biznestraining1

Sifat-sifat ‘ideal’ perlu wujud dalam sesuatu perniagaan. Ketiadaan sifat-sifat yang ideal boleh menyebabkan usahawan berasa penat, bosan dan tertekan yang berpanjangan. Sifat-sifat ideal yang saya bincangkan ini boleh diguna pakai sebagai ‘perisa’ untuk penambahbaikan sifat-sifat perniagaan yang sudah sedia wujud. Dalam artikel ini, maksud perniagaan yang  ideal ialah:

  • seseorang itu tidak ditunggangi oleh perniagaannya sendiri sehingga hilang waktunya untuk berkeluarga, hobi dan sebagainya;
  • perniagaan yang dijalankan itu sangat stress, risiko yang sukar dikawal, sehingga boleh mendatangkan akibat buruk kepada kesihatan dan perniagaan jika diteruskan dalam jangka masa panjang.

Objektif artikel ini ialah untuk berkongsi pengetahuan dengan sesiapa sahaja supaya mereka dapat menjalankan perniagaan secara lebih menguntungkan, di samping pada masa yang sama mampu hidup gembira dengan pelbagai nikmat hasil daripada pulangan usaha sekian lama. Elemen-elemen ideal yang dibincangkan di bawah boleh di ‘plug-in’ dalam mana-mana perniagaan dengan tujuan dapat menambahkan lagi ‘wow factor’ perniagaan tersebut.  Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya selama 30 tahun dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, berikut saya sintesiskan dua belas pertimbangan sifat-sifat perniagaan yang ideal, seyogia penulisan ini dapat dimenfaatkan oleh pembaca sekelian. 

Permintaan yang Tinggi dan Berterusan

Seseorang boleh fikirkan suatu jenis perniagaan yang sangat diperlukan oleh hidupan bernyawa, syarikat, ataupun sejenis barang atau perkhidmatan yang berkembang menurut pertambahan penduduk. Dalam erti kata lain, manusia sangat memerlukan barang atau perkhidmatan tersebut, tanpanya kehidupan manusia tidak lengkap atau boleh menyebabkan kematian. 

Kebanyakan barang atau perkhidmatan yang tinggi permintaannya terdiri daripada barang atau perkhidmatan keperluan asas manusia seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan, kenderaan, perhubungan, dan lain-lain. Didapati perniagaan seperti ini banyak persaingan disebabkan kewujudannya dimerata tempat atau di mana-mana sahaja. Walaupun begitu, tidak semestinya seseorang usahawan itu tidak boleh memasuki pasaran barang-barang yang homogenous. Hal ini disebabkan masing-masing boleh menampilkan keunikan barang atau perkhidmatan, letak harga, strategi pemasaran dan juga perkhidmatan pengguna yang berbeza.

Produk lain yang mempunyai permintaan tinggi termasuklah barang penggenap, pengganti, dan barangan mewah. Misalnya, apabila kita memilki kereta, sudah pasti perlukan perkhidmatan servis dan baik pulih secara berkala. Atau perkhidmatan ketuk dan cat kereta sebagai barang penggenap. Hal ini berkadar terus dengan pertambahan jumlah kemalangan jalan raya yang sentiasa berlaku. Lebih banyak kemalangan jalan raya berlaku, maka lebih banyaklah perkhidmatan ketuk dan cat kereta diperlukan. Barang pengganti pula memerlukan penyelidikan dan pembangunan ataupun pembelian teknologi baru. Misalnya, sebuah badan penyelidikan telah berjaya menghasilkan gula tebu hitam untuk mengurangkan diabetes sebagai pengganti gula, teknologi elektrik (kereta hibrid) menggantikan minyak petrol, keperluan sayur-sayuran organik (bebas daripada racun serangga dan bahan kimia berjadual) dan lain-lain. Jelasnya, barang-barang mesra alam (bebas daripada sisa toksid atau yang tidak boleh dilupus) menjadi bahan pengganti yang sangat dikehendaki oleh pasaran bagi menggantikan plastik dan getah. 

Barang mewah juga mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk berpendapatan tinggi. Terdapat kecenderungan dalam corak permintaan barangan daripada barang biasa kepada barang mewah apabila pendapatan penduduk semakin bertambah. Begitu juga dengan peminat barang-barang antik yang dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi. Permintaan barang mewah dan antik tidak terjejas kepada kenaikan harganya. Misalnya, walaupun kereta mewah dan batu permata mengalamai kenaikan harga, tetapi jumlah kuantiti permintaan barang tersebut semakin meningkat. Namun begitu, jika pendapatan pengguna jatuh, barulah permintaan ke atas barang mewah turut jatuh.  

Lazimnya, bidang perkhidmatan tidak menggunakan stok barangniaga atau sedikit sahaja stok tetapi menggunakan kemahiran seseorang dalam menghasilkan pendapatan. Golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, jurutera, juruaudit dan lain-lain memperolehi pendapatan secara menjual perkhidmatan. Perkhidmatan yang dihasilkan oleh golongan professional, dikategorikan sebagai barang keperluan dan barang mewah, iaitu pengguna sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkannya pada bukan harga pesaing. Namun begitu, perkhidmatan golongan profesional dibayar dengan harga yang tinggi oleh pengguna, dan ciri mesti dibayar ini menyebabkan ianya merupakan ciri barang-barang mewah.   

Di samping itu, usahawan juga boleh melibatkan diri dalam perniagaan penjagaan kesihatan dan kecantikan, spa, pusat tuisyen, pengangkutan, keselamatan harta, pelbagai jenis perkhidmatan perundingan dan lain-lain. Barang-barang tersebut tergolong dalam kategori barang biasa atau keperluan, maka sudah tentu boleh mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna. Hal ini disebabkan paras harga barang tidak lagi mempengaruhi pengguna, dan mereka sanggup berbelanja untuk mendapatkannya. Tambahan pula, pengguna menganggap barang atau perkhidmatan tersebut merupakan suatu keperluan dalam kehidupan mereka. Misalnya, produk-produk seperti penjagaan kesihatan seperti facial, pengurusan berat badan, pencegahan penyakit, menaikkan libido dan melambatkan proses penuaan sudah menjadi suatu kemestian dalam kalangan penduduk Malaysia. Begitu juga dengan barang-barang dan perkhidmatan keselamatan seperti CCTV, perakam video, pintu pagar automatik atau penggera automatik kini menjadi barang keperluan untuk keselamatan isi rumah.

Mudah Dibaiki dan Mendapat Alat Ganti

Sesuatu barang yang dibeli pasti rosak dan perlu dibaiki semula. Pada hakikatnya, tiada siapapun yang ingin membeli barang yang mudah rosak dan perlu dibaiki berkali-kali. Pastikan barang yang hendak dijual tidak mudah rosak, jika rosakpun, pastikan ia boleh dibaiki atau diganti bahagian yang rosak tersebut. Namun begitu, terdapat banyak produk yang dijual mudah rosak, tidak boleh dibaiki kembali dan tiada alatan ganti, misalnya gajet permainan kanak-kanak dan barang-barang beharga rendah. Walau bagaimanapun, kebanyakan alat ganti sekarang lebih berbentuk alat pakai buang. Jika rosak, buang alatan yang rosak dan diganti dengan alatan yang baharu.

inputax

Kebiasaannya, barang-barang beharga rendah tidak mempunyai kualiti dan waranti. Pengguna pula memang faham bahawa produk yang dibelinya boleh rosak pada bila-bila masa dan mereka dapat menerimanya. Bagi barang-barang pengguna yang berkualiti, lazimnya terdapat suatu lambang ‘sirim’ sebelum ianya boleh dijual dipasaran. Hal ini disebabkan pengguna dilindungi oleh undang-undang melalui Akta Perlindungan Pengguna 1999, terutamanya dalam aspek keselamatan produk yang digunakan.

Bagi barang-barang elektrik, elektronik, kereta motor dan produk ICT memang mudah mendapatkan perkhidmatan baikpulih dan alat ganti disebabkan kedapatan pusat-pusat perkhidmatan mereka sendiri. Ketiadaan alat-alat ganti boleh menyebabkan sesuatu barang tidak boleh berfungsi, dan pengguna akan berhenti daripada menggunakannya. Hal ini sering terjadi kepada barang-barang ICT disebabkan teknologinya berubah begitu pantas. Contohnya, kemasukan model-model baharu pencetak, skrin komputer dan TV, telefon mudah alih, mesin-mesin elektrik dan elektronik, kereta motor dan lain-lain menyebabkan alat-alat ganti model lama sudah tidak wujud lagi dipasaran. Akibatnya, pengguna terpaksa membeli model baharu disebabkan pengeluar melupuskan model yang lama. Sebenarnya, pengeluar-pengeluar sengaja menamatkan hayat sesuatu produk mereka dalam jangka masa yang singkat dan menggantikannya dengan model lain disebabkan oleh persaingan dan inovasi. Produk lama dianggap sudah usang, tidak bernilai lagi dan tidak mempunyai ‘trade-in’ value.

Tidak Menyimpan Stok yang Banyak

Perniagaan bercorak tidak menyimpan stok sangat baik untuk diceburi. Stok cuma disimpan sama ada atas sebab-sebab untuk menggantikan barang yang rosak atau atas pesanan para pelanggan sahaja. Bagaimana pula dengan perniagaan yang bercorak membekalkanan barang-barang? Perniagaan sebegini memerlukan ruang tempat meletak dan menyimpan stok barang niaga yang besar, contohnya seperti pasar mini, butik pakaian, kedai dan bilik pameran perabot, bilik pameran dan jualan kereta motor dan lain-lain. Stok barang niaga memerlukan modal pusingan yang tinggi disebabkan oleh pihak pembekal perlukan bayaran tunai, ataupun kemudahan kredit selama 1-3 bulan. Kemudian, terdapat juga stok-stok yang tidak habis dijual, dan telah melewati tempoh luput.  Ada juga stok yang sudah usang, dan perlu dilupuskan dengan mengadakan jualan harga runtuh.

Suatu ketika dahulu, seorang sahabat pernah menjadi pengedar satu produk makanan kesihatan yang berasaskan pati lebah madu berwarna hitam yang di import dari China. Pada permulaannya, produk tersebut sangat laris dan beliau menyimpan banyak stok tersebut dalam rumahnya. Kemudian, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat sebuan ke premis pengimpot stok tersebut dan mendapati bahawa produk tersebut adalah tiruan dan disiarkan dalam akhbar tempatan. Akibatnya, beliau telah mengalami kerugian besar disebabkan stok barang niaganya tidak dapat dijual lagi. Kesimpulannya, terdapat tiga kelemahan dalam perniagaan yang berasaskan stok barang niaga, pertama; ia memerlukan modal pusingan (wang tunai) yang tinggi untuk membeli barang-barang sedangkan kita belum lagi habis menjualnya. Kedua, perniagaan sebegini memerlukan stor atau gudang untuk menyimpannya. Ketiga, stok barang niaga yang luput tempoh akan menjadi usang jika tidak dapat dijual dalam jangka masa yang lama, sedangkan ia tidak boleh dipulangkan semula kepada pembekal.

Bilangan Pekerja yang Minimum

Bilangan pekerja yang ramai bukanlah menunjukkan bahawa sesuatu perniagaan itu baik. Tambahan pula, mendapatkan pekerja yang baik bukanlah suatu perkara mudah. Misalnya, seorang usahawan yang mempunyai dua orang pekerja sahaja, tetapi memperolehi keuntungan beratus ribu sebulan! Berbeza dengan seorang usahawan lain yang mempunyai hampir 100 orang pekerja di bahagian servis dan baik pulih pondok telefon (15 tahun dulu) yang hanya memperolehi margin keuntungannya disekitar 10-15 peratus sahaja. Usahawan terpaksa menghadapi masalah-masalah pekerja yang ramai; seperti, bayaran KWSP dan SOCSO, pekerja ponteng dan bergaduh, kehilangan barang dan peralatan serta sukar untuk mengawal kerenah mereka.

Di negara-negara maju, ramai usahawannya menjalankan perniagaan menggunakan modal insan berasaskan ilmu pengetahuan dan tidak terlalu bergantung kepada jumlah pekerja yang ramai. Teknologi ICTM telah menukarkan perniagaan yang lebih berorientasikan manual kepada penggunaan modal insan yang berilmu. Dalam ekonomi berdasarkan ilmu (knowledge economy), usahawan  mampu mencipta pelbagai produk inovasi baharu yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia. Oleh itu, walau pun mempunyai bilangan pekerja yang sedikit, mereka mampu menghasilkan pendapatan lumayan disebabkan produk yang dihasilkan berorientasikan teknologi, kreativiti dan inovasi. Tidak hairanlah, terdapat banyak produk yang dicipta oleh negara-negara maju, tetapi produk tersebut dikilangkan di China, India atau Vietnam.   

Urusniaga Tunai

Perniagaan jenis bayaran tunai di Malaysia majoritinya dikuasai oleh orang-orang Cina. Lihatlah sendiri perniagaan ‘copy cat’ seperti kedai gambar, salon rambut, kedai kain-baju, kedai barangan elektrik, servis kereta motor, kedai-kedai berasaskan hobi seperti ikan hiasan, peralatan memancing, peralatan golf dan lain-lain majoritinya dikuasai oleh orang-orang Cina. Perniagaan sebegini dapat bertahan lama di samping mereka boleh menukar kepada perniagaan lain pada bila-bila masa jika mengalami kerugian. Hal ini disebabkan oleh ciri-ciri perniagaan copy cat yang tidak memerlukan tahap kemahiran yang tinggi, mudah untuk kendalikan, dan risiko yang rendah. 

Jumlah pegangan wang tunai di tangan merupakan kekuatan sesebuah perniagaan. Transaksi dalam jualan barang secara tunai membolehkan usahawan mengumpul wang tunai daripada hasil jualan setiap hari. Pada masa yang sama, jika pembekal yakin dan percaya dengan prestasi perniagaan seseorang usahawan, mereka berani memberikan kemudahan kredit secara pembayaran back-to-back atau 30-90 hari kredit. Untung bersih terkumpul boleh digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan secara menambahkan volum barang-barang yang laris, menambah kepelbagaian barang atau menurunkan harga barang-barang berbanding dengan pesaing.   Di samping itu juga, perniagaan jenis jualan tunai turut mampu mempercepatkan lagi pencapaian objektif umum seorang usahawan, iaitu memasuki alam kebebasan kewangan dalam usia yang muda melalui perancangan kewangan yang rapi.

Pendapatan Berganda dan Berterusan

Pendapatan boleh dibahagikan kepada pendapatan linar dan juga pendapatan berganda. Golongan pekerja makan gaji mendapat kenaikan pendapatan linar yang pasti setiap tahun. Usahawan  pula menghasilkan pendapatan yang berganda, namun begitu, belum pasti ianya boleh diperolehi secara berterusan. Pendapatan berganda misalnya, pada bulan Mac perniagaan menjana keuntungan bersih sebanyak RM5,000; pada bulan April sebanyak RM8,000; pada bulan Mei sebanyak RM13,000 dan seterusnya naik berganda-ganda. Pendapatan yang berterusan atau pasif pula bermaksud, walaupun seseorang usahawan itu sudah tidak lagi menjalankan perniagaan, beliau masih menikmati pendapatan dalam bentuk perkongsian untung, pulangan pelaburan, juga sewaan harta tanah. 

Pendapatan berganda diperolehi melalui jualan yang berganda. Jualan yang berganda pula bergantung kepada jumlah pelangan yang berganda. Sekiranya sesuatu perniagaan berjaya menarik ramai pelanggan, secara umumnya semakin bergandalah pendapatannya. Jumlah pendapatan yang berganda juga boleh dihasilkan dengan cara menambah volum produk, membuka cawangan dan menambah variasi produk supada dapat meningkatkan lagi jumlah jualan.

Perniagaan Berbentuk Monopoli

Terdapat juga produk atau perkhidmatan yang kawal oleh seorang pembekal atau pengeluar sahaja di Malaysia. Jika barang tersebut diimpot, usahawan boleh mendapatkan hak pengedaran tunggal di Malaysia atau pun dilantik sebagai pemegang franchisor tunggal.  Produk atau perkhidmatan monopoli memudahkan usahawan untuk mendapatkan pengedar atau pemborong pada harga bukan pesaing. Bagi pemegang franchisor tunggal, usahawan boleh melantik ramai franchisee diseluruh negara. Usahawan boleh mendapatkan pelbagai maklumat produk-produk franchise di seluruh dunia melalui MATRADE, persatuan-persatuan perniagaan, internet atau majalah-majalah perniagaan dan menyertai ekspo-ekspo perdagangan antarabangsa di luar negara.

Produk atau perkhidmatan monopoli juga mudah untuk dikembangkan dengan melantik rakan kongsi strategik seperti rangkaian peruncitan, pasaraya, pasaraya super, pasaraya hiper, bank perdagangan, syarikat penerbangan, syarikat-syarikat telekomunikasi dan lain-lain. Oleh kerana monopolis bebas mengawal tingkat harga, barang atau perkhidmatannya tidak mempunyai pesaing. Dalam jangka masa yang singkat sahaja monopolis mampu melipat gandakan jualan mereka dengan melantik pengedar-pengedar ke seluruh Malaysia. 

Pelaburan Pramula Perniagaan yang Rendah

Usahawan yang bijak selalu menggunakan wang orang lain untuk memulakan perniagaanya. Sebagai contohnya, seorang usahawan di Sarawak yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual buah kelapa sawit. Beliau tidak mempunyai wang pusingan yang cukup! Beliau bertindak berani meminjam wang daripada beberapa orang individu yang dikenalinya. Lebih teruk lagi apabila beliau juga tidak mempunyai lori untuk mengangkut buah kelapa sawit dan juga tidak memiliki lesen memandu lori! Usahawan ini menyewa lori dengan pemandunya sekali gus. Hal ini memudahkan beliau membeli buah kelapa sawit di kampung-kampung dan menjualkannya semula kepada pengilang-pengilang minyak kelapa sawit di bandar-bandar. Pinjaman wang akan dibayar semula kepada kawan-kawannya selepas beliau mendapat hasil daripada jualannya. Dalam tahun kedua perniagaannya, beliau berjaya memperolehi jualan RM1.5 juta dengan margin keuntungan bersih 15 peratus daripada jumlah jualan. Fantastik!

Jumlah pelaburan yang minimum memang perlu untuk memulakan sesuatu perniagaan. Namun begitu, teori pelaburan menyatakan bahawa pulangan mempunyai hubungan terus dengan risiko, iaitu, jika usahawan inginkan pulangan yang tinggi, maka risiko yang ditanggung juga adalah tinggi. Dalam mencari modal pramula perniagaan, seseorang usahawan perlu mengelakkan daripada mencagarkan rumahnya untuk mendapatkan modal. Lebih baik mulakan perniagaan dengan menggunakan sebahagian daripada simpanan, dan jalankan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Jangan fikirkan sangat tentang saiz perniagaan, yang penting sekali ialah perniagaan tersebut mendatangkan pulangan tunai setiap hari. 

Perniagaan yang Bersifat Global

Perniagaan yang bersifat global bermaksud barang atau perkhidmatan boleh di ketengahkan merentasi sempadan dan benua serta dapat diterima oleh masyarakat antara bangsa. Kemudian, perniagaan yang bersifat gobal tidak tertakluk kepada suasana iklim dan bangsa yang berbeza. Misalnya, sesuatu produk yang dijual tidak dapat berfungsi dengan baik di negara yang beriklim sejuk. Atau, baju pyjamas tidak digunakan dinegara yang beriklim panas. Dalam konteks Malaysia, produk berasaskan makanan perlulah memiliki logo halal supaya ianya dapat dibeli oleh orang-orang Islam.

Produk Teknologi atau Inovasi Baru

Barang atau perkhidmatan berteknologi dan berinovasi baru sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.  Dengan menggunakan kemahiran individu yang berbeza, usahawan mampu mencipta pelbagai produk-produk terkini bagi memenuhi kehendak dan cita rasa pengguna. Usahawan dan pekerja yang berpengetahuan mempunyai potensi daya maju perniagaan yang tinggi sekiranya mereka berjaya mencipta sesuatu, misalnya, produk farmaseutikal yang mampu merawat pesakit HIV, kanser, diabetes, mati pucuk, strok, gaut dan lain-lain. Tambahan pula, masyarakat pada hari ini sangat menitikberatkan aspek kecantikan dan penjagaan kesihatan. Tidak hairanlah, produk dan perkhidmatan pengurusan berat badan dan kecergasan, kecantikan dan penjagaan kesihatan, teknoloji hijau, teknologi sensor, pendidikan swasta, pelancongan perubatan, dan lain-lain sudah sinonim dalam kalangan pengguna yang mengambil endah.

Begitulah juga dengan keadaan barang atau perkhidmatan yang sudah tersedia dipasaran, ianya perlu dimasukkan dengan teknologi atau inovasi baharu supaya tidak mudah lapok atau rosak. Bagi usahawan yang sudah tersedia  dipasaran, aspek teknoloji dan inovasi produk perlu diberi keutamaan yang berterusan disebabkan ia mempengaruhi jangka hayat suatu perniagaan.  

Menggunakan E-Dagang dan Web

Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat telah mendatangkan kesan yang amat ketara dalam peningkatan transaksi e-dagang. Dalam abad millennium ini, pengeluar dan pengguna boleh berinteraksi melalui medium Web 1.0 dan Web 2.0. Pakar IT mengklasifikasikan bahawa teknologi Web 1.0 terdiri daripada pembinaan dan penggunaan laman web dan juga blog. Disebabkan teknologi internet semakin pantas berkembang, maka medium Web 2.0 (dipopularkan oleh Tim O’Reilly dalam tahun 2005) dibina supaya dapat digunakan dengan lebih mudah oleh semua orang, walaupun tanpa mempelajarinya dibilik kuliah. Dalam era Web 2.0, muncullah laman-laman sosial seperti facebook, twitter, wechat, linkedin, instagram, youtube dan lain-lain. Medium media sosial mudah dikendalikan, dan seperti juga dengan laman web, ia dapat bertindak sebagai jurucakap atau jurujual senyap yang bekerja untuk usahawan keseluruh dunia selama 24 jam tanpa henti. Di samping itu, penyedia perkhidmatan Web 2.0 memberikan perkhidmatan asas membuka akaun dengan percuma, dan mengenakan perkhidmatan minimum bagi tujuan promosi dan pemasaran tanpa batasan. Web 2.0 berupaya bekerja ketika anda tidur, makan atau melancong. Kemudian, Web 1.0 pula dapat memudahkan lagi proses transaksi jualan, dan pesanan, iaitu pembeli tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke premis perniagaan.

Penggunaan teknologi internet seperti Web 1.0 dan Web 2.0 mampu memberikan gambaran bahawa anda merupakan seorang yang bijak teknologi. Medium alaf baru mempunyai kuasa mengubah lanskap perniagaan yang diuruskan secara tradisional kepada berdagang atas talian, di mana pembeli atau pengguna menganggap diri mereka canggih dan ‘ada kelas’ disebabkan mampu membeli belah dialam maya.

Kebal Daripada Kemelesetan Ekonomi

Kemelesetan ekonomi serantau dan dunia merendahkan kuasa beli rakyat sesebuah negara. Komuniti perniagaan mengalami pengurangan permintaan atau perkhidmatan disebabkan pengguna tidak berbelanja dan menyimpan wang untuk tujuan awasan. Sikap pengguna yang tidak berbelanja menyebabkan ekonomi bergerak terlalu perlahan. Namun begitu, terdapat juga produk dan perkhidmatan yang kebal daripada kesan kejatuhan ekonomi serantau. Agak sukar untuk menyatakan sesuatu perniagaan itu kebal daripada kemelesetan ekonomi melainkan dengan membuat pemerhatian khusus ke atas jenis-jenis perniagaan yang wujud sebelum kemelesetan dan selepas kemelesetan ekonomi berlaku.

Ketika ekonomi meleset, sektor perniagaan copy-cat dapat bertahan disebabkan produknya yang sangat diperlukan oleh orang ramai, disamping usahawan dapat menikmati hasil jualan tunai setiap hari. Jika diperhatikan, jenis perniagaan ini banyak dikuasai oleh orang-orang Cina di kawasan-kawasan bandar. Boleh dikatakan, sesiapa sahaja yang cepat menerokai perniagaan tersebut  dalam sesuatu kawasan perbandaran, maka mereka akan menguasai pasaran di tempat itu. Walau bagaimanapun, jenis-jenis perniagaan tersebut perlu diubahsuai terlebih dahulu supaya ianya mempunyai keunikan tersendiri. Tambahan pula, transaksi jualan berasaskan tunai, mudah dikendalikan dan pasaran yang terbuka luas (tidak bergantung kepada pelanggan tertentu sahaja) menyebabkan sesuatu perniagaan copy-cat itu dapat bertahan lama.

Kesimpulan

Bidang perniagaan sukar untuk dipertahankan hayatnya dalam jangkamasa yang lama. Seseorang usahawan perlu memerhatikan disekelilingnya, terutamanya tren pengguna masa kini, dan mestilah sanggup berubah mengikut tren tersebut.. Elakkan suatu perniagaan yang menyusahkan, atau jika perlu, ubahsuai semula model perniagaan lama supaya menjadi lebih lestari, inovatif dan futuris. . Plug-in mana-mana sifat-sifat perniagaan yang ideal di atas, ubahsuai jika perlu dan akhirnya pastikan perniagaan itu mengembirakan! 


@ Hakcipta Kama Godin 2018

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau  cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada pengarang.

Similar Posts