sphinx

Syarikat berhad menurut jaminan bermaksud liabiliti ahli-ahli adalah terhad kepada amaun yang diaku-janji oleh ahli-ahlinya untuk menyumbang setakat jumlah yang dijamin sekiranya syarikat digulung.[1] Syarikat berhad menurut jaminan hendaklah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat awam[2] dan tidak dibenarkan ditubuhkan sebagai sebuah syarikat jaminan dengan modal syer.[3]

Walaupun syarikat berhad menurut jaminan tidak mempunyai modal syer dan tiada pemegang-pemegang syer, namun begitu, ia mempunyai ahli-ahli yang bertindak sebagai penjamin kepada syarikat. Penjamin-penjamin memberikan aku-janji untuk menyumbang suatu jumlah nominal (lazimnya dalam jumlah yang kecil) jika syarikat digulung.  Misalnya, ahli-ahli meletakkan amaun jaminan RM1,000 atas syarikat berhad menurut jaminan yang mereka tubuhkan. Jika berlaku penggulungan, jaminan ahli-ahli terhadap syarikat itu hanya setakat RM1,000 sahaja.

Objektif Syarikat Berhad Menurut Jaminan

Syarikat berhad menurut jaminan hanya boleh ditubuhkan dengan tujuan-tujuan berikut:[4]

  • menyediakan reakrasi dan hiburan;
  • mempromosikan perdagangan dan industri;
  • mempromosikan seni;
  • mempromosikan sains;
  • mempromosikan keagamaan;
  • mempromosikan kegiatan amal kebajikan;
  • mempromosikan skim pencen atau persaraan; atau
  • mempromosikan apa-apa objek yang berguna dan bermenfaat kepada komuniti dan negara.
Syarat-syarat Khas Syarikat Berhad Menurut Jaminan 

Perjalanan sebuah syarikat berhad menurut jaminan hendaklah mematuhi syarat-syarat khas berikut:[5]

  1. menggunakan keuntungannya atau lain-lain pendapatan dalam mencapai atau mempromosikan objektifnya;
  2. melarang pembayaran apa-apa dividen kepada ahli-ahli; dan;
  3. menghendaki semua aset yang selainnya ada pada ahli-ahlinya dipindahkan secara amnya semasa digulung sama ada:
  • kepada badan lain yang mempunyai tujuan yang sama dengan tujuannya; atau
  • kepada badan lain yang tujuannya menggalakkan kebajikan dan apa-apa jua yang bersampingan atau bersesuaian dengan tujuannya.

Syarikat berhad menurut jaminan boleh mengemukakan permohonan lesen bagi mendapatkan:

  • pengecualian perkataan ‘Berhad’ atau singkatan ‘Bhd’.[6]
  • memiliki tanah.[7]

melainkan lesen telah didapatkan daripada Menteri terlebih dahulu.

Syarikat Tidak Berhad

Syarikat tidak berhad bermaksud syarikat itu mempunyai liabiliti tidak terhad terhadap ahli-ahlinya atas segala hutang yang ditanggung oleh syarikat. Tambahan pula, syarikat jenis ini tidak mempunyai modal syer seperti syarikat persendirian dan awam. Disebabkan syarikat ini mempunyai sifat liabiliti tidak terhad, liabiliti ahli-ahlinya setaraf dengan liabiliti perniagaan milik tunggal atau perkongsian. Syarikat tidak berhad boleh ditubuhkan sama ada sebagai sebuah syarikat persendirian ataupun syarikat awam.[8]

Namun begitu, syarikat tidak berhad masih menikmati keistimewaan entiti undang-undang yang berasingan, boleh memiliki harta dan berkontrak atas namanya sendiri. Syarikat tidak berhad juga tidak perlu menyerah-simpan penyata kewangan di pejabat Pendaftar setiap tahun kalendar. Secara tidak langsung, syarikat jenis ini dapat merahsiakan maklumat kewangan perniagaan daripada diakses oleh pihak awam. Syarikat tidak berhad boleh dikenali berdasarkan namanya yang perlu diakhiri dengan perkataan ‘Sendirian’ atau singkatannya ‘Sdn.’[9]


Nota kaki:

[1] Seksyen 10(3) AS 2016

[2] Seksyen 11(2) AS 2016

[3] Seksyen 12 AS 2016

[4] Seksyen 45(1) AS 2016

[5] Seksyen 45(2) AS 2016

[6] Seksyen 45(3) AS 2016

[7] Seksyen 45(4) AS 2016

[8] Seksyen 11(3) AS 2016

[9] Seksyen 25(1)(c) AS 2016

Similar Posts