syarikat-company-ssm

Ramai dalam kalangan usahawan memilih syarikat terhad oleh syer (terutamanya syarikat sendirian berhad) sebagai salah satu bentuk organisasi perniagaan mereka. Bab 1 ini akan membincangkan aspek undang-undang syarikat, khususnya dalam aspek tugas, kewajipan dan liabiliti pengarah; pematuhan kehendak-kehendak statutori dan juga peraturan-peraturan syarikat. Di peringkat permulaan, buku ini akan membincangkan:

  • konsep-konsep asas syarikat seperti jenis-jenis syarikat,
  • ciri-ciri syarikat daripada sudut undang-undang,
  • keistimewaan dan kelemahan syarikat, dan
  • rasional menubuhkan sebuah syarikat.
Apakah Syarikat?

Syarikat bermaksud syarikat yang telah diperbadankan menurut Akta Syarikat 2016 ataupun menurut mana-mana enakmen terdahulu yang berkaitan.[1] Daripada sudut undang-undang, syarikat merupakan ‘orang buatan’ undang-undang dan mempunyai sifat yang berbeza daripada manusia biasa. Kesannya, setelah diperbadankan, syarikat mempunyai personaliti undang-undang yang berasingan yang diwakili oleh oleh dua organ penting, iaitu otak dan juga anggota. Otak syarikat di wakili oleh lembaga pengarah, dan anggota syarikat terdiri daripada pekerja-pekerja syarikat yang lainnya. Disebabkan syarikat tidak boleh bertindak bersendirian, maka orang-orang yang menganggotainya seperti lembaga pengarah dan kaki-tangan syarikat bertindak bagi pihak dan untuk kepentingan syarikat menurut kerangka Akta dan perlembagaan syarikat yang ditetapkan

Takrif Perbadanan

Perbadanan bermaksud mana-mana pertubuhan korporat yang dibentuk atau diperbadankan atau wujud di Malaysia atau di luar Malaysia dan termasuk:[2]

  • mana-mana syarikat asing,
  • perkongsian libiliti terhad, dan
  • perkongsian liabiliti terhad asing,

tetapi tidak termasuk:

  • mana-mana pertubuhan perbadanan yang diperbadankan di Malaysia dan yang melalui notis oleh Menteri yang disiarkan dalam Warta, diisytiharkan sebagai pihak berkuasa awam atau suatu perantaraan atau agensi Kerajaan Malaysia atau mana-mana Negeri atau menjadi pertubuhan perbadanan yang tidak diperbadankan bagi maksud perdagangan;
  • mana-mana perbadanan tunggal;
  • mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan koperasi; atau
  • mana-mana kesatuan sekerja yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebagai suatu kesatuan sekerja.
Personaliti Perbadanan

Apakah implikasi undang-undang setelah semua pematuhan AS 2016 dan perturannya dipatuhi dalam pemerbadanan sebuah syarikat? Selepas diperbadankan, sesuatu syarikat itu  memiliki personaliti tersendiri, dan wujudlah satu tabir yang direntang (dikenali sebagai tabir perbadanan) bagi memisahkannya dengan ahli-ahli, pegawai dan pengarah syarikat. Dalam erti kata lain, personaliti syarikat tersebut adalah berbeza sama sekali dengan orang-orang yang menubuhkannya.

what-is-a-company

Dengan wujudnya tabir perbadanan yang tidak boleh dilihat ini, sesiapa sahaja boleh mengadakan atau memasuki apa-apa kontrak dengan pihak syarikat. Sifat unik ini dikenali sebagai  sebagai ‘personaliti perbadanan’. Keunikan sifat ini bersandarkan kepada kewujudan sesuatu syarikat itu yang berpadu dengan pengasas, lembaga pengarah dan pemegang syer.

Tabir perbadanan ini sangat istimewa sifatnya. Kehadiran tabir ini ternyata dapat menghalang mana-mana pihak untuk mengambil tindakan ke atas orang-orang yang bertindak  membelakangkan syarikat. Misalnya, seorang pemiutang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pengarah syarikat secara individu untuk medapatkan kembali  hutangnya, disebabkan orang yang bertanggungan ke atas pemiutang tersebut syarikat dan bukannya pengarah-pengarah.

Namun begitu, konsep tabir perbadanan ini adalah bersifat ‘topeng’ sahaja disebabkan undang-undang membentuknya sebegitu rupa. Walaupun syarikat merupakan orang buatan undang-undang, ia tidak mempunyai otak untuk berfikir hatta tidak mempunyai anggota untuk bertindak sendiri. Oleh itu, personaliti syarikat dipengaruhi sepenuhnya oleh lembaga pengarah dan ahli-ahlinya. Merekalah yang berfikir, bertindak dan membuat keputusan untuk dan bagi pihak syarikat.

Disebalik keistimewaan tabir perbadanan ini, dalam keadaan tertentu pihak Mahkamah bersedia untuk menyingkap tabir perbadanan bagi melihat realiti sebenar yang berlaku disebalik tabir itu. Kemudian, baharulah pihak Mahkamah memutuskan sebarang hukuman terhadap sama ada orang-orang tertentu dalam syarikat, ataupun ke atas syarikat secara keseluruhannya.

Personaliti Undang-undang Yang Berasingan

Sebaik sahaja syarikat itu diperbadankan bertarikh seperti yang dinyatakan pada Sijil Pemerbadanan,[3] maka wujudlah suatu ‘tabir pemerbadanan’ (corporate veil) yang memisahkan syarikat dengan penaja, pengarah, pemegang syer dan sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan. Oleh itu, undang-undang memperakui bahawa sebuah syarikat itu merupakan ‘orang yang berbeza’ daripada ahli-ahlinya dan orang-orang lain yang menguruskan syarikat itu.

Sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 merupakan sebuah badan korporat, dan:[4]

  • memliki personaliti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya; dan
  • wujud berterusan sehinggalah syarikat itu dikeluarkan daripada senarai daftar.

Pemakaian doktrin ‘personaliti undang-undang yang berasingan’ (separate legal personality) telah mengiktiraf sesebuah syarikat itu boleh memiliki aset dan liabiliti atas namanya sendiri dan bukannya ahli-ahlinya.

Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan berasal daripada kes Salomon lwn Salomon Co. Ltd.[5] yang berlaku di England 100 tahun yang lampau. Tujuan doktrin tirai pemerbadanan ini dibentuk ialah bagi memastikan supaya pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan atas liabiliti syarikat. Adalah tidak adil pelabur-pelabur yang memegang syer syarikat bertanggungan atas segala hutang-piutang syarikat. Tujuan pelabur hanyalah inginkan pulangan dalam bentuk dividen atau keuntungan daripada syarikat, tanpa perlu bertanggungan atas liabiliti kewangan dan risiko-risiko lain.

Konsep Liabiliti Terhad

Liabiliti terhad merupakan suatu ciri undang-undang yang sangat istimewa bagi syarikat berhad oleh syer. Liabiliti terhad bemaksud pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan secara peribadi atas segala hutang-piutang syarikat. Liabiliti pemegang syer hanya terhad setakat jumlah syer yang diterbitkan tetapi masih belum dibayar penuh oleh mereka kepada syarikat. Dalam  erti kata lain, jika mana-mana pemegang syer sudah membayar penuh jumlah syer yang telah diperuntukkan,  mereka tidak lagi mempunyai apa-apa liabiliti atas syarikat sekiranya syarikat itu digulung.

Kesan liabiliti terhad atas syarikat ialah risiko kegagalan perniagaan secara keseluruhannya dipindahkan daripada pemegang syer kepada pemiutang-pemiutang syarikat. Kewujudan sifat liabiliti terhadlah menjadi sebab utama usahawan memilih syarikat persendirian sebagai entiti perniagaan.

Rasional Konsep Liabiliti Terhad

Liabiliti terhad juga dicipta oleh undang-undang bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat ekonomi seperti berikut:

  • Memudahkan urusan perdagangan

Liabiliti terhad dapat mempermudahkan lagi pelaburan dan aktiviti ekonomi dengan mengasingkan fungsi pelaburan dan pengurusan, iaitu dengan cara melindungi pelabur yang mempunyai syer daripada kerugian syarikat. Perlindungan pelabur sebegini rupa dapat mengurangkan kos bagi  menambah modal syarikat.

  • Mengurangkan pengawalan

Liabiliti terhad dapat mengurangkan kehendak pemegang-pemegang syer untuk mengawal pengurusan syarikat dalam syarikat yang mereka labur. Risiko pemegang syer atas kegagalan syarikat hanya terhad atas kerugian ekuiti yang telah mereka laburkan sahaja.

  • Menggalakan kecekapan pasaran

Liabiliti terhad menggalakan kecairan dan kecekapan operasi pasaran sekuriti dalam kalangan syarikat tersenarai awam. Pelabur boleh membeli syer dan bertukar milik syer secara bebas dipasaran terbuka. Harga seunit syer dapat melambangkan kecekapan sesebuah syarikat, iaitu syarikat yang lemah mempunyai harga seunit syer yang rendah dan akibatnya kurang digemari oleh pelabur.

  • Menggalakan kepelbagaian ekuiti

Liabiliti terhad membenarkan pelabur-pelabur untuk memperolehi syer dalam beberapa buah syarikat yang lain. Pelabur tidak melibatkan diri sebagai pemegang syer syarikat dan jika prinsip liabiliti tidak terhad digunapakai (berlawanan dengan liabiliti terhad), akibatnya mereka berpotensi  hilang semua syer yang dilabur (sebagai pemegang syer) jika syarikat tersebut gagal dan digulung oleh mahkamah.

Kesan Personaliti Undang-undang Berasingan Terhadap Syarikat

Personaliti undang-undang berasingan yang dimiliki oleh syarikat mempunyai keistimewaan tersendiri seperti berikut:

  • Kewajipan dan liabiliti syarikat ditanggung oleh syarikat dan bukan ahli-ahlinya;
  • Syarikat boleh bertindak menyaman dan disaman atas namanya sendiri;
  • Warisan yang berterusan

Syarikat boleh diwarisi oleh kaum keluarga melalui pemindahan hak milik syer kepada waris yang masih hidup.

  • Syarikat wujud berterusan

Syarikat merupakan sebuah entiti yang wujud berterusan dengan identiti tersendiri dan boleh diwarisi walaupun ahli-ahlinya sudah bertukar atau meninggal dunia.

  • Harta syarikat adalah milik syarikat dan bukannya milik ahli-ahli

Ahli-ahli tidak berhak mengambil atau menjual harta-harta syarikat. Hal ini disebabkan oleh hak ahli-ahli hanyalah setakat mengundi dalam mesyuarat agung dan berkongsi keuntungan melalui dividen.

  • Prinsip entiti yang berasingan juga membolehkan syarikat memiliki harta dan harta tersebut bukanlah milik ahli-ahli. Tidak seperti perniagaan milik tunggal dan firma perkongsian, pemegang syer tidak mempunyai pemilikan atas harta-harta kepunyaan syarikat. Perubahan hak milik syarikat oleh pemegang-pemegang syer tidak akan mengubah hak milik syarikat ke atas harta-harta tersebut.
  • Disebabkan syarikat mempunyai sifat entiti yang berasingan, maka syarikat dan ahli-ahlinya boleh berkontrak antara satu sama lain. Misalnya, syarikat boleh meminjam wang daripada ahli-ahlinya, syarikat boleh memasuki kontrak perkhidmatan (contract of service) dengan pengurusnya dan lain-lain lagi.
Doktrin Menyingkap tabir Pemerbadanan

Walaupun syarikat dianggap kebal disebabkan memiliki sifat entiti undang-undang yang berasingan, namun begitu, dalam kes-kes tertentu Mahkamah mengenepikan doktrin tersebut. Hal ini bermaksud, Mahkamah menganggap syarikat dan anggota-anggota di dalamnya sebagai suatu entiti dan tidak berasingan. Disebabkan prinsip entiti undang-undang yang berasingan begitu istimewa sifatnya, prinsip tersebut boleh disalahgunakan oleh pengarah-pengarah untuk tujuan yang bertentangan dengan kepentingan syarikat.

Lazimnya, Mahkamah akan menyingkap tabir pemerbadanan untuk menyelesaikan kes-kes yang melibatkan agensi, frod, amanah, tort, cukai, perundangan syarikat dan perundangan-perundangan bertulis yang lain. Mahkamah menggunakan budi bicara mereka atas keperluan menyingkap tabir pemerbadanan bagi sesuatu syarikat yang berkaitan. Tujuannya ialah untuk mencari orang yang bertanggungjawab bagi sesuatu kesalahan demi untuk menegakkan keadilan.

Fungsi Syarikat

Fungsi umum sesebuah syarikat ialah sebagai suatu alat atau perantara undang-undang bagi menjalankan aktiviti perniagaan, memegang harta tanah, amanah atau menjalankan lain-lain aktiviti berkaitan dengan perniagaan. Syarikat tersebut wujud sebagai sebuah entiti yang berasingan daripada pemiliknya dalam setiap aktiviti yang dijalankan.


[1] Seksyen 2 AS 2016

[2] Seksyen 3 AS 2016

[3] Seksyen 17 AS 2016

[4] Seksyen 20 AS 2016

[5] (1897) AC 22

Similar Posts