business-partners-plt

kharmy

Kama Godin

Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (APLT) telah mendapat perkenan Diraja pada 2 Febuari 2012. Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) merupakan suatu bentuk entiti perniagaan baharu di Malaysia, dan terdapat ramai orang belum tahu kewujudannya. Dalam bahasa yang mudah, PLT merupakan suatu bentuk perbadanan perniagaan alternatif yang menawarkan manfaat liabiliti terhad (yang dimiliki oleh syarikat) dan fleksibiliti (dimiliki oleh firma perkongsian).

PENGENALAN

Boleh dikatakan PLT merupakan hasil kacukan antara perkongsian dan juga syarikat. PLT boleh dimanfaatkan oleh semua jenis perniagaan, namun begitu, ia dirangka khas bagi memenuhi keperluan sektor profesional seperti firma guaman, doktor perubatan, juruaudit, firma arkitek dan juga perusahaan lain yang memenuhi kehendak Akta. Di samping keistimewaan sifat liabiliti terhad, PLT menawarkan suatu set peraturan dalaman yang menyerupai perjanjanjian perkongsian sebagai pusat tadbir urus untuk pekongsi-pekongsinya.

Perbincangan entiti perniagaan PLT dalam bab 4 ini merangkumi perkara-perkara pokok seperti berikut:

  • Asas PLT
  • Penubuhan dan Pendaftaran
  • Pengurusan PLT
  • Penukaran Kepada PLT
  • PLT Asing
  • Penggulungan, Pembubaran dan Pemotongan

ASAS PLT

Tafsiran Undang-Undang

Menurut Akta, PLT bermaksud:[1]

“suatu PLT yang didaftarkan di bawah seksyen 11 atau suatu perkongsian liabiliti terhad asing yang didaftarkan di bawah seksyen 45.”

Disebabkan PLT terdiri daripada beberapa orang pekongsi, maka maksud pekongsi ialah:[2]

…ertinya mana-mana orang yang diterima masuk sebagai seorang Pekongsi dalam perkongsian liabiliti terhad itu mengikut perjanjian perkongsian liabiliti terhad, dan termasuk pekongsi bergaji sama ada pekongsi itu merupakan seorang pekerja perkongsian liabiliti terhad itu atau tidak.

Elemen-elemen PLT

Berdasarkan definisi di atas, terdapat tiga elemen yang menjadi dasar utama PLT:

  • Pekongsi
  • Liabiliti terhad
  • Perjanjian PLT

Pekongsi

Pekongsi PLT boleh terdiri daripada manusia biasa, PLT lain dan perbadanan atau campuran daripada manusia biasa, PLT lain dan perbadanan. Definisi PLT di atas tidak menyatakan bilangan minimum pekongsi-pekongsi, namun begitu, seksyen 6 Akta menyatakan dengan jelas bilangan minimum pekongsi ialah dua orang atau lebih. Kemudian, ahli-ahli pekongsi boleh terdiri daripada mereka yang bekerja makan gaji dengan PLT itu ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, Akta ini memberikan perbezaan yang jelas dengan perkongsian konvensional supaya seseorang itu tidak keliru. Menurut Akta, perkongsian konvensional bermaksud:[3]

‘… suatu perkongsian yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197] dan suatu perkongsian yang ditubuhkan oleh dua orang atau lebih bagi maksud menjalankan apa-apa amalan professional.’

Definisi perkongsian konvesional di atas tidak menyebut kehendak kepada perjanjian perkongsian secara nyata berbanding dengan PLT. Jelasnya, perkongsian konvensional boleh mengabaikan perjanjian perkongsian jika pekongsi-pekongsinya berhasrat mendaftarkan perniagaan mereka. Hal ini disebabkan, hak dan kewajipan sesama pekongsi yang dinyatakan dalam Akta Perkongsian 1956 diterima pakai jika tiada perjanjian perkongsian ditandatangani oleh semua pekongsi.

Kemudian, definisi perkongsian konvensional lebih ditujukan kepada apa-apa perkongsian yang didaftarkan di bawah APP 1956 dan juga amalan professional seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, APLT 2012.

Perjanjian PLT

Apakah perkara-perkara dasar yang meliputi perjanjian PLT? Menurut s. 2 Akta, perjanjian PLT bermaksud:

‘suatu perjanjian bertulis antara pekongsi-pekongsi PLT, atau antara PLT itu dengan pekongsi-pekongsinya yang menentukan hak dan kewajipan bersama pekongsi sesama mereka, dan hak dan kewajipan mereka berhubung dengan PLT itu.’

Para pekongsi yang ingin menubuhkan PLT dikehendaki membentuk perjanjian PLT terlebih dahulu, menandatangani dan mematuhinya, tidak kiralah sama ada pekongsi-pekongsi itu bekerja dengan PLT ataupun sebaliknya.

Daripada definisi perjanjian PLT di atas, terdapat dua elemen yang menjadi dasar kepada perjanjian, iaitu:

perjanjian bertulis 

  • suatu perjanjian bertulis antara pekongsi-pekongsi PLT, atau
  • suatu perjanjian bertulis antra PLT dengan pekongsi-pekongsinya.

bagi menetukan;

hak dan kewajipan pekongsi-pekongsi 

  • hak dan kewajipan sesama pekongsi, dan
  • hak dan kewajipan pekongsi-pekongsi dengan PLT.

Sifat-sifat Nyata PLT

PLT memiliki beberapa keistimewaan seperti berikut:[4]

(a) PLT merupakan suatu pertubuhan perbadanan (body corporate) dan hendaklah mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada pekongsi-pekongsinya.

(b) PLT boleh diwarisi turun temurun.

(c) Perubahan dalam kalangan pekongsi-pekongsi PLT tidak menjejaskan kewujudan, hak atau tanggungan PLT itu.

(d) PLT mempunyai keupayaan yang tidak terhad dan ia berkeupayaan untuk:

  • membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya;
  • memperolehi, memiliki, memegang dan membangunkan atau melupuskan harta; dan
  • melakukan atau menanggung apa-apa perbuatan dan benda lain yang boleh dilakukan dan ditanggung dengan sah oleh pertubuhan perbadanan.

Walaupun sifat-sifat nyata PLT mempunyai sedikit persamaan dengan perkongsian konvensional, namun begitu, peruntukan Akta Perkongsian 1961, mana-mana rukun ekuiti dan common law yang terpakai bagi perkongsian adalah tidak terpakai dalam PLT yang didaftarkan.[5]

RASIONAL PLT DI MALAYSIA

PLT merupakan sebuah entiti perniagaan baharu di Malaysia, yang mana ia menggabungkan sifat-sifat keistimewaan perkongsian konvensional dan syarikat persendirian. Rasional utama PLT diperkenalkan di Malaysia ialah:

  • menikmati status liabiliti terhad
  • menggalakkan percambahan keusahawanan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
  • merapatkan jurang antara perkongsian dan syarikat
  • menyediakan suatu pilihan medium perniagaan baharu berbanding dengan medium perniagaan tradisional yang sedia ada.
  • memberikan pilihan model perniagaan terbaik yang lebih bebas dan fleksibel bagi memenuhi keperluan perniagaan.
  • Penjimatan kos penubuhan dan pematuhan
  • boleh ditubuhkan sendiri oleh Pekongsi
  • melindungi Pekongsi berbanding perkongsian
  • kos pematuhan yang rendah berbanding dengan syarikat 
  • akaun tidak perlu diaudit dan diserah simpan di pejabat SSM setiap tahun kalendar

 PLT LWN. PERKONGSIAN

 PLT mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding dengan perkongsian konvensional. Berikut disenaraikan beberapa keistimewaan PLT: 

  • Liabiliti pekongsi terhad setakat jumlah sumbangan yang dipersetujui.
  • Pekongsi tidak bertanggungan atas kesalahan atau salah laku pekongsi-pekongsi lain, justeru melindungi individu pekongsi lain daripada tanggunan bersesama lantaran kesalahan atau salah laku yang dibuat oleh pekongsi itu.
  • Setiap pekongsi perniagaan berbentuk PLT merupakan ejen kepada P, dan bukannya ejen kepada pekongsi yang lain.
  • Pekongsi-pekongsi bertanggungan sendiri setakat jaminan yang disediakan oleh mereka.
  • PLT boleh memiliki harta seperti harta tanah, bangunan, mesin dan jentera, kenderaan, syer dan lain-lain atas namanya sendiri. PLT juga boleh meminjam wang dan melabur atas namanya sendiri. Firma perkongsian tidak boleh memiliki harta atas nama perkongsian itu sendiri disebabkan undang-undang tidak mengasingkan personaliti perkongsian itu dengan pekongsi-pekongsinya.
  • PLT boleh mempertahankan dirinya daripada sebarang tindakan undang-undang sama ada daripada pekongsi-pekongsi ataupun daripada pihak luar. Keupayaan PLT bertindak atas dirinya sendiri menyamai kapasiti yang dimiliki oleh syarikat persendirian.

 PLT LWN. SYARIKAT

 Terdapat beberapa keistimewaan yang sangat ketara bagi PLT berbanding dengan syarikat persendirian. Keistimewaan PLT boleh dilihat  dalam  aspek-aspek berikut:

  • PLT tidak perlu menerbitkan syer sedangkan syarikat dimiliki oleh pemegang-pemegang syer melalui terbitan syer syarikat.
  • PLT tidak perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan pada setiap tahun kalendar.
  • PLT tidak perlu mengemukakan penyata kewangan kepada SSM setiap tahun.
  • Akaun PLT tidak perlu diaudit.
  • Mudah untuk ditubuhkan, dijalankan dan diuruskan.
  • Struktur dalaman ditadbir urus oleh perjanjian PLT yang dipersetujui sesama pekongsi-pekongsi.
  • Tidak banyak penalti akibat ketakpatuhan undang-undang dan peraturan berbanding dengan syarikat persendrian

KESIMPULAN

Terdapat lima jenis entiti perniagaan yang boleh dipilih oleh usahawan, iaitu; milik tunggal, perkongsian, PLT,  syarikat dan juga koperasi. Jenis-jenis perniagaan ini dapat dibezakan secara nyata melalui liabiliti, kebolehan memiliki harta, bilangan ahli, kadar cukai, dan fleksibiliti dalam menamatkan perniagaan. Bagi PLT, ia sangat sesuai bagi perniagaan seperti berikut:

  • badan-badan profesional, sememangnya PLT dicipta untuk badan profesional atas sebab boleh menikmati status liabiliti terhad berbanding dengan perkongsian konvensional.
  • PLT tidak memerlukan setiausaha syarikat, dan tidak perlu mengaudit dan menghantar penyata kewangan setiapa tahun ke SSM.
  • kadar cukai PLT adalah berkadar rata (flat rate) 19 peratus daripada pendapatan kena cukai, memang sesuai untuk industri professional.
  • peniaga kecil-kecilan tidak sesuai memilih PLT disebabkan kadar cukai yang tinggi, dan memerlukan sekurang-kurangnya dua orang pekongsi.

[Artikel di atas merupakan petikan daripada draf e-book saya yang berjudul “Entiti Perniagaan ~ Milik Tunggal, Perkongsian dan PLT”]


Nota kaki:

[1] Seksyen 2 APLT 2012

[2] ibid.

[3] ibid.

[4] Seksyen 3 APLT 2012

[5] Seksyen 4 APLT 2012


@ Hakcipta Kama Godin 2018

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau  cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada pengarang.

Similar Posts