pengkelasan organisasi perniagaan

Selepas seseorang itu mengambil keputusan untuk berniaga, langkah seterusnya ialah untuk mendaftarkan perniagaan itu. Entiti perniagaan yang dipilih perlulah berdasarkan kepada jenis perniagaan yang hendak dijalankan, saiz modal yang dimiliki dan tanggungan di sisi undang-undang. Persoalan yang timbul ialah kewajaran seseorang itu memilih suatu bentuk entiti perniagaan yang bersesuaian dengan perniagaannya. Antara jenis-jenis perniagaan yang boleh dipilih ialah milik tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad (PLT) ataupun syarikat. Objektif utama artikel ini ialah untuk membincangkan entiti perniagaan milik tunggal yang sangat popular, namun begitu bahan-bahan rujukan yang tuntas mengenainya sukar didapati. Oleh yang demikian, artikel ini memberikan tumpuan kepada aspek undang-undang di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, peraturan dan amalan pendaftaran, memperbaharui dan penamatan perniagaan.

Definisi dan Tinjauan
soleprop

Perbincangan dalam artikel ini meliputi aspek undang-undang, dan sumber utama undang-undang ialah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956) dan Kaedah-kaedah Pendaftaran 1957 serta aspek amalannya.  Saya dapati penulisan aspek undang-undang pendaftaran perniagaan (untuk pendafatran milik tunggal dan perkongsian) hampir tidak temui, lantaran sifatnya yang mudah ditubuhkan dengan kos yang murah, juga mudah untuk dibubarkan berbanding dengan syarikat. Seyogia, usaha saya ini dapat  membantu para usahawan untuk lebih memahami aspek perundangan pendaftaran perniagaan yang  mereka tubuhkan,

Objektif artikel ini ialah untuk membincangkan perkara-perkara berikut:

  • meneroka perniagaan milik tunggal dan pendaftarannya dengan dengan memberi penekanan kepada aspek undang-undang dan perjanijian perkongsian.
  • menerangkan langkah-langkah dalam prosedur penubuhan perniagaan milik tunggal, pembaharuan dan penamatan perniagaan.
Bentuk-bentuk Organisasi Perniagaan:

Apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan? Seksyen 2 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956), menerangkan bahawa:

‘perniagaan meliputi setiap corak perdagangan, perusahaan, pertukangan, pekerjaan, profesyen atau aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian atau apa-apa urusan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam Jadual.’

Definisi di atas lebih menekankan aspek aktiviti yang dijalankan bagi maksud mendapatkan keuntungan sahaja. Namun begitu, aktiviti yang berpunca daripada pendapatan penggajian dan amal kebajikan bukanlah dikira sebagai suatu aktiviti perniagaan.

Seseorang yang berhasrat untuk menubuhkan perniagaan, perlulah mendapatkan khidmat nasihat pra-perniagaan daripada seorang setiausaha syarikat atau akauntan terlebih dahulu. Penerangan yang lebih luas dalam aspek tanggungan undang-undang, pembukaan akaun bank, penyediaan akaun tahunan, pematuhan cukai dan GST, dan peraturan-peraturan lain perlu diambil tahu oleh pemilik perniagaan.

Pengkelasan Organisasi Perniagaan

Terdapat empat bentuk organisasi perniagaan yang sangat popular di Malaysia, dan dikelaskan seperti berikut:

  1. Perniagaan berdaftar yang terdiri daripada: 

(i)   Perniagaan Milik Tunggal, dan

(ii)  Firma Perkongsian

  1. Syarikat berdaftar, yang terdiri daripada:

(a) Syarikat terhad oleh syer

(i)   Syarikat Persendirian

(ii)  Syarikat Awam

(b) Syarikat Terhad oleh Jaminan

(c)  Syarikat Tidak Terhad

  1. Perkongsian Libiliti Terhad (PLT)
  1. Koperasi

Daripada aspek undang-undang, aktiviti keempat-empat jenis organisasi perniagaan di atas dikawal selia oleh akta-akta berikut:

  • Bagi Perniagaan Berdaftar:

Didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (disemak semula 1978). Perniagan jenis ini termasuklah milik tunggal dan perkongsian

  • Bagi Syarikat Berdaftar

Didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016

  • Bagi Perkongsian Liabiliti Terhad

Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

  • Bagi Koperasi

Terletak di bawah Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007)

pengkelasan organisasi perniagaan
 Pengelasaan Organisasi Perniagaan Menurut Liabiliti

Walau bagaimanapun, tidak semua jenis perniagaan milik tunggal atau perkongsian perlu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1965. Terdapat jenis-jenis perniagaan yang dikecualikan daripada didaftarkan menurut akta-akta di atas, iaitu:[1]

  • mana-mana perniagaan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965;
  • sesuatu perniagaan yang dimiliki oleh Kerajaan atau mana-mana badan awam yang diperbadankan;
  • sesebuah persatuan yang dikecualikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan atau syarikat kerjasama; dan
  • sesebuah perniagaan yang terdiri daripada apa-apa profesyen di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis boleh dijalankan hanya oleh mereka yang memiliki kelayakan tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis tersebut.

Organisasi perniagaan yang dimaksudkan oleh s. 4 APP 1956 termasuklah syarikat, syarikat-syarikat yang ditubuhkan di bawah akta parlimen, koperasi dan firma-firma profesional seperti peguambela dan peguamcara, juruaudit, jurutera, doktor, jurunilai dan lain-lain. Organisasi tersebut mempunyai undang-undang atau peraturan bertulis untuk mendaftarkan ahli-ahli mereka sebagai ahli profesional bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.  

Larangan Pertubuhan Yang Tidak Diperbadankan

Tidak dibenarkan suatu pertubuhan atau perkongsian yang mempunyai lebih daripada dua puluh orang untuk ditubuhkan bagi maksud menjalankan apa-apa perniagaan bagi maksud mendapatkan keuntungan melainkan:[2]

  • pertubuhan atau perkongsian itu ditubuhkan sebagai suatu syarikat di bawah Akta; atau
  • ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Peruntukan undang-undang di atas melarang organisasi selain daripada milik tunggal, perkongsian, syarikat atau ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis lain daripada menjalankan aktiviti perniagaan dengan tujuan mendapatkan keuntungan.

PERNIAGAAN MILIK TUNGGAL

Perniagaan milik tunggal sangat mudah untuk didaftarkan dengan kos yang rendah. Jenis organisasi perniagaan ini juga sangat popular dalam kalangan usahawan bersaiz kecil dan sederhana, dan pemilik sendiri boleh mendaftarkannya di mana-mana cawangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Daripada sudut undang-undang, perniagaan milik tunggal  dikawal selia oleh Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.

Pengertian Undang-Undang – Milik Tunggal

Perniagaan milik tunggal sama maksudnya dengan perkataan milik tunggal, iaitu perniagaan yang mempunyai seorang pemilik sahaja. Oleh itu, entiti perniagaan milik tunggal adalah sama dengan pemiliknya. Daripada sudut undang-undang, hal ini bermaksud tidak wujud entiti yang berasingan antara pemilik dan perniagaannya. Misalnya, perniagaan Busana Anggun dimiliki oleh Puan Anita binti A. Rahman. Dengan erti kata lain, perniagaan Busana Anggun dan Puan Anita binti A. Rahman terdiri daripada entiti yang sama. Jelasnya, entiti perniagaan tersebut dengan pemiliknya tidak boleh dipisahkan.

Berhubung dengan harta dan liabiliti perniagaan milik tunggal, semua harta dan liabiliti perniagaan adalah kepunyaan pemilik. Hatta, hutang perniagaan adalah menjadi hutang pemilik. Perniagaan milik tunggal tidak boleh mendakwa atau didakwa oleh perniagaannya disebabkan entiti perniagaan dan entiti pemilik adalah sama. Dengan erti kata lain, pemilik tidak boleh mendakwa perniagaannya dan begitulah sebaliknya.  Tidak mungkin pemilik mendakwa dirinya sendiri.

Sifat-sifat Perniagaan Milik Tunggal

Sifat nyata perniagaan milik tunggal ialah daripada segi bilangan pemilik, yang mana ia dimiliki oleh seorang individu sahaja. Perniagaan milik tunggal mempunyai sifat tanggungan tidak terhad terhadap hutang-piutang yang ditanggung oleh pemilik perniagaan. Tanggungan tidak terhad bermaksud, jika pemilik perniagaan muflis, pihak pemiutang seperti bank atau pemiutang niaga dan lain-lain pihak boleh menuntut hutang-hutang yang belum dilangsai sehingga ke tahap harta persendirian pemilik. Disebabkan perniagaan milik tunggal dan perkongsian merupakan pertubuhan yang tidak diperbadankan, maka kedua-duanya bukan tergolong dalam entiti undang-undang yang berasingan seperti yang terdapat pada syarikat.

solepropliability

Di Malaysia, prosedur pendaftaran perniagaan milik tunggal dan perkongsian terletak di bawah bidang kuasa Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Badan yang mentadbir dan mengawal pendaftaran perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Untuk mendaftarkan perniagaan milik tunggal, seseorang itu mestilah berumur tidak kurang daripada 18 tahun. Pendaftaran perniagaan di bawah Akta ini hanya dibenarkan untuk warga negara Malaysia atau pemastautin tetap sahaja.

PENDAFTARAN PERNIAGAAN

Pemilik perniagaan dikehendaki mendaftarkan perniagaan dia di SSM tidak lewat daripada 30 hari daripada tarikh menjalankan perniagaan.[3] Pemilik boleh mendaftarkan sendiri di mana-mana pejabat SSM di seluruh Malaysia tanpa perlu menggunakan orang tengah atau agen.

Bahagian seterusnya akan membincangkan aspek yang berkaitan dengan Nama Perniagaan yang Dilarang Untuk Didaftarkan, Pendaftaran Perniagaan, Pembaharuan Perniagaan, Perubahan Dalam Butir-butir Perniagaan, Penamatan Perniagaan dan Kesan Pendaftaran.

Nama Perniagaan yang Dilarang Untuk Didaftarkan

Seseorang itu perlu menyediakan sekurang-kurangnya tiga cadangan nama perniagaan untuk didaftarkan di pejabat Pendaftar Perniagaan. Tidak semua nama perniagaan dibenarkan oleh SSM untuk digunakan sebagai nama perniagaan yang dikehendak. Senarai nama-nama perniagaan yang tidak boleh didaftarkan terdapat dalam Kaedah 15, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.

Kaedah 15 menyatakan bahawa tiada perniagaan boleh didaftarkan dengan suatu nama berikut kecuali dengan kelulusan Menteri:

  • mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan Yang Dipertuan Agong, Raja Permaisuri Agong  atau Raja bagi sebuah Negeri, atau seorang kerabat Diraja atau naungan Diraja termasuk perkataan-perkataan “Diraja’ atau mana-mana ungkapan persamaan yang mengandungi makna yang sama;
  • mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan Jabatan Kerajaan Persekutuan, atau Negeri, badan berkuasa, pihak berkuasa atau agensi atau mana-mana perbadanan atau lain-lain pihak berkuasa tempatan, termasuk perkataan-perkataan seperti “Persekutuan, “Negeri” atau “Kebangsaan”.
  • mengandungi mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan mana-mana kerajaan Asean, Komanwel atau lain-lain kerajaan asing atau dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lain-lain organisasi antarabangsa;
  • mengandungi perkataan-perkataan “Chartered” atau mana-mana perkataan yang mencadangkan perhubungan dengan mana-mana Pertubuhan atau badan yang diperbadankan oleh ‘Royal Charter’;
  • mengandungi perkataan “Persatuan”, “Kesatuan”, “Yayasan”, “Amanah”, “Angkatan”, “Koperasi”, “Antarabangsa”  atau mana-mana ungkapan  yang mengandungi makna yang sama.
  • mengandungi mana-mana perkataan yang buruk atau yang mungkin menyinggung perasaan masyarakat;
  • mengandungi mana-mana perkataan yang mengelirukan tentang jenis, skop atau kepentingan, perniagaan yang dijalankan atau yang akan dijalankan di bawah nama tersebut;
  • mengandungi mana-mana perkataan yang menyinggung perasaan mana-mana kaum atau ugama.

Untuk kelulusan nama perniagaan, pastikan nama-nama yang dicadangkan itu tidak bertentangan dengan senarai dalam Kaedah 15, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Disamping menggunakan nama perdagangan, pemilik juga boleh mendaftarkan perniagaan dengan menggunakan namanya sendiri seperti dalam mykad.

Pendaftar boleh menolak pendaftaran mana-mana perniagaan jika mendapati nama perniagaan itu menyalahi mana-mana peruntukan dalam undang-undang bertulis berkaitan dengan syarikat atau pertubuhan atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.[4]

Peraturan Pendaftaran 

Pendaftaran sesuatu perniagaan perlulah mematuhi APP 1956 dan KPP 1957. Seseorang yang sudah menjalankan perniagaan, hendaklah mendaftarkan perniagaannya dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permulaan perniagaan itu dijalankan.[5]  Suatu permohonan  carian nama (biasanya tiga nama perniagaan didaftar sekaligus) hendaklah dikemukakan di kaunter Pendaftar dengan menggunakan borang yang telah ditetapkan (prescribed form). Setelah nama perdagangan itu diluluskan, suatu permohonan  pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang A.[6]

Orang yang bertanggungjawab (biasanya pemilik perniagaan) terhadap perniagaan itu hendaklah melengkapkan Borang A dengan sempurna sebelum menyerahkannya kepada Pendaftar.[7] Kemudian, pihak Pendaftar akan meluluskan nama-nama yang tidak bertentangan dengan nama-nama yang digazetkan seperti yang tersenarai dalam Kaedah 15, KPP 1957.

Pihak Pendaftar akan membekalkan Borang A dan pemohon hendaklah melengkapkannya dengan mengisi butir-butir berikut:[8]                               

  • nama perniagaan;
  • jenis perniagaan yang dijalankan;
  • alamat dan tempat perniagaan dan alamat cawangan;
  • perjanjian perkongsian, jika ada;
  • nama penuh rakan-rakan perkongsian, jawatan yang dipegang dan tarikh masuk dalam perniagaan; dan
  • maklumat-maklumat lain seperti yang diperlukan oleh Pendaftar.

Setelah borang pendaftaran perniagaan (Borang A) diterima oleh Pendaftar beserta dengan fi[9] yang ditetapkan, Pendaftar hendaklah mendaftarkan perniagaan itu. Setelah semua butir-butir dalam Borang A disempurnakan dan memenuhi kehendak Akta, Pendaftar dikehendaki mendaftarkan perniagaan itu bagi suatu jangkamasa tidak melebihi lima tahun dan mengeluarkan suatu sijil perakuan pendaftaran perniagaan[10]. Pendaftar juga akan mengeluarkan sijil perakuan pendaftaran bagi setiap cawangan apabila fi yang ditetapkan sudah dibayar.[11]  Lazimnya, pemilik boleh memilih jangkamasa pendaftaran perniagaan itu berkuatkuasa sama ada meliputi tempoh satu, tiga atau lima tahun. 

Pendaftaran suatu perniagaan akan tamat atau luput pada tarikh yang dicatatkan dalam sijil pendaftaran ataupun apabila perniagaan itu ditamatkan oleh pemilik sendiri.[12] Walaupun sesuatu perniagaan itu sudah didaftarkan, ia tidaklah dianggap bahawa keperluan sebarang undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan sebagai telah dipatuhi sepenuhnya.[13] Misalnya, perniagaan yang ingin memasang papan tanda di luar premis di Kuala Lumpur dikehendaki mematuhi lesen iklan papan tanda premis menurut peruntukan dan Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Pindaan. 

Pembaharuan Perniagaan

Suatu pendaftaran perniagaan mempunyai jangkamasa luputnya. Pemilik dihehendaki memperbaharui pendaftaran perniagaan dalam tempoh tiga puluh hari sebelum tarikh luput pendaftaran atau pembaharuan terdahulu.[14] Suatu permohonan pembaharuan pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat dalam Borang A1.[15] Setelah fi yang ditetapkan telah dibayar, Pendaftar akan memperbaharui pendaftaran perniagaan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun bagi pembaharuan.[16]

Tarikh tamat yang baharu dinyatakan dalam sijil pendaftaran perniagaan yang dikeluarkan.[17] Pendaftar boleh menolak untuk memperbaharui sebarang pendaftaran dengan memberitahu pemohon keputusannnya secara bertulis.[18]

Perubahan Dalam Butir-butir Pendaftaran 

Perubahan dalam butir-butir pendaftaran perniagaan berlaku disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  • perubahan dalam jenis-jenis perniagaan;
  • perubahan dalam alamat tempat perniagaan utama; sebarang tempat perniagaan lain[19], dan
  • menukar status milik tunggal kepada perkongsian.[20]
  • kematian mana-mana pekongsi, perkongsian dibubarkan, tetapi perkongsian itu diteruskan oleh pekongsi yang masih hidup atau dengan tambahan pekongsi yang lain, sama ada:[21]
  • sebagai suatu pertukaran mengikut Kaedah ini; atau
  • sebagai penamatan suatu perniagaan, dan permulaaan suatu perniagaan yang baharu.

Pemilik perniagaan bertanggungjawab mengemukakan kepada Pendaftar borang yang ditetapkan dalam tempoh tiga puluh hari daripada tarikh perubahan itu dibuat.[22] Pemilik hendaklah melengkapkan dengan sempurna satu salinan Borang B1, B2, B3 atau B4 yang berkaitan untuk diserah simpan di pejabat Pendaftar.[23] 

PENAMATAN PERNIAGAAN

Suatu perniagaan milik tunggal tidak mempunyai sifat wujud berkekalan seperti syarikat. Oleh itu, pemilik perniagaan boleh menamatkan perniagaan yang telah didaftarkan pada bila-bila masa. Pemilik perniagaan hendaklah dalam masa tiga puluh hari daripada tarikh perniagaan ditamatkan memberitahu Pendaftar tentang penamatan perniagaan dalam borang yang ditetapkan (Borang C).[24]

Dalam kes perniagaan perkongsian, yang mana berlaku kematian semua rakan kongsi dan tiada seorangpun rakan kongsi yang masih hidup. Wakil peribadi atau waris kadim  kepada rakan kongsi yang mati hendaklah dalam masa empat bulan daripada tarikh kematian memberitahu Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk  menamatkan perniagaan.[25] Seterusnya, untuk menamatkan perniagaan jika semua rakan kongsi meninggal dunia:

  “… jika tidak terdapat sekutu perniagaan yang masih hidup atau orang yang bertanggungjawab atas perniagaan itu maka wakil peribadi atau waris kadim sekutu perniagaan yang mati, hendaklah menyerah simpan suatu notis penamatan dalam Borang C di pejabat Pendaftar.”[26]

Terdapat kes di mana rakan kongsi tidak menjumpai rakan-rakan kongsinya yang lain bagi tujuan menamatkan perniagaan. Jika seorang pekongsi suatu perniagaan tidak dapat dicari atau dijumpai, pekongsi yang tinggal hendaklah menyerah simpan Borang C bersama dengan surat akuan berkanun menyatakan beliau telah membuat segala usaha untuk mencari rakan kongsinya, tetapi gagal dalam usaha-usahanya.[27]

Sijil Perakuan Pendaftaran

Sijil perakuan pendaftaran perniagaan merupakan satu dokumen berkanun yang dikeluarkan oleh pihak Pendaftar menyatakan maklumat-maklumat seperti nombor sijil pendaftaran, nama perniagaan, alamat perniagaan, jenis perniagaan, tarikh perniagaan didaftarkan dan tarikh tamat pendaftaran.

Sijil ini menjadi bukti muktamad bahawa semua keperluan Akta telah dipatuhi, dan perniagaan yang dirujuk dalam sijil telah didaftarkan di bawah Akta.[28]. Tambahan pula Sijil perakuan pendaftaran perniagaan digunakan dalam pelbagai urusan rasmi perniagaan seperti membuka akaun bank, perjanjian sewa premis, perjanjian kemudahan pinjaman bank dan lain-lain lagi. Sijil Pendaftaran ini hendaklah terus dipamerkan ditempat yang mudah dilihat di pejabat perniagaan utama, dan sijil yang dikeluarkan bagi setiap cawangan perniagaan juga hendaklah dipamerkan ditempat yang mudah dilihat di pejabat cawangan itu.[29]

Sijil Perakuan Pendaftaran ini juga dikenali sebagai Borang D atau orang biasa memmangilnya sebagai lesen perniagaan. Tiap-tiap kepala surat, invois, bil atau lain-lain dokumen yang digunakan oleh sesuatu perniagaan berdaftar yang mengandungi nama perniagaan tersebut hendaklah mempamerkan nombor sijil pendaftaran.[30] Bagi perniagaan yang telah berdaftar, pemilik hendaklah meletakkan papan tanda yang mempamerkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran di luar tempat perniagan[31] (jika perniagaan sudah beroperasi). 

Perniagaan yang Dilarang 

Sebarang perniagaan yang dilarang oleh undang-undang tidak dibenarkan untuk didaftarkan. Pendaftar akan menolak pendaftaran perniagaan yang digunakan bagi tujuan berikut:[32]

  • yang menyalahi undang-undang;
  • tujuan yang memudaratkan; dan
  • tidak bersesuaian dengan keselematan Persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral. 

Pendaftaran perniagaan untuk tujuan yang dilarang seperti di atas boleh dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar.[33]

Kesan Pendaftaran

Selagi seseorang itu direkodkan sebagai sekutuniaga dalam Pendaftaran, hal ini merupakan suatu bukti bahawa dia adalah seorang sekutuniaga perniagaan itu.[34] Sijil pendaftaran perniagaan merupakan suatu bukti bahawa perniagaan itu dimiliki oleh pemilik atau sekutuniaga lain yang namanya tercatat dalam daftar.

Jika seseorang itu bukan sekutuniaga perniagaan tetapi namanya terdapat dalam daftar sebagai seorang sekutuniaga, dia perlulah membuktikan bahawa namanya telah direkodkan dalam daftar atas kesilapan bona fide atau tanpa diketahuinya dan dengan cara menipunya.[35] 

Sekiranya berlakunya kematian seorang sekutuniaga yang telah direkodkan dalam daftar sebagai seorang sekutuniaga, maka wasi atau pentadbir harta si mati yang bertanggungan atas duti harta pusaka yang kena bayar atas si mati hendaklah menghalang daripada dinafikan bahawa:[36]

  • si mati merupakan seorang sekutuniaga perniagaan tersebut; atau
  • butir-butir lain yang didaftarkan atas perniagaan itu adalah benar.

melainkan melalui prosiding dengan cara petisyen di Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa pendaftaran itu telah dilakukan disebabkan kesilapan bona fide atau tanpa diketahui oleh si mati dengan cara menipunya.  

Perakuan pendaftaran atau salinan yang diperakui berkenaan dengan sesuatu perniagaan hendaklah menjadi suatu keterangan prima facie tentang kebenaran fakta-fakta yang terkandung di dalamnya. Namun begitu, keterangan sedemikian  tidak boleh mengahalang mana-mana pihak dalam prosiding untuk membuktikan bahawa seseorang yang namanya tidak didaftarkan merupakan seorang sekutuniaga.[37] Oleh yang demikian, seseorang yang namanya tidak didaftarkan dalam pendaftaran perlu membuktikan bahawa dia merupakan seorang sekutuniaga perniagaan yang didaftarkan itu.

Pembetulan Kesilapan Dalam Daftar

Mungkin terdapat kesilapan butir-butir seperti nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan lain-lain semasa mendaftarkan perniagaan. Kesilapan yang dilakukan dalam merekodkan butir-butir daftar hanya boleh diperbetulkan melalui kebenaran Mahkamah. Pihak Mahkamah boleh mengarahkan Pendaftar supaya membetulkan daftar itu hasil daripada keterangan yang dikemukakan kepada mereka.[38]  

Kesan Tidak Mendaftar dan Hak Menguatkuasakan Kontrak 

Seorang sekutuniaga yang mendakwa bahawa namanya tidak direkodkan dalam daftar, hak sekutuniaga itu di bawah suatu kontrak berhubung dengan perniagaan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan melalui:[39]

  • guaman; atau
  • prosiding undang-undang lain,

sama ada atas nama perniagaan tersebut atau atas nama individu atau selainnya; dengan syarat:

  • mendapatkan relif daripada Mahkamah Tinggi,

Mahkamah boleh memberikan apa-apa relif berdasarkan keingkaran yang disebabkan oleh:

  • tidak sengaja
  • kelalaian
  • orang itu ditipu
  • alasan-alasan lain yang mencukupi, atau
  • atas sebab-sebab yang adil dan saksama untuk diberikan relif sama ada secara umum atau yang berhubung dengan suatu kontrak tertentu sebagaimana yang difikirkan adil dan saksama oleh Mahkamah.

Pemohon boleh meminta supaya daftar yang silap itu (namanya telah tidak didaftarkan sebagai pekongsi dalam daftar perniagaan) diperbetulkan dan Mahkamah boleh membuat perintah yang sewajarnya.[40]

Ketidakpatuhan dan Kesalahan Di bawah Akta 

Seseorang yang sudah mendaftarkan perniagaannya hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang dan peraturan yang dikawal selia oleh APP 1956. Seseorang yang melakukan mana-mana kesalahan-kesalahan seperti di bawah:[41]

  • menjalankan suatu perniagaan tanpa mendaftarkannya;
  • meneruskan perjalanan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran;
  • gagal mematuhi mana-mana saman atau gagal memberi maklumat lebih lanjut kepada Pendaftar;
  • memberikan butir-butir palsu kepada Pendaftar;
  • menghalang Pendaftar membuat pemeriksaan dalam melaksanakan tugas-tugas,

melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

  • tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran di premis-premis perniagaan melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda sebanyak dua ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.[42]

Apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta atau mana-mana peraturan di bawah Akta boleh dikenakan kompaun oleh Pendaftar tidak melebihi lima puluh peratus daripada jumlah denda maksima.[43] 

KEISTIMEWAAN DAN KELEMAHAN PERNIAGAAN MILIK TUNGGAL

Keistimewaan perniagaan milik tunggal:

  • mudah ditubuhkan di samping kos penubuhan yang agak rendah;
  • pemilik mempunyai kuasa dan kawalan penuh atas perniagaannya;
  • kesemua untung perniagaan adalah kepunyaan pemilik;
  • kadar cukai pendapatan yang rendah dan mengikut kadar cukai pendapatan individu;
  • tidak perlu melaporkan penyatakan Kewangan setiap tahun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia; dan
  • hubungan pemilik-pelanggan lebih rapat.

solepropadvantages

Kelemahan perniagaan milik tunggal:

  • perniagaan dan pemilik mempunyai entiti yang sama;
  • pemilik mempunyai tanggungan yang tidak terhad ke atas semua hutang-piutang perniagaan;
  • sukar mendapatkan pinjaman yang besar daripada institusi kewangan atau pelabur lain;
  • jika pemilik hilang keupayaan, kemungkinan perniagaan akan gagal adalah tinggi;
  • semua kuasa dan kawalan perniagaan di tangan pemilik, oleh itu beban kerja yang ditanggung pemilik adalah berat; dan
  • mati pemilik matilah perniagaannya, tidak wujud konsep entiti yang boleh diwarisi seperti syarikat.

KESIMPULAN 

Perniagaan milik tunggal sangat sesuai untuk usahawan yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan pada peringkat awal. Hal ini disebabkan oleh entitinya yang bersifat ‘pemilik-pengurus’, memerlukan pelaburan modal yang kecil, risiko yang rendah dan pemilik mempunyai kawalan penuh atas perniagaannya. Jika seseorang itu mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang perniagaan yang ingin diceburinya, mempunyai pengetahuan perniagaan (boleh diperolehi dengan menghadiri kursus-kursus perniagaan), modal permulaan yang mencukupi dan takutkan risiko, maka perniagaan milik tunggal merupakan jenis organisasi yang paling sesuai untuk beliau. Perniagaan milik tunggal mudah ditutup, tambahan pula ia tidak melibatkan apa-apa kos jika perniagaan itu hendak ditutup.

Bagi mengembangkan lagi perniagaan pada masa hadapan, pemilik sudah tentu memerlukan tambahan modal daripada pihak pelabur. Lazimnya, bagi pinjaman berjumlah besar, pihak institusi kewangan meletakkan beberapa syarat kepada peminjam untuk tujuan mengurangkan risiko hutang yang tidak berbayar. Antara beberapa syarat yang ditetapkan ialah; had pembiayaan sehingga 70 peratus sahaja, perlukan cagaran, kerja-kerja kontrak dengan kerajaan sahaja, memerlukan syarikat sendirian berhad dan lain-lain. Pihak peminjam hendaklah bersedia untuk memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan jika dia mengharapkan pinjaman itu diluluskan.


Sebarang pertanyaan sila hubungi: http://AccounTaxCosec.wasap.my/

[1] Seksyen 4, Jadual Pertama APP 1956.

[2] Seksyen 13 Akta Syarikat 2016

[3] Seksyen 5(1) APP 1956

[4] Kaedah 17, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957

[5] op. cit.

[6] Kaedah 3(1) KPR 1957

[7] Kaedah 3(2) KPR 1957

[8] Seksyen 5(2) APP 1956

[9] Jadual Kedua, Kaedah 19, KPP 1957

[10] Seksyen 5(3) APP 1956

[11] Seksyen 5(4) APP 1956

[12] Seksyen 5(6) APP 1956

[13] Seksyen 5(8) APP 1956

[14] Seksyen 5A(1) APP 1956

[15] Kaedah 5(1) KPP 1957

[16] Seksyen 5A(2) APP 1956

[17] Seksyen 5A(5) APP 1956

[18] Seksyen 5A(4) APP 1956

[19] (a) dan (b), Seksyen 5B(3) APP 1956

[20] Kaedah 6(2) KPP 1957

[21] Kaedah 6(3) KPP 1957

[22] Seksyen 5B(1) APP 1956

[23] Kaedah 6(1) KPP 1957

[24] Seksyen 5D(1) APP 1956

[25] Seksyen 5D(2) APP 1956

[26] Kaedah 7(1) KPP 1957

[27] Kaedah 7(3) KPP 1957

[28] Seksyen 5F APP 1956

[29] Seksyen 11A APP 1956

[30] Kaedah 13(2) KPP 1957

[31] Kaedah 13A(1) KPP 1957

[32] Seksyen 5C(1) APP 1956

[33] Seksyen 5C(2) APP 1956

[34] Seksyen 6(1) APP 1956

[35] ibid.

[36] Seksyen 6(2) APP 1956

[37] Seksyen 6(4) APP 1956

[38] Seksyen 7 APP 1956

[39] Seksyen 8 APP 1956

[40] Seskyen 8(3) APP 1956

[41] Seksyen 12(1) APP 1956

[42] Seksyen 12(2) APP 1956

[43] Seksyen 14(1) APP 1956


 

Similar Posts