director1

Pengarah merupakan angggota penting yang memainkan peranan sebagai ‘otak’ dalam sesuatu syarikat. Namun begitu, tafsiran pengarah daripada aspek undang-undang sangat kurang difahami oleh orang biasa, hatta dalam kalangan usahawan sendiri. Objektif utama artikel ini ialah untuk memberi kefahaman dan pencerahan aspek definisi pengarah daripada sudut statut dan juga undang-undang lazim agar pembaca dapat membezakan kategori pengarah ini dengan lebih baik.  Artikel ini membincangkan tiga kategori pengarah, iaitu:

  • pengarah de jure
  • pengarah de facto, dan
  • pengarah bayangan

Definisi Pengarah

Pada umumnya, definisi dan pengkelasan pengarah tidak beberapa difahami oleh ramai orang hatta dalam kalangan pengamal undang-undang sekalipun. Hal ini dinyatakan dalam kes Re Hydrodam (Corby) Ltd.[1], yang mana para hakim mengkritik pihak peguam bela disebabkan gagal untuk membezakan dengan jelas antara pengarah de fakto dengan pengarah bayangan.

Kemudian, dalam kes Secretary of State for Trade and Industry lwn Deverell and Another[2] Roger Cooke J telah menolak dakwaan peguam bela Secretary of State For Trade and Industry (SSTI) dan memutuskan bahawa Deverell dan Hopkins bukanlah pengarah bayangan syarikat seperti yang didakwa. Dalam rayuan SSTI, Morritt LJ menyatakan bahawa Roger Cooke J telah khilaf dalam keputusannya disebabkan gagal untuk mengukur aspek-aspek penting yang dapat mengaitkan bahawa mereka berdua merupakan pengarah bayangan.

Dalam suatu kes lain, Ravichanthiran a/l Ganesan lwn Percetakan Wawasan Maju Sdn. Bhd. & Ors.[3] yang mana pihak plaintif merupakan seorang pengamal undang-undang mendakwa pihak defendan kedua merupakan seorang pengarah de fakto defendan pertama. Namun begitu, plaintif gagal mengemukakan sebarang keterangan kepada Mahkamah untuk membuktikan defendan kedua telah memainkan peranan mengawal atau mengarah dalam urusan perniagaan defendan pertama. Mahkamah memutuskan bahawa hanya sekadar mempengerusikan mesyuarat pertama syarikat, tidaklah boleh mensabitkan defendan kedua sebagai seorang pengarah de fakto.

Pengertian Pengarah Yang Lebih Luas

Untuk memahami maksud pengarah dengan lebih tuntas, perkataan ‘pengarah’ perlu dihuraikan menurut  definisi dan undang-undang lazim. Perkataan pengarah berasal daripada Bahasa Latin, iaitu di-rec-to. Definisi undang-undang pengarah syarikat bermaksud:

  • seseorang yang mengendalikan urusan sesebuah syarikat;[4]
  • seseorang yang dilantik atau dipilih untuk menduduki jawatan lembaga pengarah yang mengurus perjalanan sesebuah perbadanan atau syarikat secara melantik dan melaksanakan kawalan ke atas pegawai-pegawainya;[5] dan
  • seseorang ahli lembaga yang mengurus perjalanan sesebuah syarikat.[6]

Menurut statut, s. 2 AS 2016 mendefinisikan pengarah sebagai:

‘pengarah termasuklah mana-mana orang yang menduduki kedudukan pengarah perbadanan melalui apa-apa nama yang dipanggil dan termasuklah seseorang mengikut mana-mana arahan atau perintahnya majoriti pengarah-pengarah  perbadanan tersebut lazimnya bertindak dan pengarah silih ganti atau pengarah ganti.’   

Untuk memahami maksud definisi pengarah yang begitu kompleks ini, Jawatankuasa Kajian Semula Undang-undang Syarikat[7] telah menggariskan lima pengkelasan berdasarkan definisi di atas seperti berikut:

  • seseorang yang sah dilantik sebagai pengarah menurut undang-undang dan perlantikan pengarah tersebut masih berkuakuasa;
  • seseorang yang sah dilantik sebagai pengarah gilir atau ganti;
  • seseorang yang telah dilantik sebagai pengarah tetapi perlantikan tersebut terbatal atas sebab-sebab tertentu;
  • seseorang yang tidak pernah dilantik sebagai pengarah tetapi menduduki jawatan sebagai pengarah yang sah dilantik;
  • seseorang yang mengikut arahan atau perintah pengarah-pengarah perbadanan tersebut lazimnya bertindak.

Berdasarkan lima pengkelasan di atas, pengarah boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori utama; iaitu, pengarah de jure, pengarah de fakto dan pengarah bayangan. Kategori (a) dan (b) di atas adalah dimaksudkan bagi pengarah eksekutif, pengarah non-eksekutif dan pengarah gilir atau ganti, yakni mewakili kategori pengarah de jure.  Untuk dilantik sebagai  pengarah dalam kategori ini, seseorang itu mestilah memenuhi empat syarat seperti yang dinyatakan dalam statut, iaitu:

  • orang itu bersetuju untuk dilantik sebagai pengarah,[8]
  • orang biasa berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, dan[9]
  • bukannya seorang yang telah batal kelayakan pengarah.[10]

Kategori (c) dan (d) pula adalah bagi maksud  pengarah de fakto. Secara teknikalnya, kewujudan pengarah de fakto adalah disebabkan oleh seseorang itu sama ada tidak membuat serah-simpan akuan berkanun atau tidak memberi keizinan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat.[11]

Kategori (e) pula ialah maksud bagi pengarah bayangan. Seseorang itu dikatakan pengarah bayangan jika majoriti lembaga pengarah lazimnya mengikuti arahan atau perintahnya. Pengarah bayangan itu tidak wujud sekiranya arahan itu lazimnya diikuti oleh seorang pengarah sahaja.[12] Untuk memahami maksud pengarah bayangan dengan lebih jelas dalam seksyen 2, perkataan ‘majoriti pengarah-pengarah’ telah dimasukkan oleh Jawatankuasa Kajian Semula Undang-undang Syarikat (2006).

Kesimpulan

Pindaan definisi pengarah ini telah memberikan suatu pengertian pengarah bayangan dengan lebih jelas, yang mana majoriti pengarah-pengarah mestilah mengikuti arahan atau perintah seseorang itu. Hal ini bermaksud, rangkaikata ‘lazimnya bertindak’ mestilah majoriti pengarah mematuhi arahan atau perintah daripada orang tersebut. Pendefinisian semula dibuat bertujuan supaya seseorang yang memberikan arahan dan perintah daripada luar tidak boleh melepaskan diri begitu sahaja. Malahan, undang-undang mengiktiraf mereka sebagai pengarah dan turut bersesama bertanggungan seperti yang ditetapkan di bawah Akta.

Definisi pengarah bayangan adalah terpakai sama ada seseorang itu individu ataupun badan korporat. Namun begitu, terdapat dua kekecualian dalam penggunaan definisi pengarah bayangan. Pertama, seseorang itu tidak dianggap seorang pengarah bayangan sesebuah syarikat hanya jika pengarah-pengarah bertindak atas nasihat yang diberikan olehnya dalam kapasiti profesional.[13] Pengecualian kedua terpakai pada syarikat induk, iaitu jika syarikat yang dimaksudkan adalah  syarikat induk, kemungkinan syarikat induk itu bertindak sebagai pengarah bayangan terhadap syarikat subsidiarinya.

Artikel di atas dipetik dan diterjemahkan daripada kertas projek saya untuk program Master of Business Laws, Fakulti Undang-undang UKM bertajuk “De Facto Director: Issues on Definitions and its Significance” yang tidak diterbitkan.

Nota kaki:

[1] [1994]2 BCLC 180, [1994] BCC 161

[2] [2001] Ch 340

[3] [2008] 8 MLJ 450

[4] J E Penner, Mozley & Whiteley’s, Law Dictionary 12th Edition (2001).

[5] Bryan A. Garner (editor), Black’s Law Dictionary (1999), 7th edition, West Group, hlm 472.

[6] Malaysian Law Dictionary (2007), Gavel Publications, hlm. 260.

[7] Company Law Revamp Committee 2006

[8] Seksyen 201 AS 2016

[9] Seksyen 196(2) AS 2016

[10] Seksyen 198 AS 2016

[11] Aiman Nariman Mohd. Sulaiman, Directors’ Duties and Corporate Governance (2001)

[12] Ibid.

[13] Seksyen 2(2) AS 2016

Similar Posts