meeting-de-facto

De fakto adalah dalam Bahasa Latin bermaksud ‘sebenarnya’ atau ‘secara amalannya’. L. B Curzon menyatakan de fakto bermaksud ‘sebenarnya’ atau ‘hakikatnya’.[1] Menurut Australian Legal Dictionary,[2] pengarah de fakto adalah seseorang yang mengawal seseorang ahli lembaga pengarah, contohnya, melaksanakan darjah kawalan yang tinggi ke atas seseorang pengarah nomini di mana nomini tersebut hanyalah bertindak sebagai patung.

Pengertian Pengarah De Fakto

Dalam kes Secretary of State for Trade and Industry lwn Laing and others[3], Mr. Blackwell tidak pernah dilantik sebagai pengarah syarikat responden. Secretary of State mendakwa Mr. Blackwell adalah seorang pengarah bayangan memandangkan penglibatannya seolah-olah beliau adalah sebahagian daripada pengarah syarikat, dan beranggapan pengarah de jure lazimnya bertindak menurut arahan Mr. Blackwell. Walau bagaimanapun, Secretary of State gagal mengemukakan di Mahkamah sebarang beban bukti atas Mr. Blackwell untuk mengaitkan beliau bertanggungjawab memberi arahan yang lazimnya diikuti oleh Mr. Laing. Mr. Blackwell juga pernah menandatangani suatu kontrak secara rasmi bagi pihak syarikat responden. Pihak Secretary of State pada masa yang sama telah mendakwa Mr. Blackwell sebagai seorang pengarah de fakto syarikat responden, namum begitu, Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Mr. Blackwell hanya menandatangani kontrak tersebut yang mana hal ini tidak cukup untuk mengaitkan beliau sebagai seorang pengarah de fakto.

defacto-director

Berdasarkan kes-kes yang dibincangkan, terdapat empat kriteria bagaimana seseorang itu boleh disabitkan oleh Mahkamah sebagai seorang pengarah de fakto, iaitu:

  • berlaku kesilapan semasa perlantikan pengarah;
  • seseorang yang telah dibatalkan kelayakan pengarah;
  • seseorang yang telah meletakkan jawatan pengarah tetapi terus bertindak sebagai seorang pengarah; dan
  • seseorang yang tidak dilantik sebagai pengarah tetapi bertindak berterusan sebagai pengawal syarikat.
Kes Undang-undang

Perkin lwn Vinney[4] dan Corporate Affair Commission v Drysdale[5] merupakan dua kes yang telah mensabitkan seseorang sebagai pengarah de fakto disebabkan oleh kesilapan teknikal semasa proses perlantikan pengarah. Dalam kes Perkin lwn Vinney, Mahkamah memutuskan bahawa defendan merupakan seorang pengarah walaupun beliau menegaskan bahawa berlaku kesilapan dalam perlantikan tersebut disebabkan beliau tidak menandatangani persetujuan untuk dilantik sebagai pengarah. Mahkamah mendapati defendan telah bertugas sebagai pengerusi lembaga pengarah, menandatangani minit-minit mesyuarat pengarah, memberi arahan kepada peguamcara dan terlibat dalam urusan kewangan bagi pihak syarikat. Sebaliknya, defendan telah menyembunyikan kedudukannya sebagai pengarah dalam pelbagai notis-notis yang diserahsimpan ke Australian Securities and Investment Commission.

Dalam kes Corporate Affair Commission pula, Drysdale telah dilantik sebagai seorang pengarah untuk mengisi kekosongan dalam keanggotaan lembaga pengarah. Artikel syarikat mensyaratkan bahawa pengarah hanya memegang jawatan sehingga mesyuarat agung tahun hadapan dan dibenarkan memegang jawatan semula sekiranya terpilih. Pemilihan semula Drysdale sebagai ahli lembaga pengarah telah tidak dibuat (terlepas pandang) dalam mesyuarat agung tersebut. Walaupun menyedarinya, Drysdale terus menyertai pengurusan syarikat dan Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa walaupun didapati berlaku kesilapan dalam perlantikan pengarah, Drysdale dianggap sebagai seorang pengarah syarikat dan perlu mematuhi kewajipan fidusiari dan statutori pengarah.

Pengarah de fakto juga boleh berpunca daripada seseorang yang sudah batal kelayakannya, yakni bankrap atau telah dibatalkan kelayakan mereka oleh mahkamah tetapi masih memegang jawatan sebagai seorang pengarah. Catellano v Inspector General in Bankruptcy[6] dan Inland Revenue Commissioner lwn McEntaggard[7] merupakan dua contoh kes pengarah-pengarah yang bankrap tetapi masih meneruskan perniagaan mereka tanpa kebenaran atau perlepasan daripada Mahkamah. Walaupun sudah bankrap, Castellano masih menandatangani jaminan membekalkan barang-barang kepada syarikat dan menguruskan syarikatnya tanpa kebenaran berbuat demikian. Oleh itu, Mahkamah memutuskan si bankrap telah bertindak sebagai seorang pengarah de fakto syarikat.

Dalam kes McEntaggard pula, walaupun merupakan seorang yang bankrap, beliau telah melibatkan diri dalam semua aspek pengurusan perniagaan termasuklah menandatangani cek-cek syarikat disepanjang tempoh bankrupsi. Dalam penghakimannya, Patten J menegaskan:

 ‘… saya katakan bahawa, disebabkan isu sebenar sama ada disepanjang tempoh tersebut, saya dapat mengenalpasti bahawa defendan pertama merupakan seorang pengarah de fakto kepada syarikat’.  

Kesimpulan

Terdapat juga kes-kes yang mana seseorang itu telah meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat, namun begitu, beliau terus bertindak sebagai pengarah syarikat, terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan pengurusan dan kewangan syarikat. Situasi sedemikian dapat digambarkan melalui kes-kes seperti Deputy Commissioner of Taxation lwn Austin[8] dan Chaudry lwn Customs & Exercise Commission.[9] Dalam kes Austin, responden telah meletakkan jawatan sebagai seorang pengarah, namun begitu beliau terus aktif berurusan dengan pihak pemiutang syarikat dan Timbalan Pesuruhjaya Percukaian. Disebabkan urusan itu merupakan tanggungjawab yang dilakukan oleh seorang pengarah kanan, maka Mahkamah memutuskan bahawa Austin merupakan seorang pengarah de fakto syarikat.

Dalam kes Chaudry pula, perayu telah meletakkan jawatannya sebagai pengarah syarikat. Namun begitu, beliau telah meneruskan tanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan akaun, simpan kira, mengeluarkan invois dan value added tax (VAT) pada masa-masa tertentu. Disebabkan penglibatannya yang berterusan dalam syarikat, Mahkamah memutuskan bahawa Chaudry merupakan seorang pengarah de fakto syarikat.               

Dalam situasi lain, orang itu telah tidak dilantik sebagai pengarah syarikat. Walaupun begitu, beliau telah bertindak sebagai pengawal syarikat dan tindakannya boleh dianggap bahawa dia merupakan seorang  pengarah de fakto syarikat. Hal ini dapat digambarkan melalui kes-kes seperti Mistmorn Pty Ltd lwn. Yaseen[10] dan The Arena Corporation Limited lwn. Schroeder.[11] Dalam kes Yaseen, Mahkamah Persekutuan Australia memutuskan bahawa walaupun Yaseen tidak dilantik dengan rasmi sebagai seorang pengarah syarikat keluarganya, penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti syarikat amat ketara. Hal ini berdasarkan beliau adalah penggerak utama perniagaannya dan bukan hanya bertindak sebagai seorang perunding.

Dalam kes Arena Corporation Limited, plaintif telah merancang untuk menipu melalui Arena sebuah syarikat yang diperbadankan di Isle of Man. Pengarah Arena merupakan sebuah firma perkhidmatan korporat dan Mr. Shchroeder bukanlah seorang pengarah de jure Arena. Pihak Kastam dan Eksais menuduh Mr. Shchroeder sebagai seorang pengarah de fakto lantaran pengaruh kawalannya ke atas urusan-urusan syarikat tersebut. Mahkamah memutuskan Arena Corporation Limited berada di bawah arahan pengarah de fakto dan defendan (Mr. Schroeder) merupakan pihak yang dikenali oleh Kastam dan Eksais sebagai orang yang telah melakukan penipuan.    

[Artikel di atas dipetik dan diterjemahkan daripada kertas projek Master of Business Laws saya yang bejudul “De Facto Director: Issues on Definitions and its Significance” di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2008]


Nota kaki:

[1] supra, hlm 122.

[2] supra, hlm 321.

[3] [1996] 2 BCLC 324

[4] [2001] SASC 362

[5] [1978] 22 ALR 161

[6] [1998] 51 ALD 254

[7] [2004] EWHC 3431

[8] [1998] 16 ACLC 1, 555

[9] [2007]EWHC 1895

[10] [1996] 14 ACLC

[11] [2003] EWHC 661

Similar Posts