company-anatomy

Ramai dalam kalangan usahawan memilih syarikat berhad oleh syer (terutamanya syarikat sendirian berhad) sebagai suatu bentuk organisasi perniagaan disebabkan sifat istimewa liabiliti terhad yang dimiliki oleh syarikat. Bab ini akan membincangkan konsep-konsep penting syarikat seperti penjenisan syarikat, sifat-sifat syarikat daripada sudut undang-undang, keistimewaan dan kelemahan syarikat serta kerasionalan menubuhkan syarikat. Syarikat menghendaki pematuhan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat berbanding dengan entiti perniagaan yang lain.

APAKAH SYARIKAT ?

Syarikat bermaksud syarikat yang telah diperbadankan menurut Akta Syarikat 2016 atau pun menurut mana-mana enakmen terdahulu yang berkaitan.[1] Daripada sudut definisi undang-undang, syarikat didefinisikan sebagai “orang buatan”, tidak boleh dilihat dan disentuh, dicipta di bawah undang-undang dengan sifat personaliti undang-undang yang berasingan. Kesannya, setelah diperbadankan, syarikat mempunyai personaliti undang-undang yang berasingan dengan orang-orang yang menganggotainya (penaja, pengarah, pemegang syer, pelabor, pengurus dan lain-lain).

Justeru, sebuah syarikat itu disifatkan terdiri daripada dua badan yang berasingan; iaitu syarikat itu sendiri, dan orang-orang yang mengangotainya. Dalam bahasa yang lebih mudah, syarikat digerakkan oleh suatu tubuh badan yang mempunyai dua organ, iaitu otak, dan juga panca-indera yang lain. Otak di wakili oleh lembaga pengarah yang membuat polisi dan dasar syarikat dan panca indera diwakili oleh kakitangan syarikat yang melaksanakan semua tugas dan kewajipan sebagaimana yang diarahkan bagi mencapai objektif syarikat.

Takrif Pemerbadanan 

Perbadanan bermaksud mana-mana pertubuhan korporat yang dibentuk atau diperbadankan atau wujud di Malaysia atau di luar Malaysia, termasuklah:[2]

  • mana-mana syarikat asing,
  • perkongsian libiliti terhad, dan
  • perkongsian liabiliti terhad asing,

tetapi tidak termasuk:

  • suatu pertubuhan perbadanan yang diperbadankan di Malaysia dan yang melalui notis oleh Menteri yang disiarkan dalam Warta, diisytiharkan sebagai pihak berkuasa awam atau suatu perantaraan atau agensi Kerajaan Malaysia atau mana-mana Negeri atau menjadi pertubuhan perbadanan yang tidak diperbadankan bagi maksud perdagangan;
  • mana-mana perbadanan tunggal;
  • pertubuhan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan koperasi; atau
  • kesatuan sekerja yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebagai suatu kesatuan sekerja.

FUNGSI SYARIKAT 

Fungsi umum sesebuah syarikat ialah sebagai suatu alat atau medium undang-undang bagi menjalankan aktiviti perniagaan, memegang harta, amanah atau menjalankan lain-lain aktiviti berkaitan dengan perniagaan. Syarikat tersebut wujud sebagai sebuah entiti yang berasingan daripada pemiliknya dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

SIFAT-SIFAT UTAMA SYARIKAT 

Selepas diperbadankan, suatu syarikat secara automatiknya memiliki sifat-sifat istimewa undang-undang berikut:

  • Personaliti Undang-undang yang Berasingan 

Syarikat mempunyai entiti yang berasingan dengan pengarah, para pelabur dan pengurusan syarikat.

  • Liabiliti Terhad 

Liabiliti syarikat ditanggung oleh syarikat dan bukan ahli-ahlinya;

  • Menyaman dan Disaman 

Syarikat boleh bertindak menyaman dan disaman atas namanya sendiri;

  • Warisan yang Berterusan 

Syarikat boleh diwarisi oleh kaum keluarga melalui pemindahan hak milik syer kepada waris yang masih hidup.

  • Syarikat Wujud Berterusan 

Syarikat merupakan sebuah entiti yang wujud berterusan dengan identiti tersendiri dan boleh diwarisi walaupun ahli-ahlinya sudah bertukar atau meninggal dunia.

  • Syarikat Boleh Memiliki Harta 

Harta syarikat adalah milik syarikat dan bukannya milik ahli-ahli

Ahli-ahli tidak berhak mengambil atau menjual harta-harta syarikat disebabkan oleh hak ahli-ahli hanyalah setakat mengundi dalam mesyuarat agung dan berkongsi keuntungan melalui dividen.

Prinsip entiti yang berasingan juga membolehkan syarikat memiliki harta dan harta tersebut bukanlah milik ahli-ahli. Tidak seperti perniagaan milik tunggal dan firma perkongsian, pemegang syer tidak mempunyai pemilikan atas harta-harta kepunyaan syarikat. Perubahan hak milik syarikat oleh pemegang-pemegang syer tidak akan mengubah hak milik syarikat ke atas harta-harta tersebut.

  • Syarikat Boleh Berkontrak 

Disebabkan syarikat mempunyai sifat entiti yang berasingan, maka syarikat dan ahli-ahlinya boleh berkontrak antara satu sama lain. Misalnya, syarikat boleh meminjam wang daripada ahli-ahlinya, syarikat boleh memasuki kontrak perkhidmatan (contract of service) dengan pengurusnya dan lain-lain lagi.

PERSONALITI UNDANG-UNDANG YANG BERASINGAN

Apakah implikasi undang-undang setelah semua peruntukan AS 2016 dan perturannya dipatuhi selepas suatu syarikat itu diperbadankan? Selepas suatu syarikat itu diperbadankan, maka wujudlah satu tabir yang direntang (dikenali sebagai tabir perbadanan) bagi memisahkannya dengan ahli-ahli, pegawai dan pengarah syarikat. Dalam erti kata lain, personaliti syarikat tersebut adalah berasingan sama sekali dengan personaliti orang-orang yang menubuhkannya.

Dengan wujudnya tabir perbadanan yang tidak boleh dilihat, sesiapa sahaja boleh mengadakan atau memasuki apa-apa kontrak dengan pihak syarikat. Sifat unik ini dikenali sebagai sebagai ‘personaliti perbadanan’. Keunikan sifat personaliti perbadanan ini bersandarkan kepada kewujudan suatu syarikat itu adalah bersepadu dengan pengasas, lembaga pengarah dan pemegang syer, walaupun mempunyai personaliti yang berasingan.

Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan berasal daripada kes Salomon lwn Salomon Co. Ltd.[3] yang berlaku di England lebih 100 tahun yang lampau. Tujuan doktrin tirai pemerbadanan ini dibentuk ialah untuk memastikan bahawa pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan atas liabiliti syarikat. Adalah tidak adil pelabur-pelabur yang memegang syer dalam syarikat bertanggungan atas segala hutang-piutang syarikat. Tujuan pelabur hanyalah inginkan pulangan dalam bentuk dividen atau keuntungan daripada syarikat tanpa perlu bertanggungan atas liabiliti kewangan dan risiko-risiko lain.

Tabir Pemerbadanan 

Sebaik sahaja syarikat itu diperbadankan bertarikh seperti yang dinyatakan dalam Sijil Pemerbadanan,[4] maka wujudlah suatu ‘tabir pemerbadanan’ (corporate veil) yang memisahkan syarikat dengan penaja, pengarah, pemegang syer dan sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan. Oleh itu, undang-undang memperakui bahawa sesebuah syarikat itu merupakan ‘orang yang berbeza’ daripada ahli-ahlinya dan orang-orang lain yang terlibat menguruskan syarikat itu.

Sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 merupakan sebuah badan korporat, dan:[5]

  • memliki personaliti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya; dan
  • wujud berterusan sehinggalah syarikat itu dikeluarkan daripada senarai daftar.

Tabir perbadanan ini sangat istimewa sifatnya. Kehadiran tabir ini ternyata dapat menghalang mana-mana pihak untuk mengambil tindakan ke atas orang-orang yang bertindak membelakangkan syarikat. Misalnya, seorang pemiutang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pengarah syarikat secara individu untuk mendapatkan kembali hutang-hutangnya. Hal ini disebabkan pihak yang bertanggungan atas pemiutang tersebut adalah syarikat dan bukannya pengarah-pengarah.

Konsep Liabiliti Terhad 

Liabiliti terhad merupakan suatu ciri undang-undang yang sangat istimewa bagi syarikat berhad oleh syer. Liabiliti terhad bemaksud pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan secara peribadi atas segala hutang-piutang syarikat. Liabiliti pemegang syer hanya terhad setakat jumlah syer yang diperuntukkan tetapi masih belum dibayar penuh kepada syarikat. Dalam erti kata lain, jika mana-mana pemegang syer sudah membayar penuh jumlah syer yang diperuntukkan, mereka tidak lagi mempunyai apa-apa liabiliti atas syarikat sekiranya syarikat itu digulung.

Kesan liabiliti terhad atas syarikat ialah risiko kegagalan perniagaan secara keseluruhannya dipindahkan daripada pemegang-pemegang syer kepada pemiutang-pemiutang syarikat. Kewujudan sifat liabiliti terhad ini menjadi ciri penting usahawan memilih syarikat persendirian, yakni dapat melepaskan tanggungan hutang syarikat kepada pihak lain.  

Rasional Konsep Liabiliti Terhad 

Liabiliti terhad juga dicipta oleh undang-undang bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat ekonomi seperti berikut:

Memudahkan urusan perdagangan

Liabiliti terhad dapat mempermudahkan lagi pelaburan dan aktiviti ekonomi dengan mengasingkan fungsi pelaburan dan pengurusan, iaitu dengan cara melindungi pelabur yang mempunyai syer daripada kerugian syarikat. Perlindungan pelabur sebegini rupa dapat mengurangkan kos untuk menambah modal syarikat.

Mengurangkan pengawalan

Liabiliti terhad dapat mengurangkan kehendak pemegang-pemegang syer untuk mengawal pengurusan syarikat dalam syarikat yang mereka labur. Risiko pemegang syer atas kegagalan syarikat hanya terhad atas kerugian ekuiti yang telah mereka laburkan sahaja.

Menggalakan kecekapan pasaran

Liabiliti terhad menggalakan kecairan dan kecekapan operasi pasaran sekuriti dalam kalangan syarikat tersenarai awam. Pelabur boleh membeli syer dan bertukar milik syer secara bebas dipasaran terbuka. Harga seunit syer dapat melambangkan kecekapan sesebuah syarikat, iaitu syarikat yang lemah mempunyai harga seunit syer yang rendah dan akibatnya kurang digemari oleh pelabur.

Menggalakan kepelbagaian ekuiti

Liabiliti terhad membenarkan pelabur-pelabur untuk memperolehi syer dalam beberapa buah syarikat yang lain. Pelabur tidak melibatkan diri sebagai pemegang syer syarikat dan jika prinsip liabiliti tidak terhad digunapakai (berlawanan dengan liabiliti terhad), boleh mengakibat mereka berpotensi hilang semua syer yang dilabur jika syarikat tersebut gagal dan digulung.


[1] Seksyen 2 AS 2016

[2] Seksyen 3 AS 2016

[3] [ 1897] AC 22

[4] Seksyen 17 AS 2016

[5] Seksyen 20 AS 2016

 

Similar Posts