shadow-director

Menurut definisi undang-undang, pengarah bayangan bermaksud seseorang yang tidak dilantik menganggotai lembaga pengarah sesebuah syarikat. Namun begitu, dia dianggap pengarah disebabkan para pengarah syarikat yang dilantik itu mengikuti  arahan dan perintahnya[1] atau seseorang menurut sesuatu arahan atau suruhan pengarah-pengarah sesebuah syarikat lazimnya bertindak.[2] Konsep pengarah bayangan acapkali digunakan sebagai suatu wahana untuk mengenakan liabiliti terhadap seseorang yang bukannya pengarah, tetapi orang itu mempengaruhi pengurusan sesebuah syarikat.[3] Dalam hal ini, sudah pasti pengarah bayangan mempengaruhi pengurusan syarikat bagi kepentingan peribadinya dan bukan untuk kepentingan syarikat.

Maksud Majoriti Pengarah

Akta Syarikat 2016 telah meminda definisi pengarah dengan memasukkan rangkai kata ‘majoriti para pengarah’ yang mensyaratkan keperluan hanya majoriti para pengarah bertindak menurut arahan atau suruhan tersebut.  Dalam erti kata lain, jika kurang daripada lima puluh peratus pengarah yang bertindak menurut arahan atau suruhan, maka arahan dan suruhan pengarah bayangan itu tidak perlu dipatuhi. Walau bagaimanapun, United Kingdom dan Australia mempunyai definisi pengarah bayangan yang berasingan seperti berikut:

United Kingdom:[4]

“shadows directors are persons in accordance with whose instructions the directors are accustomed to act, excluding purely professional advice”

Australia:[5]

“the person: in accordance with whose instructions or wishes the directors of the corporation are accustomed to act (excluding advice given by the person in the proper performance of functions attaching to the person’s professional capacity or their business relationship with the directors or the corporation)” 

Definisi pengarah bayangan di UK dan Australia digabungkan dengan elemen pengecualian ‘nasihat profesional’, manakala di Malaysia pula elemen tersebut dinyatakan melalui seksyen 2(2) Akta seperti berikut:

“Seseorang tidaklah dikira sebagai seorang yang mengikut arahan atau petunjuk yang pengarah sesuatu syarikat lazimnya bertindak hanya oleh sebab pengarah itu bertindak atas nasihat yang diberikan olehnya atas sifat profesionalnya.”

Oleh itu, seorang penasihat profesional seperti akauntan dan peguamcara yang bertindak atas sebab khidmat nasihat mereka itu bukanlah dianggap sebagai pengarah bayangan.[6]

Kes Undang-undang Pengarah Bayangan

Untuk memahami konsep pengarah bayangan, kes-kes seperti Secretary of State for Trade and Industry lwn Daverell,[7] Standard Chartered of Australia lwn Antico dan Omega Holdings Berhad lwn Dato’ Tiah Thee Kian & Others[8] dapat memberikan gambaran yang lebih jelas.

Dalam kes Secretary of State for Trade and Industry lwn Daverell, Mahkamah menyatakan bahawa konsep ‘arahan’ atau ‘suruhan’ dalam definisi pengarah bayangan tidak mengecualikan konsep memberikan nasihat. Tambahan pula, Mahkamah mendapati Daverell dan Hopkins sebagai penasihat atau perunding syarikat dan  merupakan orang yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan pengembaraan. Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa mereka adalah pengarah bayangan.

Syarikat induk juga boleh dianggap sebagai pengarah bayangan kepada syarikat subsidiari seperti dalam kes Standard Chartered of Australia lwn Antico.[9] Dalam kes ini, Mahkamah memutuskan bahawa syarikat induk merupakan pengarah bayangan kepada syarikat subsidiarinya. Hal ini disebabkan oleh had sebenar kawalan yang dilakukan ke atas para pengarah subsidiari; dan penerimaan kawalan sepenuhnya oleh pengarah subsidiari.

Dalam kes  Dato’ Tiah, beliau mengawal 90 peratus daripada syer dalam Omega dan merupakan bekas pengarah syarikat tersebut. Defendan terlibat dalam konspirasi dan pecah amanah sebagai ‘constructive trustee’ sehingga menyebabkan Omega Securities dalam kekalutan dan akibatnya lesen pembrokeran saham syarikat dibatalkan. Mahkamah memutuskan bahawa Dato’ Tiah merupakan seorang pengarah bayangan berdasarkan defendan kedua hingga kelima lazimnya bertindak menurut arahan dan suruhan daripada Dato’ Tiah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, untuk menentukan sama ada seseorang itu pengarah bayangan atau tidak, beberapa petunjuk berikut boleh dikenalpasti berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah:[10]   

  • menjadi seorang penandatangan akaun syarikat dan/ atau menghadiri temuduga dengan pihak berkuasa bank;
  • perintah oleh seseorang berkaitan dengan barangan dan/ atau perkhidmatan untuk syarikat;
  • menandatangani kontrak dan atau surat-surat atas kapasiti seorang pengarah;
  • menghadiri mesyuarat lembaga pengarah; dan
  • memiliki maklumat terperinci mengenai syarikat

[Artikel di atas merupakan sebahagian daripada terjemahan kertas projek peyelidikan Master of Business Laws saya berjudul ‘De Facto Director: Issues on Definitions and Its Significance’ di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2008]

Click here for: The concise definition and explanation pertaining to shadow director:


Nota kaki:

[1] Australian Legal Dictionary., op., cit., hlm 1076

[2] L.B. Curzon, op. cit., hlm 132

[3] Noonan, C. and Watson, S., Journal of Business Law, 2006, hlm 10

[4] S. 741(2) CA 1985 UK

[5] S. 9(b)(iii) CA 2001 Australia

[6] Keenan, D. Company Law , 12th edition, 2002,hlm 289

[7] supra.

[8] [2002] 6 MLJ 20

[9] [1995] 13 ACLC 1, 381

[10] Keenan, D., op. cit., hlm 290

Similar Posts