istanafarouk

Saya telah dihubungi oleh beratus-ratus usahawan melalui laman web untuk mendapatkan nama-nama perniagaan yang cantik dan menarik. Akhirnya, saya terpaksa menutup ruangan tersebut disebabkan tidak terlayan! Terdapat ramai bakal usahawan menghadapi masalah untuk mencari nama perniagaan yang cantik, menarik dan sedap didengar. Secara asasnya, kebanyakan nama-nama perniagaan terdiri daripada dua kategori berikut:

Nama Khusus

Nama khusus ialah nama yang diambil berdasarkan jenis-jenis perniagaan yang ingin dijalankan; misalnya butik dan pusat kecantikan, makanan hasil-hasil laut, pembekal santan kelapa segar, oil and gas, IT, kejuruteraan, percetakan dan penjilidan, pengiklanan, pembekal pakaian bundle dan lain-lain. Nama khusus sangat berkesan digunakan disebabkan nama syarikat itu menggambarkan jenis perniagaan yang dijalankan tanpa perlu memberitahu pembeli atau prospek.

Nama Umum

Nama umum tidak berdasarkan jenis-jenis perniagaan yang hendak dijalankan dan terdapat kecelaruan dalam memastikan identiti perniagaan itu. Hal ini bermaksud, seseorang itu perlu memberitahu pembekal, pengguna dan prospek mengenai perniagaan yang jalankan disebabkan nama perniagaan yang tidak menggambarkan perniagaan sebenar yang dijalankan. Lazimnya, penggunaaan nama umum dipilih disebabkan pemiliknya ingin menjalankan pelbagai jenis perniagaan dengan menggunakan satu nama syarikat sahaja. Namun begitu, penggunaan nama umum kurang efektif disebabkan nama syarikat itu tidak menggambarkan perniagaan yang dijalankan.

namatidakwajar

KOMPONEN NAMA PERNIAGAAN

Nama-nama perniagaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu bahagian identiti pemilik, jenis perniagaan dan kategori perniagaan. Walau bagaimanapun, nama-nama perniagaan yang diingini hendaklah mematuhi syarat-syarat di bawah seksyen 26 terlebih dahulu. Sebagai panduan, berikut dibincangkan teknik-teknik untuk mendapatkan nama-nama perniagaan sedap didengar dan menarik.

Indentiti Syarikat

Terdiri daripada singkatan atau campuran nama pemilik dan isteri/ keluarga, nama tempat dia berniaga sama ada daerah, negeri atau wilayah, kata-kata keramat dan lain-lain. Identiti pemilik bermaksud perniagaan itu ingin dikenali dengan nama tersebut, dan nama itulah yang akan dipromosi dan disebarluaskan dikhalayak.

Misalnya,

  1. Pemilik berasal daripada Batu Feringgi telah memilih nama syarikat Feringgi Beach Resort Sdn. Bhd.
  1. Nama suami Firdaus dan nama isteri Anieta, menghasilakan gabungan nama Fira Boutique & Fashion Sdn. Bhd.
  1. Syara meminati rangkai kata bon appetit, dalam Bahasa Peranchis yang bermaksud selamat menjamu selera. Beliau telah menamakan restorannya dengan nama Bon Appetit Café Sdn. Bhd.
  1. Dua orang sahabat, Thurai dan Maniam telah menubuhkan sebuah syarikat baik pulih kereta bernama T.M. Car Care Sdn. Bhd.

Jenis Perniagaan

Jenis-jenis perniagaan yang hendak dijalankan seperti makanan sejuk beku, busana pengantin dan kecantikan, sewa kenderaan, Konsultan IT, agen insurans/ takaful, pembinaan dan baik pulih rumah, pemaju perumahan, penyelenggaraan dan baik pulih kereta, agensi sumber manusia, perunding kejuruteraan, poliklinik, farmasi dan lain-lain. Lazimnya, nama-nama perniagaan hendaklah memasukkan elemen jenis perniagaan yang dijalankan, seolah-olah makhluk daripada planet lain tahu jenis perniagaan seseorang itu. Misalnya, seorang usahawan yang membuka perniagaan farmasi di Bandar Seri Putra memilih nama Farmasi Seri Putra Sdn. Bhd.

Kategori Perniagaan 

Kategori perniagaan terletak dibahagian hujung nama perniagaan seperti trading, enterprise, manufacturing, consulting, services, industries, construction, pasar mini, shipping dan lain-lain. Misalnya, Rita Catering Sdn. Bhd., Dr Aircond Sdn. Bhd., Bangi Car Care Sdn. Bhd. menggambarkan kategori perniagaan yang dijalankan. Namun begitu, kategori perniagaan tidak menjadi suatu kemestian disebabkan jenis-jenis perniagaan sudah menggambarkan kategori perniagaan yang dijalankan.   

NAMA-NAMA PERNIAGAAN YANG DILARANG

Bukan semua nama boleh digunakan sebagai nama syarikat. Nama-nama syarikat yang dilarang penggunaannya oleh Pendaftar adalah seperti berikut:

a.  Tidak diingini atau tidak boleh diterima;

Nama yang bersifat lucah, bertentangan dengan polisi awam, membahayakan mana-mana kumpulan komuniti atau ugama, atau nama yang mengelirukan tentang identity, sifat, objek atau tujuan-tujuan syarikat atau dalam apa-apa cara lain.

b. Sama dengan nama sesuatu syarikat, perbadanan atau perniagaan yang tersedia wujud;

c. Sama dengan suatu nama yang sedang dirizabkan di bawah Akta; atau;

d. Suatu nama yang diarahkan Menteri kepada Pendaftar dilarang untuk didaftarkan. Apa-apa arahan yang dinyatakan dalam perenggan      ini akan disiarkan oleh Pendaftar dalam:

  • Penggunaan nama yang mempunyai kaitan dengan naugan Raja seperti Diraja, Raja, Permaisuri, Putra, Putri, Raja Muda, Putera Mahkota, Pemangku Raja, atau Imperial.
  • Kaitan dengan Kerajaan Negeri atau Persekutuan. Misalnya; Federal, State atau Nasional.
  • Kaitan dengan Asean, Commonwealth atau kerajaan asing seperti ASEAN, UNESCO, NATO, OPEC.
  • Kaitan dengan apa-apa parti politik, persatuan, kesatuan sekerja, koperasi atau persatuan pembinaan.
  • Bank, Banker, Banking, Bumiputra, Biro, Chamber of Commerce and Industry, Treasury, Investment, Leasing.

Pendaftar mempunyai kuasa dalam menentukan sama ada sesuatu nama itu tidak diingini, tidak boleh diterima atau menyamai dengan nama-nama perniagaan yang sudah sedia wujud.

Seseorang yang ingin menubuhkan syarikat hendaklah membuat permohonan kepada Pendaftar bagi mengesahkan kebolehdapatan nama syarikat yang dicadang. Pendaftar akan meluluskan permohonan cadangan nama itu jika mendapatinya tidak bertentangan dengan nama-nama yang dilarang untuk didaftarkan di bawah seksyen 26(1).

Nama syarikat yang diluluskan akan dirizabkan oleh Pendaftar selama tiga puluh hari daripada tarikh penyerahsimpanan permohonan itu atau dalam suatu tempoh yang lebih lama. Perizaban nama menyebabkan syarikat-syarikat lain tidak boleh mendaftar dengan menggunakan nama itu, sama ada sebagai nama baharu ataupun atas pertukaran nama lain.

Jika Pendaftar terlepas pandang meluluskan nama-nama yang tidak boleh didaftarkan dalam seksyen 26, Pendaftar mempunyai asas yang munasabah bahawa nama yang sudah didaftarkan itu tidak wajar didaftarkan. Pendaftar akan memberikan notis bertulis kepada syarikat supaya menukarkan namanya dalam tempoh 60 hari atau lebih lama.

Ciri-ciri Nama yang Diterima Untuk Pendaftaran

Bagi seseorang yang ingin menubuhkan syarikat, berikut adalah panduan yang perlu dipatuhi agar nama syarikat yang dicadangkan tidak ditolak oleh Pendaftar.

  • Menggunakan ejaan dan nahu yang betul;
  • Pengunaan campuran Bahasa Melayu dan Inggeris dibenarkan jika penggunaannya bertujuan untuk menerangkan jenis perniagaan dan mestilah mengikut nahu yang betul;
  • Jika sesuatu nama menggunakan perkataan selain daripada Bahasa Melayu atau Inggeris, makna perkataan tersebut hendaklah diberikan.
  • Nama yang tidak bersifat keagamaan atau membahayakan kepentingan awam;
  • Nama yang tidak mempunyai elemen-elemen yang sama dengan sesuatu agama;
  • Menggunakan perkataan yang terlalu umum seperti “Manufacturing Sdn. Bhd.” atau “International Sdn. Bhd.”
  • Hanya nama pengarah-pengarah yang ditetapkan dalam borang permohonan sahaja boleh digunakan sebagai nama syarikat. Bukti pertalian dengan seseorang hendaklah diberikan jika individu lain dicadangkan untuk digunakan sebagai nama syarikat. Surat persetujuan hendaklah diperolehi daripada kumpulan syarikat-syarikat yang mana nama seseorang individu itu dicadangkan.
  • Maksud nama perkataan yang dicipta hendaklah dihuraikan;
  • Nama yang merujuk kepada nama seorang pengarah atau pemilik.
  • Simbol yang dibenarkan untuk digunakan dalam nama syarikat terhad kepada lima simbol sahaja; iaitu; dan, and, N, [&], dot [.], sempang [-], koma [‘], kurungan [()] dan penggunaannya hendaklah bersesuaian.
  • Misalnya: 
    • K&R Tax Solution Sdn. Bhd.K.K. Laundry Sdn. Bhd.
    • Sama-Sama Budget Hotel Sdn. Bhd.
    • Top Car Dealer (Ipoh) Sdn. Bhd.
    • Razaly’s Travel & Tour Agency Sdn. Bhd.

Bukan nama akronim yang boleh dikelirukan dengan nama-nama seperti di bawah:

  • akronim nama-nama institusi pengajian tinggi, misalnya UiTM, UTM, UM,UPM,UKM,UUM,USM, UIA, UNIMAS, dan lain-lain.
  • nama yang bermaksud agensi-agensi Kerajaan Persekutuan atau Negeri atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti SSM, JKR, FELCRA, BNM, SEDC, PKEN, SIRIM, TNB, MIDA, PERTONAS, SKM, dan lain-lain.

MENCIPTA NAMA PERNIAGAAN

Seseorang itu dilarang menubuhkan syarikat bagi tujuan yang menyalahi undang-undang. Sebelum, mencadangkan nama perniagaan, pastikan perniagaan yang hendak dijalankan tidak bertentangan dengan undang-undang seperti skim cepat kaya, perjudian dan pelacuran, penyeludupan dan kegiatan haram yang lain. Berdasarkan panduan di atas, nama-nama perniagaan boleh diringkaskan seperti Jadual 3.1 di bawah.

panduannamacantik

Daripada Jadual 3.1 di atas, jika seseorang yang mahukan Lepak sebagai identiti atau ikon perniagaan café, dia boleh sahaja mencadangkan Le Park Café sebagai nama perniagaannya. Seseorang yang tinggal di Kulim menjalankan perniagaan pembuatan makanan sejuk beku bolehlah mencuba nama Kulim Frozen Food Sdn. Bhd. Begitulah seterusnya, sangat mudah bagi sesiapa untuk mencari nama-nama perniagaan yang indah disebut, mudah diingat dan mempunyai nilai komersial. Sesuatu nama perniagaan itu tidak dengan sendirinya menjadi bagus, melainkan pemilik perniagaan itu berjaya memajukan perniagaan itu sehingga menjadi suatu jenama yang terkenal seperti Al-Ikhsan, Lazada, Alibaba, Habib Jewel,  dan sebagainya.


Similar Posts