businessidea

Dalam mitos Singapura dilanggar todak, Hang Nadim, sosok budak pintar ini telah menyelamatkan penduduk kampung yang memagari pantai untuk menghalang ikan todak yang datang menyerang.  Hang Nadim telah mencadangkan kepada raja supaya memacakkan batang pisang di sepanjang pantai agar ikan todak yang menyerang akan terlekat pada batang pisang tersebut. Dengan menggunakan sedikit kepintaran sahaja, Hang Nadim telah  menyelamatkan penduduk Singapura daripada mati dilanggar todak. Begitulah juga dalam dunia perniagaan, aspek kepintaran perlu wujud pada seseorang usahawan, supaya mereka dapat bertindak tepat pada masanya dan sesuai dengan keadaan.

Untuk memulakan projek perniagaan, seseorang usahawan akan bertemu atau terserempak dengan suatu atau beberapa peluang terlebih dahulu. Kemudian baharulah idea untuk menjalankan perniagaan datang secara spontan ataupun dirancang. Terdapat juga peluang-peluang perniagaan ditawarkan oleh pihak tertentu bersama-sama dengan idea perniagaan sekaligus. Peluang dan idea perniagaan merupakan dua elemen yang saling berkaitan antara satu sama lain dan kedua-duanya dibincangkan dalam bahagian seterusnya. 

Apakah Peluang?

Bagi orang biasa, ketiadaan kedai hardware atau pusat servis kereta di bandar tempat tinggal mereka mendatangkan masalah besar disebabkan terpaksa pergi ke tempat lain untuk mendapatkannya. Bagi seorang usahawan, masalah tersebut dilihat sebagai suatu peluang perniagaan terbaik untuk dijalankan. Menurut kamus BusinessDictionary.com, peluang merupakan suatu set keadaan yang boleh diusahakan dengan hasil yang belum pasti, memerlukan komitmen, dan terdedah kepada risiko. Sebenarnya, peluang-peluang perniagaan berada disekeliling kita, dan ia sedang menunggu sesiapa sahaja untuk mengusahakannya.

ideabisnes

Sesetengah peluang perniagaan datang daripada analisis yang teliti tentang tren pasaran dan kehendak pengguna, mungkin juga melalui sesuatu penemuan yang datang secara tiba-tiba. Misalnya, tren pakaian remaja Muslim yang sukakan gaya ringkas memilih tudung berwarna terang dan seluar yang agak ketat. Contoh lain peluang ialah penemuan tidak sengaja viagra yang telah dihasilkan oleh sekumpulan saintis British untuk merawat penyakit hipertensi dan angina pectoris. Namun begitu, ujian klinikal membuktikan bahawa viagra mempunyai kesan yang sedikit sahaja untuk merawat penyakit tersebut. Keputusan yang tidak diduga sebaliknya mendapati viagra sangat berkesan dalam merawat masalah ereksi lelaki. Pada 1996, viagra dipatenkan di USA dan dipasarkan secara besar-besaran oleh syarikat Pfizer pada 1998. Syarikat Pfizer mengambil peluang daripada penemuan viagra yang mampu mengatasi masalah ereksi kaum lelaki dengan memasarkan viagra secara besar-besaran ke seluruh dunia.

Jika anda sangat berminat untuk memulakan perniagaan, tetapi tidak tahu barang atau perkhidmatan untuk diniagakan, ikutilah sebarang perkembangan mengenai minat dan kemahiran perniagaan itu melalui majalah, rancangan televisyen, melalui blog, majalah, buku-buku, pamplet, iklan, dan dipelbagai media sosial lain. Maklumat-maklumat perniagaan dan kursus-kursus teknikal pembuatan atau perkhidmatan boleh juga diperolehi daripada institusi-institusi penyelidikan seperti MARDI, universiti-universiti tempatan, RISDA, FAMA, FELDA, MITI, SME Bank, MARA, PUNB, SIRIM, MATRADE, MOSTI, kerajaan negeri, saintis atau pakar-pakar atau sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu pengetahuan atau kemahiran dalam bidang yang ingin diterokai. Kemudahan internet mampu membantu usahawan untuk capaian pelbagai maklumat berguna sebagai rujukan bernilai, jaringan perniagaan dan sisi penambahan ilmu berniaga.

Terdapat empat elemen dalam peluang perniagaan atau dalam ringkasan dalam Bahasa Inggeris  bizopp, iaitu:

  • wujudnya keperluan;
  • alat untuk memenuhi keperluan;
  • kaedah yang digunakan ke atas alat-alat bagi memenuhi keperluan; dan
  • kaedah bagi menfaatkan alat.

Jika salah satu elemen di atas hilang, maka peluang perniagaan akan terus dibangunkan dengan mencari elemen yang hilang tadi. Semakin unik kombinasi elemen-elemen di atas, maka semakin uniklah peluang perniagaan tersebut. Seandainya terdapat pelbagai kawalan atau sekatan ke atas elemen-elemen tersebut, maka semakin baguslah keadaan untuk mengeksploit peluang perniagaan. Namun begitu, peluang perniagaan yang ditawarkan sering diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawap, disebabkan oleh unsur-unsur penipuan dan keuntungan atas angin. Mereka akan mengemukakan dokumen-dokumen palsu pada usahawan atas nama peluang perniagaan lumayan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan segera.

Apakah Idea?

Bermula daripada peluanglah maka tercetusnya idea-idea perniagaan untuk menukarkannya dalam bentuk realiti sebenar. Idea ialah pemikiran ataupun suatu kumpulan pemikiran yang dihasilkan oleh minda. Idea akan bergabung dengan ilmu dan kemahiran sesorang usahawan untuk membentuk suatu perniagaan yang boleh dilaksanakan. Usahawan perlu memiliki daya kreativiti yang tinggi untuk mencipta, mengolah, meniru, mengubahsuai dan memproses supaya dapat menjelmakan idea kesuatu bentuk produk atau pun perkhidmatan terbaharu. Idea juga mempunyai hubung kait dengan harta intelek yang bernilai jika mendaftarkannya dalam bentuk paten, hakcipta, desain industri, cap dagang, indikasi geografi dan desain tata atur. Kemudian, daripada idea perniagaan baharulah ujian penilaian daya maju projek dijalankan untuk mengetahui status keberuntungan dan risiko projek sebelum mengambil keputusan sama ada mengambil atau menolaknya.

money

Usahawan yang Berjaya Menggunakan Peluang dan Idea

Antara yang berjaya adalah:

Habib Jewel

Dalam dunia perniagaan, Tuan Haji Habib Mohamed telah memulakan aktiviti membeli barang kemas di kedai-kedai pajak gadai dan menyelenggara semula barang-barang kemas tersebut supaya kelihatan cantik sebelum menjualkannya kepada pihak lain. Kemudian, Tuan Haji Habib Mohamed telah memulakan perniagaan barang kemas di Lebuh Pit Pulau Pinang dalam tahun 1958 secara kecil-kecilan, dan kini telah berkembang pesat dengan mempunyai 20 cawangan di seluruh Malaysia.

Ramly Burgher

Dalam tahun 1970 an, Ramli Mokni bekerja sebagai seorang pemotong daging di sebuah pasar raya, dan sejak itu timbul dalam fikirannya untuk membekalkan daging sejuk-beku halal kepada umat Islam. Menyedari peluang ini, beliau telah memulakan usaha membekal daging burger dan sosej halal pertama di Malaysia pada tahun 1979. Pada tahun 1984 Ramly Food Processing Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk membekalkan aneka produk berasaskan daging dan sos yang bersih, halal dan berkualiti kepada pengguna.

Air Asia

Tony Fernandez, pemilik dan pengasas syarikat penerbangan Air Asia telah memulakan perniagaan pengangkutan tambang murah bersama-sama dengan rakannya pada tahun 2001 dengan mengambil alih syarikat tersebut daripada DRB Hicom Berhad. Semasa mengambil alih Air Asia, Tony dan rakan-rakannya terpaksa membayar hutang tertunggak RM20 juta kepada beberapa pihak pemiutang. Mereka bernasib baik disebabkan terdapat baki kontrak dua tahun lagi dengan Tabung Haji untuk mengangkut jemaah Tabung Haji ke Tanah Suci Mekah, dan selepas itu berjaya melangsaikan hutang mereka. Dalam tempuh enam tahun beroperasi, Air Asia berjaya menambah kaki tangan mereka daripada 200 orang kepada 5,000 orang, dan daripada 2 buah pesawat kepada 65 buah pesawat. Tony Fernandez melihat peluang perniagaan penerbangan tambang murah semasa beliau belajar di England dahulu, dan beliau dapat merealisasikan idea ini dengan tertubuhnya Air Asia. 

Sani Express

Sani Express merupakan sebuah syarikat pengangkutan bas ekpres ditubuhkan pada 2003, merupakan suatu perniagaan yang paling berjaya di Malaysia. Pemiliknya, Wan Muhammad Sani yang merupakan bekas seorang model dan pelakon mampu bersaing dengan beberapa syarikat gergasi bas ekspres lain. Pada peringkat permulaan, perniagaannya hampir ditutup disebabkan rakan kongsinya telah menarik diri. Selang tiga tahun beroperasi, bas Sani Express mula muncul rancak dijalan raya dan kakitangan syarikat telah meningkat daripada seorang kepada 150 orang.  Berbekalkan pengalamannya sebagai seorang pengguna bas ekspres ke pantai timur, beliau menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang mampu memenuhi permintaan pengguna. Kini perniagaan Sani telah berkembang pesat, mempunyai empayar perniagaan dalam bidang pengangkutan darat, laut dan juga perhotelan.  

Kisah Mee Kolok

Seorang anak saudara mempelawa saya makan mi kolok di sebuah gerai yang terletak di Johor Baharu. Menurut beliau, mee kolok di situ sedap dan ramai orang datang makan di situ. Saya memberitahu anak saudara bahawa saya pernah makan mee kolok, tetapi di Sarawak. Beliau maklumkan kepada saya bahawa taukeh mi kolok tersebut berasal dari Sarawak, dia berkahwin dan menetap di Johor Baharu. Kemudian, beliau membuka perniagaan mi kolok di situ. Daripada kisah-kisah bisnes Habib Jewel, Ramly Burger, Air Asia, Sani Express dan mee kolok di atas, dapat disimpulkan bahawa mereka bermula setelah berjaya melihat ‘peluang’ perniagaan yang terbuka luas, kemudian barulah idea datang untuk menjalankannya, dan seterusnya menukar idea-idea tersebut kepada  suatu perniagaan yang sangat berdaya maju.

Kesimpulan

Daripada kisah-kisah ringkas usahawan yang dipaparkan di atas, terdapat beberapa aspek kepintaran asas yang perlu dikuasai oleh seseorang usahawan dalam perjalanan ke puncak perniagaan. Kepintaran mencari peluang yang mencetuskan idea, disokong pula oleh ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh usahawan merupakan pra-syarat business start-up. Kemudian, minat akan datang dengan sendiri disebabkan oleh penjelmaan idea perniagaan dalam minda yang turut dibantu oleh ilmu dan kemahiran usahawan itu. Aspek-aspek asas kepintaran seorang usahawan bukanlah bermaksud beliau perlu memiliki kelayakan ijazah university terlebih dahulu, tetapi lebih kepada aspek kepintaran asas yang lazimnya diperlukan oleh seseorang usahawan. Antara aspek-aspek kepintaran asas yang perlu dikuasai oleh usahawan ialah seperti berikut:

  • Kepintaran Mencari Peluang dan Idea Perniagaan
  • Kepintaran Mendapatkan Pembiayaan
  • Kepintaran Menembusi Pasaran
  • Kepintaran Mengembangkan Perniagaan
  • Kepintaran Melestarikan Perniagaan
  • Kepintaran Membuat Keputusan
  • Kepintaran Mencapai Kebebasan Kewangan

@ Hakcipta Kama Godin 2018

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau  cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada penulis.

Sebarang pertanyaan sila hubungi TaxZakat Wasap Group:  TAX ZAKAT SUPPORT GROUP

Similar Posts