya.  Justeru, sangkaannya berniaga boleh menjadi kaya dan hidup mewah meleset sama sekali. Akhirnya, Harun mengambil keputusan sayonara kepada dunia perniagaan dan kembali semula ke alam pekerjaan makan gaji.

Oleh itu, sewajarnya kita tidak tergesa-gesa untuk berhenti kerja hanya semata-mata seronok tengok orang lain berjaya dan menjangkakan kita juga boleh berjaya seperti mereka. 

Keempat: Mempunyai Gambaran yang Jelas

Gambaran yang jelas ibarat ‘kita sudah tahu bagaimana hendak sampai ke sana’ Jika seseorang itu benar-benar serius ingin berniaga, maka gambaran perniagaan yang ingin dijalankan mestilah benar-benar jelas dari A ke Z.  Hal ini merangkumi matlamat perniagaan, sasaran pelanggan, operasi perniagaan, strategi pemasaran dan lain-lain lagi. Gambaran yang jelas juga termasuklah, kedudukan perniagaan kita dalam tempoh 3-5 tahun akan datang.  Tulislah matlamat utama perniagaan yang ingin dicapai atas kertas, dan bahagikan matlamat kepada tiga peringkat, iaitu; matlamat jangka masa pendek (bawah 3 tahun), jangka masa sederhana (3-5 tahun) dan jangka masa panjang (5 tahun ke atas). Terdapat banyak contoh-contoh boleh diperolehi dalam buku atau pun Internet tentang cara-cara menetapkan matlamat tersebut dan strategi untuk mencapai matlamat tersebut. Misalnya, jika matlamat utama syarikat ialah untuk mencapai jualan RM700,000 dalam tahun pertama, maka sudah pastinya orang itu bersedia menyusun strategi pemasaran supaya matlamat tersebut boleh dicapai.

Kelima: Pasaran dan Pemasaran

Pasaran bermaksud barang atau perkhidmatan yang dikeluarkan mempunyai permintaan yang baik. Dalam erti kata lain, barang atau perkhidmatan tersebut laku dan sangat dikehendaki oleh pembeli. Seterusnya, seseorang itu perlu tahu tentang saiz pasaran yang ingin ditembusi, dan siapakah bakal pembelinya? Pastikan pasaran produk itu mampu menghasilkan pulangan yang dikehendaki. Justeru, perniagaan itu mestilah mampu mendapatkan sejumlah pelanggan yang ramai, dan pelanggan hendaklah tertarik untuk datang membeli lagi. Untuk meminimumkan risiko, lakukan percubaan memasarkan atau menjual barang secara skala kecil terlebih dahulu supaya dapat mengetahui impak produk itu dan reaksi daripada pelanggan untuk penambahbaikkan.

Pendapatan perniagaan datangnya daripada jumlah pelanggan yang membeli. Oleh itu, kita hendaklah memberitahu orang ramai bahawa perniagaan kita wujud di situ supaya pelanggan tahu dan mereka dapat datang untuk membeli. Kemudian, barang atau perkhidmatan perlulah mempunyai faktor tarikan pasaran yang betul-betul kuat, sehinggakan pelanggan sendiri mengesyorkannya  kepada kawan kawan- mereka. Oleh itu, berilah perhatian yang serius dalam aspek pasaran, kerana disinilah terletaknya titik hidup-mati sesuatu perniagaan, sama ada boleh hidup lama atau mati dalam jangka masa yang singkat.

Terdapat kecenderungan yang kuat pelanggan datang pertama kali setelah mereka terbaca atau memperolehi maklumat di laman web atau pengiklanan di pelbagai media sosial atau elektronik mengenai sesuatu barang. Maklumat tersebut diperolehi melalui kegiatan promosi dan pemasaran yang dilakukan oleh pengeluar-pengeluar dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah jualan mereka. Sudah pastinya pengeluar mengeluarkan perbelanjaan pemasaran dan promosi yang besar untuk memperolehi jualan yang besar juga. Usahawan hendaklah menganggap perbelanjaan promosi dan pemasaran sebagai suatu ‘pelaburan’ dan bukannya ‘perbelanjaan’ disebabkan kebolehannya mendatangkan pulangan dalam bentuk peningkatkan jualan.

Ramai usahawan yang menghabiskan masa melakukan aktiviti yang bukan mendapatkan pelanggan, terutamanya pemasaran dan promosi, tetapi lebih menumpukan masa kepada operasi lain yang tidak menghasilkan jualan. Perniagaan tidak mampu bergerak lama tanpa jumlah sasaran jualan melepasi aras titik pulang modal untuk menampung kos operasinya. Oleh itu, komitmen lebih daripada 75 peratus sangat perlu untuk aktiviti memburu pelanggan terutamanya dalam peringkat awal perniagaan.

Keenam: Sumber Kewangan

Terdapat pelbagai jenis perniagaan yang tidak memerlukan pelaburan modal yang besar seperti perunding insuran, agen jualan, perkhidmatan tuisyen di rumah, menjahit pakaian dan lain-lain. Oleh itu, pemilik perniagaan dijangkakan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi di peringkat awal lagi. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menceburkan diri sepenuh masa dalam perniagaan, modal permulaan dan perbelanjaan persendirian perlu cukup untuk menampung kehidupan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam hingga dua belas bulan atau lebih.

Bagi mengurangkan risiko bebanan hutang, seseorang yang ingin berniaga kecil-kecilan tidak perlu mendapatkan pinjaman daripada mana-mana pihak. Tambahan pula, pinjaman untuk peniaga kecil begitu sukar untuk diperolehi daripada mana-mana institusi kewangan. Bagi sektor perniagaan yang sudah tepu, agak sukar bagi pihak institusi kewangan untuk meluluskan pinjaman perniagaan. Oleh itu, kita perlu bersedia dengan sejumlah pelaburan modal permulaan sendiri di peringkat awal terlebih dahulu. Di samping itu, kerugian peringkat awal perniagaan dalam jangka masa tertentu (paling kurang 1-6 bulan pertama) perlu sedia untuk ditanggung. Justeru, sebaik-baiknya pilihlah perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar, tidak membuat pinjaman, tetapi boleh mendatangkan pulangan yang terbaik. Namun begitu, jika perniagaan sudah mula berkembang pada tahun-tahun berikutnya, dan kedudukan kewangan sudah mantap, maka pinjaman untuk mengembangkan lagi perniagaan sudah menjadi suatu keperluan. Dalam keadaan perniagaan seperti ini, barulah anda digalakkan untuk meminjam disebabkan sudah mempunyai sumber untuk membayar balik pinjaman.

Ketujuh: Pembantu Teknikal

Bantuan dan sokongan tenikal daripada kakitangan lain sangat penting untuk memastikan perniagaan seseorang itu dapat berkembang maju. Oleh itu, pemilik perlu mempunyai beberapa orang pembantu yang berkemampuan untuk mengendalikan perniagaan semasa pemilik itu pergi bercuti. Pemilik perniagaan perlu memikirkan siapakah pembantu yang mampu menggantikannya untuk memikul tugas dan tanggung jawab perniagaan kelak.  Sekiranya tiada pembantu, akan wujud satu situasi yang mana bukannya pemilik yang memiliki perniagaan tersebut, tetapi perniagaan tersebutlah yang memiliki pemiliknya. 

Suatu ketika dahulu saya selalu menghantar pakaian untuk cucian kering di sebuah loundry yang terletak di Lucky Garden Bangsar. Saya bertanya pekerja loundry berbangsa Filipina tersebut, “di mana boss awak”. Pekerja tersebut menyatakan bahawa bosnya warga Singapura dan dia datang menjenguk kedai itu hanya sebulan sekali sahaja. Bayangkan! Taukeh di Singapura, tetapi mampu menjalankan perniagaan di Bangsar dengan hanya datang sebulan sekali sahaja. Dalam satu situasi yang lain pula, seorang usahawan telah melanjutkan pelajaran selama dua tahun di New Zealand bersama dengan isteri dan anak-anaknya. Sepanjang tempoh pengajian, beliau telah melantik pengurusnya sebagai pengarah gantian kepada dirinya untuk menjalankan urusan perniagaan tersebut. Dalam kedua-dua senario di atas, walaupun pemilik perniagaan tidak mengurus syarikat mereka, namun begitu, perniagaan tersebut tetap  berjalan lancar tanpa menghadapi banyak masalah. Hal ini disebabkan mereka dapat menyerah tugas kepada pekerja-pekerja sebagai pembantu yang mampu menjalankan perniagaan seperti yang diharapkan.

Tetapi awas! Elakkan diri kita daripada dikudakan oleh perniagaan sendiri. Seorang kenalan saya yang lain menjalankan perniagaan membekalkan gas ke restoran dan kilang-kilang kecil. Sedih juga saya melihatnya menurun dan menaikkan tong-tong gas yang berat itu ke dalam lorinya. Menurutnya, pada malam hari seluruh badannya sakit-sakit sehinggakan beliau tidur pengsan disebabkan terlalu letih. Sebenarnya, seseorang itu perlu memiliki gaya hidup yang menggembirakan, mempunyai masa untuk hobi, keluarga, hiburan dan bermasyarakat. Hakikatnya, beginilah corak pengurusan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang saya lihat. Mereka tidak berupaya untuk menyerahkan tugas-tugas menjalankan perniagaan tersebut kepada orang lain. Oleh itu, pastikan terdapat seseorang yang dapat membantu sekiranya kita ingin ‘makan angin’ dan seterusnya dapat bekerja 5 jam sehari sahaja ataupun tidak bekerja langsung!

Kelapan: Sokongan Keluarga

Dorongan dan galakan daripada kaum keluarga terdekat seperti isteri atau suami dan ibu-bapa serta mertua amat diperlukan. Oleh itu, beritahu isteri atau suami, anak-anak, ibu bapa dan mertua kita tentang hasrat untuk menjalankan perniagaan sendiri supaya mendapat restu daripada mereka. Bagi kaum keluarga yang lain seperti ipar-duai, sepupu dan lain-lain juga jangan diabaikan, mereka juga boleh memberikan sesuatu pandangan yang baik dalam bidang mereka. Bagi pihak ibu-bapa dan mertua pula, doakanlah kejayaan anak menantu mereka yang ingin berniaga, dan elakkan daripada memperkecil usaha mereka. Tambahan pula, anak menantu tersebut ingin mengubah corak kehidupannya kepada sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan. Sokongan keluarga tidak akan timbul dalam perniagaan yang bercorak perniagaan keluarga, kerana mereka dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga berdinasti perniagaan. 

Orang lain hanya boleh memberikan pendapat sahaja, namun begitu, keputusan terakhir untuk menjalankan perniagaan adalah terletak di tangan kita sendiri. Pendapat orang lain hanya sesuai bagi orang itu, tetapi mungkin kurang sesuai bagi kita. Yang terbaik hanya dari Allah sahaja, mohonlah petunjuk dariNya untuk sesuatu keputusan yang anda tidak berapa pasti.

Kesembilan: Kesanggupan Bertindak

Kesanggupan bertindak bermaksud sejauh mana seseorang itu sanggup bertindak untuk merealisasikan matlamat perniagaan tersebut. Masalah boleh timbul bagi mereka yang ingin berniaga tetapi isteri pula merupakan seorang suri rumah. Adalah dikhuatiri tindakan kita berhenti kerja untuk berniaga hanya boleh bertahan dalam suatu tempuh masa sahaja, kemudian simpanan mula kering dengan cepat sekali. Oleh itu, kesanggupan kita berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan bukanlah suatu keputusan yang kecil impaknya. Fikirkan juga apakah perkara yang terburuk boleh  berlaku sekiranya kita mengalami kehilangan pendapatan dalam suatu jangkamasa yang lama.

Oleh itu, susunlah langkah dan tindakan satu persatu dan tulislah di atas kertas. Walau sebaik manapun rancangan perniagaan atau produk itu, semuanya hanyalah suatu angan-angan sekiranya tiada sebarang tindakan dibuat.  Kita perlu bertindak untuk melakukan sesuatu perkara walau sekecil mana sekalipun. Sesungguhnya, tindakan itu lebih baik daripada banyak berkata-kata.

Kesepuluh: Pelan Kecemasan

Pelan kecemasan ibarat bagaimana seorang pilot kapal terbang pejuang menginjak keluar menyelamatkan diri sebelum kapal terbangnya jatuh terhempas. Elemen yang paling penting di sini ialah bagaimana ‘menyelamatkan diri’. Risikonya ialah ‘jatuh terhempas’. Namun begitu, risiko perniagaan tidaklah sampai ke tahap usahawan itu jatuh terhempas dan mati, kecuali beliau membunuh diri. Acap kali usahawan akan menghadapi pelbagai risiko dan ketidakpastian disepanjang usaha mereka. Risiko biasa perniagaan seperti persaingan, harga dan kedapatan bahan mentah, buruh, pasaran dan lain-lain perlu dikenalpasti, kemudian baharulah dicari alternatif penyelesaiannya. Adalah penting bagi usahawan merangka rancangan alternatif untuk keluar daripada perniagaan tersebut apabila mendapatinya dalam keadaan ‘tekanan’ walaupun pelbagai upaya telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.

Antara rancangan alternatif untuk menyelamatkan perniagaan ialah bertukar kepada bidang perniagaan lain. Misalnya, daripada kedai buku dan alatulis kepada pasar mini dan alatulis; berpindah ke lokasi lain apabila pesaing yang lebih kukuh membuka perniagaannya di sebelah kedai kita; menjual perniagaan dan membuka perniagaan baharu di lokasi lain; menukar strategi perniagaan, misalnya daripada seorang pemborong menjadi seorang pengilang dan pemborong serentak dan lain-lain lagi. Namun begitu, usahawan perlulah fleksibel dalam menukar strategi perniagaan mereka jika mendapati pasaran tersebut sudah tidak lagi  menyebelahinya. Biar rugi sedikit, jangan sampai rugi banyak! 

Berikut adalah beberapa tanda-tanda yang menunjukkan bahawa sebuah perniagaan berada dalam keadaan tekanan:

  • wang simpanan peribadi anda ( ASB, Tabung Haji dan lain-lain) sudah kehabisan untuk ‘top-up’ kos operasi, pentadbiran dan pemasaran.
  • jumlah barang yang sedikit atau kurang barang.
  • jumlah pemiutang yang tinggi sehingga jualan tidak mampu untuk membayar hutang.
  • bilangan pelanggan semakin menguncup disebabkan tiada barang, kurang layanan atau mereka lari ke tempat lain.

Kesimpulan

Semoga 10 pertimbangan di atas dapat boleh dijadikan panduan membuat keputusan sama ada ingin menjalankan perniagaan atau tidak. Bukanlah hasrat artikel ini untuk tidak menggalakkan seseorang itu menjalankan perniagaan, tetapi sekurang-kurangnya memberikan suatu input dalam proses membuat keputusan yang lebih tuntas.

Similar Posts