oasiseqypt

Syarikat merupakan suatu entiti perniagaan yang agak sukar difahami. Syarikat boleh ditubuhkan menurut kategori seperti dalam Rajah 2.1 di bawah:[1]

penjenisansyarikat

Syarikat Berhad Menurut Syer

Syarikat berhad menurut syer merupakan suatu syarikat yang diperbadankan atas konsep tanggungan ahli-ahlinya terhad setakat amaun, jika ada, belum dibayar atas syer yang dipegang oleh ahli itu.[1] Syarikat berhad menurut syer boleh ditubuhkan sama ada sebagai sebuah syarikat persendirian atau syarikat awam.[2]

Selanjutnya, tanggungan berhad menurut syer bermaksud seandainya sesuatu syarikat itu digulung oleh Mahkamah, maka tanggungan ahli-ahli hanya terhad setakat jumlah syer yang belum berbayar sahaja (jika ada). Misalnya, En. Zulkifli merupakan seorang pemegang syer biasa syarikat Kanda & Dinda Sdn. Bhd. En. Zulkifli masih belum membayar baki syernya sebanyak RM5,000 walaupun beberapa notis peringatan panggilan syer telah diberikan. Jika syarikat Kanda & Dinda Sdn. Bhd. digulung, En. Zulkifli hanya bertanggungan setakat jumlah syer biasa yang belum dibayar, iaitu RM5,000 sahaja. Bagi ahli-ahli lain yang telah membayar penuh syer-syer biasa, mereka tiada apa-apa tanggungan atas syarikat apabila berlaku penggulungan.

Syarikat Persendirian

Menurut statut, syarikat persendirian bermaksud:[3]

  • syarikat yang sebelum berkuatkuasa Akta ini (Akta Syarikat 2016) adalah sebuah syarikat persendirian di bawah mana-mana undang-undang bertulis (Akta Syarikat 1965);
  • syarikat yang diperbadankan sebagai syarikat persendirian di bawah Akta ini (Akta Syarikat 2016); atau
  • apa-apa syarikat yang ditukarkan kepada syarikat persendirian di bawah seksyen 41,

syarikat yang tidak lagi menjadi sebuah syarikat persendirian di bawah seksyen 42(4).

Syarikat persendirian boleh dikenali atau dicamkan melalui nama syarikat tersebut yang diakhiri dengan perkataan Sendirian Berhad atau ringkasnya Sdn. Bhd.[4]

Sifat-sifat Syarikat Persendirian

Syarikat yang diperbadankan sebagai syarikat persendirian hendaklah mempunyai sifat-sifat berikut:

  • ahli-ahli syarikat persendirian hendaklah tidak melebihi lima puluh orang;[5]
  • syarikat persendirian hendaklah menyekat pemindahan syer-syernya, iaitu terhad dalam kalangan ahli sahaja;[6]
  • melarang syarikat persendirian mempelawa apa-apa syer-syer, debentur atau mempelawa orang awam mendepositkan wang;[7] dan
  • tidak dibenarkan menawarkan syer-syer syarikat kepada orang awam[8],

tawaran yang dibuat kepada orang awam dalam apa-apa cara sekalipun, kecuali tawaran yang dibuat menurut seksyen 44(2).

Syarikat Persendirian Dikecualikan

Syarikat persendirian dikecualikan merupakan syarikat persendirian yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • mempunyai ahli tidak melebihi 20 orang biasa yang tiada satupun perbadanan;
  • tiada syernya dipegang secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana perbadanan;[9]
  • syarikat tidak perlu menyerah-simpan penyata kewangan yang diaudit kepada Pendaftar dengan memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

(i) menyiapkan sijil Syarikat Persendirian Dikecualikan (Exempt Private Company) bagi menggantikan penyata kewangan;

(ii) sijil Syarikat Persendirian Dikecualikan hendaklah ditandatangani oleh seorang pengarah, juruaudit dan setiausaha syarikat:[10]

  • bagi mengesahkan syarikat tersebut adalah sebuah Syarikat Persendirian Dikecualikan;
  • penyata kewangan yang diaudit telah diedarkan kepada semua ahli;
  • pada tarikh penyata kewangan itu dibuat, syarikat hendaklah mampu memenuhi keperluan liabilitinya apabila genap masa kena bayar.

Lazimnya, syarikat bersaiz kecil dan sederhana cenderung kepada kategori syarikat persendirian dikecualikan. Syarikat persendirian dikecualikan mempunyai keistimewaan tidak perlu menyerah-simpan penyata kewangan kepada Pendaftar. Oleh itu, syarikat dapat merahsiakan kedudukan kewangannya daripada diketahui oleh pesaing mereka.

eifeltower

Syarikat Awam

Syarikat awam bermaksud sebuah syarikat selain daripada syarikat persendirian.[11] Lazimnya, syarikat awam dibahagikan kepada dua bentuk; pertama, syarikat  tersenarai awam dan kedua; syarikat awam tidak tersenarai. Syarikat-syarikat yang terdapat di Bursa Malaysia merupakan syarikat awam tersenarai.

Syarikat awam mempunyai sifat-sifat seperti berikut:

  • mempunyai bilangan ahli lebih daripada 50 orang;[12]
  • boleh menawarkan syer atau debentur kepada pihak awam untuk dimohon beli; dan
  • syer-syer bebas untuk dipindah milik tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Syarikat berhad menurut syer boleh diperbadankan sebagai sebuah syarikat persendirian ataupun syarikat awam.[13] Syarikat awam tersenarai merupakan syarikat yang mempunyai modal syer yang besar, bilangan pekerja yang ramai dan diurus tadbir oleh golongan profesional. Dalam syarikat tersenarai awam, terdapat pengasingan kuasa antara pemiliknya (yang merupakan pemegang syer yang terbesar) dan pengarah-pengarah. Lazimnya, pemegang syer terbesar syarikat awam terdiri daripada perbadanan lain seperti anak-anak syarikat, syarikat berkaitan kerajaan, badan-badan amanah dan mereka tidak mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat itu. Syarikat persendirian pula kebanyakannya adalah syarikat bersaiz kecil-sederhana dan dikawal penuh oleh pemiliknya sendiri.

Syarikat Berhad Menurut Jaminan

Syarikat berhad menurut jaminan bermaksud liabiliti ahli-ahli adalah terhad kepada amaun yang diaku-janji oleh ahli-ahlinya untuk menyumbang setakat jumlah yang dijamin sekiranya syarikat digulung.[14] Syarikat berhad menurut jaminan hendaklah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat awam[15] dan tidak dibenarkan ditubuhkan sebagai sebuah syarikat jaminan dengan modal syer.[16]

Walaupun syarikat berhad menurut jaminan tidak mempunyai modal syer dan tiada pemegang-pemegang syer, namun begitu, ia mempunyai ahli-ahli yang bertindak sebagai penjamin kepada syarikat. Penjamin-penjamin memberikan aku-janji untuk menyumbang suatu jumlah nominal (lazimnya dalam jumlah yang kecil) jika syarikat digulung.  Misalnya, ahli-ahli meletakkan amaun jaminan RM1,000 atas syarikat berhad menurut jaminan yang mereka tubuhkan. Jika berlaku penggulungan, jaminan ahli-ahli terhadap syarikat itu hanya setakat RM1,000 sahaja.

Objektif Syarikat Berhad Menurut Jaminan

Syarikat berhad menurut jaminan hanya boleh ditubuhkan dengan tujuan-tujuan berikut:[17]

  • menyediakan reakreasi dan hiburan
  • mempromosikan perdagangan dan industri;
  • mempromosikan seni;
  • mempromosikan sains;
  • mempromosikan keagamaan;
  • mempromosikan kegiatan amal kebajikan;
  • mempromosikan skim pencen atau persaraan; atau
  • mempromosikan apa-apa objek yang berguna dan bermenfaat kepada komuniti dan negara.

[1] Seksyen 10 AS 2016

[2] Seksyen 10(2) AS 2016

[3] Seksyen 11(1) AS 2016

[4]Seksyen 2 AS 2016

[5] Seksyen 25(1)(b) AS 2016

[6] Seksyen 42(1) AS 2016

[7] Seksyen 42(2) AS 2016

[8] Seksyen 43 AS 2016

[9] Seksyen 44(1) AS 2016

[10](a) dan (b) dalam s. 2 AS 2016

[11] Seksyen 260(2) AS 2016

[12]Seksyen 2 AS 2016

[13] Seksyen 42(4)(c) AS 2016

[14]Seksyen 11(1) AS 2016

[15] Seksyen 10(3) AS 2016

[16] Seksyen 11(2) AS 2016

[17] Seksyen 12 AS 2016

[18] Seksyen 45(1) AS 2016

 

Similar Posts