entrepreneur

Terdapat dua kumpulan pekerja yang mahu menambah pendapatan mereka; pertama, yang mahu berhenti makan gaji dan menjadi usahawan sepenuh masa, dan kedua; tidak mahu berhenti kerja tetapi menjalankan perniagaan separuh masa. Kumpulan pertama merupakan mereka yang berani menanggung risiko dan lebih kepada dorongan lokus kawalan luaran yang tinggi. Kumpulan yang kedua pula merupakan individu yang takutkan risiko kehilangan pendapatan tetap tetapi mereka cuma ingin menambah pendapatan bagi tujuan perancangan kewangan pada masa hadapan.

Dalam Rajah 1 di bawah, pekerja yang sanggup menanggung risiko akan berhenti kerja dan menjadi usahawan sepenuh masa. Kemudian, pekerja yang tidak sanggup hilang pendapatan bulanan akan memilih untuk mengekalkan pekerjaan mereka di samping terus menikmati pendapatan tambahan melalui aktiviti perniagaan. Berdasarkan pengalaman saya selama 30 tahun dalam bidang perniagaan, berikut saya sintesiskan tahap-tahap yang berbeza jalan keusahawanan yang dilalui oleh seseorang usahawan.

Usahawan Sepenuh Masa

Pekerja yang sanggup berhenti kerja makan gaji dan menjadi usahawan sepenuh masa boleh sama ada terdiri daripada mereka yang memang betul-betul memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri ataupun mereka yang asalnya daripada usahawan de fakto ataupun usahawan sebelah kaki. Misalnya, seorang pelanggan saya telah menjalankan perniagaan perkhidmatan baikpulih dan penyelenggaraan kereta di Shah Alam. Lebih lima belas tahun lalu beliau merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat petroleum yang berpendapatan lima angka sebulan. Disebabkan minatnya terhadap kenderaan kereta-motor begitu mendalam, beliau telah berhenti daripada jawatan jurutera disebuah syarikat GLC dan memulakan perniagaan sendiri walaupun mendapat tentangan daripada keluarga. Pada masa sekarang, beliau sudah pun membuka beberapa buah cawangan baharu di tempat lain, di samping giat mengeluarkan alat ganti kereta-motor jenama sendiri dengan jayanya.

Usahawan De Fakto

Terdapat juga golongan pekerja yang takut menanggung risiko sedangkan mereka begitu asyik menambah pendapatan secara menjalankan perniagaan separuh masa. Usahawan de fakto merupakan usahawan separuh masa yang bertindak melindungi dirinya daripada peraturan dan undang-undang yang tersedia. Lantaran itu mereka menggunakan boneka yang akan mengikuti arahan dan perintah daripada usahawan de fakto. Tidak hairanlah usahawan de fakto akan berselindung atas nama isteri, ibu-bapa, saudara-mara ataupun sesiapa yang difikirnya berkemampuan untuk menjalankan perniagaan tersebut. Sebuah restoran di Bangi sangat maju dimiliki oleh seorang pegawai badan berkanun, dan dikendalikan oleh isterinya sepenuh masa. Walaupun pegawai itu tidak mampu untuk berhenti kerja makan gaji, namun begitu beliau berjaya sebagai seorang usahawan de fakto dengan menggunakan isteri sebagai penggerak utama. Oleh yang demikian, usahawan de fakto dapat menikmati keuntungan tanpa perlu membayar cukai atas namanya, bebas daripada sekatan peraturan dan undang-undang di samping liabiliti perniagaan ditanggung oleh pihak lain. Walau bagaimanapun, usahawan de fakto akan memikul segala tanggungjawab dan liabiliti seperti cukai, KWSP, SOCSO dan lain-lain yang timbul akibat daripada perniagaan itu.

Usahawan Sebelah Kaki

Usahawan sebelah kaki bermaksud seseorang itu menjalankan dua aktiviti dalam menghasilkan pendapatan; yakni, sebelah kaki pendapatan dihasilkan daripada pekerjaan makan gaji dan sebelah lagi pendapatan daripada perniagaan. Usahawan dalam kumpulan ini merupakan usahawan separuh masa yang menjalankan perniagaan pada waktu-waktu tertentu tanpa selindung-selindung. Tujuan mereka juga ialah ingin menambah pendapatan, setelah mendapat peluang-peluang tertentu yang sesuai dengan bakat dan kebolehan masing-masing.

Usahawan sebelah kaki terdiri daripada usahawan-usahawan kecil ataupun usahawan bermusim dan kebiasaanya mereka tidak semestinya menjalankan sesuatu jenis perniagaan secara tetap. Terdapat ramai daripada pekerja-pekerja sektor makan gaji menjalankan kerja sambilan sebagai ejen perunding takaful dan saham amanah, berniaga dipasar malam, pengedar produk jualan langsung dan lain-lain lagi. Lazimnya, mereka aktif menjalankan perniagaan  tersebut di sebelah petang, selepas waktu pejabat dan pada waktu cuti umum.  Usahawan sebelah kaki akan melompat status kepada usahawan sepenuh masa jika mereka mendapati pulangan daripada aktiviti perniagaan separuh masa lebih lumayan, berjiwa merdeka dan mampu memperolehi gaya hidup yang diidamkan. Saya pernah menemui seorang pensyarah Pengajian Tinggi Swasta yang menjalankan aktiviti sebagai perunding saham amanah saparuh masa. Beberapa tahun kemudian beliau nekad untuk berhenti kerja tetap dan menceburkan diri dalam bidang saham amanah sepenuh masa.

Kesimpulan

Bidang keusahawanan menawarkan pelbagai peluang kepada mereka yang berminat untuk melakukan sesuatu usaha menurut kaca mata masing-masing. Seseorang perlu berusaha keras dalam mencari rezeki, kerana tidak ada siapapun yang dapat membantu kita secara berterusan apabila ditimpa kesusahan, melainkan diri sendiri. Namun begitu, bidang ini tidak menjanjikan kekayaan dan kemewahan harta benda, kerana tidak semua usahawan itu hidup kaya-raya seperti yang ditonjolkan oleh media masa. Manusia hanya mampu berusaha sedangkan hasilnya ditentukan oleh allah jua. Dalam Al Quran surah Asy-Syura ayat 27 bermaksud:

‘Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambanya, nescaya mereka akan melampaui batas dibumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana), akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya, Ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi melihat dengan nyata’.

Similar Posts