gst-incometax

Konsep Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dicipta oleh pegawai-pegawai cukai dari Perancis dalam tahun 1950. Sesetengah negara ia lebih dikenali sebagai Cukai Tambahan Nilai (Value Added Tax (VAT)). Pada masa sekarang, terdapat lebih daripada 160 buah negara, termasuk Kesatuan Negara-negara Eropah dan negara-negara di Asia seperti Sri Lanka, Singapura dan China mengamalkan percukaian ini. Pada amnya, 90 peratus daripada penduduk dunia tinggal dalam negara yang mengamalkan GST.

GST merupakan sejenis cukai pelbagai peringkat dan dikenakan  atas nilai tambah penggunaan domestik. Secara ringkasnya, GST akan dikenakan terhadap, pertama; semua barang dan perkhidmatan boleh dicukai di Malaysia, kecuali barang dan perkhidmatan yang telah diberikan pengecualian khusus. Kedua,  GST juga dikenakan atas pengimportan barang atau perkhidmatan ke Malaysia.

Dalam GST, cukai yang dikenakan akan dikira menurut peringkat-peringkat tambahan nilai, iaitu bermula daripada peringkat pengilangan, kemudian dijual kepada pemborang, selepas itu dijual kepada syarikat pengedar sebelum sampai ke tangan pengguna. Walaupun cukai perlu dibayar di peringkat kilang, pemborong dan peruncit, akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Disebabkan cukai akhir ditangggung oleh pengguna, maka GST bukanlah merupakan tanggungan kos kepada syarikat perantara (pengilang, pemborang dan peruncit). Malahan, GST dapat mengurangkan kos-kos perniagaan seseorang disebabkan kebolehannya menuntut kembali cukai input yang ditanggung oleh perniagaannya.

SEJARAH DAN KRONOLOGI VAT/GST

Sejarah GST bermula di negara-negara Eropah, yang mana ia lebih dikenali sebagai VAT (Value Added Tax) pada tahun 1954. Sejarah cukai yang dibincangkan hanya menyentuh sejarah ringkas perkembangan VAT/GST di dunia daripada mula sehinggalah sekarang.

Sejarah VAT/GST

Cukai merupakan antara bidang ilmu tertua yang sudah bermula sejak 2500 BC lagi, iaitu di zaman kerajaan Firaun, Greece dan juga Rom. Kemudian sistem cukai yang lebih moden telah dijalankan oleh Great Britain semasa di bawah pemerintahan Empayar Rom pada abad ke 11. Sejak zaman dahulu lagi, cukai dikaitkan dengan hubungan rakyat sesebuah negara dengan Raja atau pemerintah. Raja-raja akan memungut cukai daripada rakyat secara paksa dalam bentuk permata, binatang ternakan, mata wang dan lain-lain. Mereka yang ingkar membayar cukai akan dibunuh atau dipenjara.

picgst-wp

Cukai nilai ditambah (VAT) telah pertama kali diperkenalkan diperingkat nasional di Perancis pada tahun 1954. Walaupun begitu, idea asal VAT adalah hasil cetusan pemikiran sama ada daripada Wilheim Von Siemen (1918) seorang ahli perniagaan German, ataupun oleh Thomas S. Adam seorang ahli ekonomi Amerika Syarikat (1910-1921). Walau bagaimanapun, peringkat awal perlaksanaan VAT dijalankan oleh Perancis, tetapi sangat terhad disebabkan mereka menumpukan sepenuhnya kepada sektor peruncitan sehinggalah pada tahun 1967. Sistem VAT sepenuhnya di Eropah telah digubal oleh Denmark pada tahun 1967 walaupun ia bukannya dalam kalangan negara anggota Komuniti Kesatuan Eropah (EEC) sehinggalah pada 1973.

Kemudian, penerimaan VAT telah berkembang pesat dan perkembangan ini berlaku dalam tiga fasa, iaitu:

Fasa pertama:

VAT telah dipelopori oleh Peranchis pada 1954 dan diikuti oleh Denmark pada 1967. Kemudian, berkembang perlahan-lahan dalam lingkungan negara-negara Eropah Barat dan Latin Amerika disekitar tahun 1960an dan 1970an. VAT terus merebak luas di sekitar Eropah Barat disebabkan oleh arahan yang menghendaki ahli-ahli EEC menerima pakai VAT yang harmoni atas kemasukan mereka ke Kesatuan Eropah.

inputax

Fasa kedua:

Dalam tempoh 1970-1980an VAT terus diterima dengan meluas dalam kalangan negara-negara perindustrian utama di luar Kesatuan Eropah seperti Australia, Kanada, Jepun dan Switzerland. Fasa ini juga menyaksikan pembangunan pesat VAT terutamanya dalam kalangan negara-negara ekonomi transisional dan negara-negara membangun dalam wilayah Afrika dan Asia.

International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia memainkan peranan utama dalam mempengaruhi negara-negara tersebut untuk melaksankan VAT. Pembuat polisi dan agensi-agensi dari Amerika Syarikat juga memainkan peranan amat penting dalam mempromosikan VAT. Walaupun Amerika Syarikat terlibat aktif dalam pelaksanaan VAT, usaha-usaha oleh Shoup Mission memperkenalkan VAT semasa pasca Perang Dunia Kedua menemui kegagalan. Ironinya, walaupun pakar-pakar polisi cukai Amerika Syarikat begitu kehadapan dalam hal-hal mengeksport pembaharuan cukai ke luar negara, namun mereka sendiri enggan melaksanakan VAT.

Fasa Ketiga:

VAT terus berkembang ke serata dunia selepas tahun 1980an apabila negara-negara Asia Tenggara dan Asia Barat turut melaksanakannya. Jadual 1.09 menunjukkan tahun negara-negara Asia Tenggara melaksanakan GST. Malaysia adalah antara negara yang paling lewat melaksanakan GST, iaitu pada tahun 2014. Merujuk status terkini, terdapat 160 negara telah melaksanakan sistem VAT/GST di seluruh dunia (sila lihat Jadual 1.01 di bawah).

Menurut Laporan Ekonomi 2012/13, skop asas cukai pendapatan di Malaysia terlalu terhad di mana hanya 11% daripada syarikat yang berdaftar dan 14.8% pekerja-pekerja yang membayar cukai. Jumlah 1.7 juta orang pembayar cukai berbanding dengan 12 juta orang tenaga kerja meletakkan kutipan cukai pendapatan berada pada jumlah yang sangat kecil.[2]     

negara GST

Tambahan pula, sebelum ini Kerajaan terlampau bergantung kepada pendapatan hasil petroleum yang menyumbangkan sebanyak 33% daripada pendapatan keseluruhan.[3] Oleh itu, Kerajaan harus mencari alternatif lain untuk menambahkan lagi pendapatan negara yang semakin berkurangan dengan cara pelaksanaan GST.  Menyedari hakikat ini, GST mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2014 selepas ia pertama kali diperkenalkan kepada orang ramai semasa Bajet 2005 yang dibentangkan di Parlimen.

Kronologi GST di Malaysia

GST telah mula diperkenalkan kepada awam dalam Bajet 2005 dan dirancang untuk dilaksanakan pada 1 Januari 2007 bagi menggantikan Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Pada 22 Febuari 2006, Menteri Kewangan II Malaysia telah menangguhkan pelaksanaan GST disebabkan untuk memberikan tempoh persediaan yang cukup kepada sektor perniagaan, khususnya daripada aspek keupayaan berubah dalam proses perniagaan, pembangunan perisian dan juga latihan kakitangan.

Pada 16 Disember 2009, Bil GST pertama kalinya telah dibaca oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat. Pada 13 Mac 2010 bacaan kali kedua Bil GST telah ditangguhkan disebabkan ketidaksediaan masyarakat umum dan kritikan daripada pelbagai pihak, justeru perlaksanaan GST telah ditangguhkan lagi.

Pada 14 March 2012, Menteri Kewangan II Malaysia telah mengumumkan penangguhan perlaksanaan GST sekali lagi. Hal ini bagi membolehkan pihak Kerajaan melaksanakan GST merangkumi semua segmen rakyat, iaitu dengan mengambil kira kepentingan dan kebajikan masyarakat dalam memastikan perlaksanaan GST kelak dapat diterima. Pihak Kerajaan juga mengakui kepentingan GST dapat mengukuhkan dan mengekalkan lagi kedudukan fiskal negara dalam menyokong pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang.

Kemudian, dalam Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan I Malaysia pada 25 Oktober 2013 di parlimen, beliau  telah mengumumkan bahawa GST akan mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015.

[Artikel di atas adalah petikan daripada buku saya berjudul Amalan GST di Malaysia terbitan DBP, yang akan terbit tidak lama lagi]


Nota kaki:

[1] http://gst.customs.gov.my/en/gst/Pages/gst_bg.aspx, pada 13 Sept 2013.

[2] Veerinderjit Sing, Malaysian Business, halaman 60, 16 Julai 2013.

[3] ibid.


@ Hakcipta Kama Godin 2018

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau  cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada pengarang.

Similar Posts