de-jure1

dejure_defacto

Untuk memahami klasifikasi pengarah dengan lebih mendalam, beberapa kes utama undang-undang lazim akan dirujuk bagi menerangkan maksud pengarah de jure, pengarah de fakto dan pengarah bayangan. Dalam kes Re Hydrodam (Corby) Ltd.[1] Millett J telah memberikan perbezaan dalam aspek definisi pengarah de jure, de fakto dan bayangan.  Berdasarkan kes tersebut, Millett J telah mengkelaskan pengarah kepada tiga kumpulan, iaitu; pengarah de jure, pengarah de fakto dan pengarah bayangan. Bahagian seterusnya akan membincangkan ketiga-tiga kelas pengarah daripada sudut definisi dan juga undang-undang lazim yang berkaitan. Pengklasan pengarah menurut undang-undang lazim perlu difahami disebabkan ia melibatkan tanggungan sebenar seseorang itu sama ada dalam atau di luar syarikat menurut undang-undang syarikat.

Pengarah De Jure

Dalam kamus undang-undang yang dirujuk, de jure bermaksud hak atau hak sah disisi undang-undang,[2] menurut undang-undang[3] ataupun wujud secara hak atau menurut undang-undang.[4] Dalam kes Re Hydrodam (Corby) Ltd. Millet J menyatakan bahawa pengarah de jure adalah mereka yang sah dilantik ke jawatan tersebut. Mayson, et. al. menjelaskan bahawa seseorang itu dikelaskan sebagai pengarah de jure sesebuah syarikat jika:[5]

  • orang itu telah sah dilantik sebagai pengarah menurut undang-undang yang berkuatkuasa;
  • orang itu bersetuju untuk dilantik sebagai pengarah syarikat;
  • orang itu tidak batal kelayakannya daripada dilantik menduduki jawatan pengarah syarikat; dan
  • orang itu tidak mengosongkan jawatannya sebagai pengarah syarikat.

Daripada penjelasan Mayson, et. al. di atas, lazimnya, pengarah de jure adalah seseorang yang dilantik sama ada menurut Akta ataupun perlembagaan. Dalam kes Datuk Sahar bin Arpan lwn Public Prosecutor,[6] Low Hop Bing JCA menegaskan bahawa Luwe Sang Kau adalah pengarah de jure kepada Ivory Height Sdn. Bhd. disebabkan beliau lazimnya bertindak mengikut perintah dan arahan perayu. Namun begitu, dalam Re The Peace Insurance Co Ltd[7] pihak Hakim memutuskan bahawa tindakan pengarah de fakto yang mengakibatkan syarikat dalam kerugian boleh menyebabkan mereka bertanggungan sama seperti pengarah de jure.

Kesimpulan

Pengarah de jure adalah dalam kategori pengarah yang dilantik secara sah dan sempurna menurut Akta. Daripada sudut amalan kesetiausahaan syarikat, pengarah de jure dikehendaki dinamakan semasa permohonan untuk pemerbadanan syarikat[8] dan beliau hendaklah memberikan persetujuan secara bertulis atas perlantikkannya sebagai pengarah.[9] Seterusnya, perlantikan pengarah de jure selepas pemerbadanan syarikat hendaklah dibuat melalui kelulusan suatu resolusi biasa.[10] Tertakluk kepada perlembagaan, Lembaga Pengarah boleh melantik seorang pengarah pada bila-bila masa sebagai tambahan kepada para pengarah yang sedia ada, dan hendaklah memegang jawatan itu:[11]

  • bagi syarikat awam ~ sehingga mesyuarat agung yang akan datang; atau
  • bagi syarikat persendirian ~ mengikut terma perlantikannya.

Dalam keadaan biasa, pengarah de jure dipanggil dengan apa-apa gelaran seperti Pengerusi Eksekutif, Pengarah Eksekutif, Pengarah non-Eksekutif, Pengarah Gantian, Pengarah Nomini, Pengarah Bebas dan sebagainya. Walau apapun gelaran yang diberikan terhadap seseorang pengarah, perlantikannya sebagai pengarah hendaklah sah menurut Akta dan jawatan yang dipegang itu masih berkuatkuasa.

Artikel di atas adalah terjemahan sebahagian daripada kertas projek Master of Business Laws saya bertajuk “De Facto Director: Issues on Definitions and Its Significance”, di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nota kaki:

[1] supra., hlm. 2-3

[2] L.B. Curzon, Law Dictionary 2003, hlm 124.

[3] Australian Legal Dictionary 1997, Butterworth, hlm 322.

[4] Black’s Law Dictionary, 18th Ed., Garner,  hlm 458.

[5] Mayson, et. al., Company Law, 2003, hlm 457

[6] [2007] 1 MLJ 697

[7] [1964]1 MLJ 232

[8] Seksyen 202(1) AS 2016

[9] Seksyen 201 AS 2016

[10] Seksyen 202(2) AS 2016

[11] Seksyen 202(3) AS 2016

Similar Posts