partners

Mungkin seseorang sedang mencari rakan kongsi perniagaan sama ada dalam suatu perkongsian, PLT ataupun syarikat. Untuk mencari seorang rakan kongsi, faktor-faktor berkaitan dengan bakal perkongsi perlu diambil perhatian. Hal ini disebabkan, majoriti memlilih rakan kongsi perniagaan yang kurang tepat sehingga menyebabkan perniagaan tersebut berantakan dan akhirnya berkubur terlalu cepat. Berdasarkan pengalaman saya sebagai setiausaha syarikat dan perunding perniagaan, berikut disintesiskan beberapa pertimbangan wajar yang boleh diguna pakai dalam memilih seorang pekongsi:

Pekongsi yang Mempunyai Projek atau Idea

Pekongsi yang mempunyai wang mencari pekongsi yang mempunyai projek atau idea asli perniagaan. Apabila seseorang pemilik idea atau projek asal tidak mempunyai wang yang cukup, dia sanggup berkongsi niaga dengan orang yang mempunyai modal. Pemilik projek sudah pasti beriltizam mencari rakan kongsi baharu yang boleh menyuntik dana tambahan untuk menjalankan projek tersebut. Bagi membiayai projek perniagaan yang mapan dan bermodal besar, beberapa orang pekongsi lain diperlukan bagi menghasilkan saiz dana yang diperlukan. Pihak institusi kewangan sangat sukar membantu untuk membiayai perniagaan yang baharu.

skleton

Orang yang ingin mencari rakan kongsi hendaklah bertindak sebagai pekongsi utama, lazimnya memiliki syer majoriti. Misalnya, memasukkan dua orang rakan kongsi menjadikan peratusan syer atau bahagian modalnya seperti berikut:

Rakan Kongsi Utama – 55%

Rakan Kongsi Kedua – 20%

Rakan Kongsi Ketiga – 25%

Rakan kongsi utama hendaklah memegang syer lebih daripada 50 peratus dan menjadi salah seorang penandatangan akaun semasa. Hal ini sangat penting memandangkan rakan kongsi utama mestilah mempunyai kuasa dalam bentuk pegangan syer majoriti dan mengawal keluar masuk wang melaui lantikan sebagai penandatangan cek-cek perniagaan. Jika seseorang itu tidak berminat untuk menjadi rakan kongsi utama perniagaan, kawalan aliran tunai perniagaan perlu diambil peduli.

Pekongsi yang Menyumbangkan Modal 

Tujuan utama kita memilih seorang rakan kongsi niaga ialah untuk pengembelingan modal. Dalam erti kata lain, pilihlah rakan kongsi yang mempunyai DUIT. Elakkan memilih seorang rakan kongsi glamer yang masuk sebagai rakan kongsi perniagaan hanya untuk menenggek. Modal mempunyai kaitan dengan risiko. Besar modal, besarlah risikonya. Oleh itu, setiap pekongsi wajarlah menyumbangkan sejumlah modal sebagai membuktikan bahawa pekongsi itu juga sanggup berkongsi risiko. Ingin ditegaskan bahawa sumbangan modal itu tidak semestinya dalam bentuk wang tunai, tetapi hendaklah dinilaikan dalam bentuk matawang Ringgit Malaysia. Lazimnya, jumlah modal yang disumbangkan oleh pekongsi berkadar terus dengan kadar berkongsi untung. Dalam erti kata lain, penyumbang modal tertinggi akan memperolehi kadar perkongsian untung lebih tinggi. Pekongsi yang menyumbangkan modal menepati maksud perkongsian yang mana pekongsi itu sanggup menanggung risiko kerugian di peringkat awal lagi. Masalah akan timbul jika pekongsi yang tidak menyumbangkan modal tetapi diberikan peratusan perkongsian untung lari meninggalkan pekongsi lain ketika perniagaan dalam kesulitan. 

Dalam syarikat, penyumbang modal digelar sebagai pelabor, atau pelabor budiman (angel investor), dan dalam perkongsian penyumbang modal digelar sebagai pekongsi. Dalam syarikat golongan pelabor mempunyai tujuan untuk mendapatkan dividen, terutamanya dalam syarikat-syarikat yang sangat berpotensi. Pelabor jenis ini tidak mementingkan kuasa dan kawalannya dalam syarikat tetapi lebih kepada pulangan syarikat. Dalam perkongsian, orang yang menyumbang dana boleh dalam bentuk rakan aktif atau rakan lelap. Jikalau rakan kongsi aktif, sudah pastilah dia juga berhak untuk diberikan gaji dan juga perkongsian untung setiap tahun. Manakala rakan kongsi tidak aktif hanya berhak atas perkongsian untung sahaja, dan hal ini perlu difahami dan dijelaskan kepada semua pekongsi.

Pekongsi yang Mempunyai Kemahiran 

Orang yang mempunyai ilmu atau kemahiran teknikal seperti mempunyai lesen kecekapan tertentu, kemahiran bidang pemasaran atau bidang-bidang khusus lain sangat diperlukan oleh perniagaan. Kehadiran mereka sudah tentu dapat memberikan nilai tambah dan mengukuhkan lagi nilai syarikat atau firma. Rakan kongsi yang berkemahiran tinggi sangat sukar dicari. Kehilangan mereka pula boleh mendatangkan kesan buruk kepada perniagaan pada masa akan datang. Pemilikan lesen-lesan khusus oleh seseorang boleh dinilaikan dengan wang untuk dijadikan sebagai modal syarikat. Namun begitu, hal ini hendaklah dibuat dengan persetujuan dan kelulusan rakan-rakan kongsi yang lain. 

Kesimpulan

Pencarian dan pemilihan pekongsi baharu mestilah berasaskan pada ketiga-tiga faktor di atas. Justeru, perniagaan berada dalam keadaan yang lebih harmoni jika setiap pekongsi menyumbangkan sejumlah modal permulaaan dalam perkongsian yang bakal didaftarkan. Disamping itu, perjanjian perkongsian atau perjanjian PLT yang dibuat dengan sewajarnya mampu mengekalkan keharmonian organisasi dan kesinambungan hayat perniagaan.


@ Hakcipta Kama Godin 2018

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan menyiar ulang mana-mana bahagian tulisan, rajah, gambar dan keseluruhan isi kandungan artikel ini dalam apa-apa bentuk dan dalam apa juga cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi, ekanik, rakaman atau cara-cara lain sebelum mendapat keizinan daripada pengarang.

 

 

 

Similar Posts